Perkara yang ditegah bagi mereka yang hendak berqurban
Bagi sesiapa yang hendak melakukan ibadah qurban janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehingga dia telah menyembelih haiwan qurbannya. Dalilnya seperti di dalam hadis yang telah disebutkan sebelum ini
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ قَالَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأخُذُ مِنْ شَعْرِهِ وَلاَ مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئاً حَتَّى يُضَحِّيَ.
Dari Ummu Salamah bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Apabila masuk sepuluh hari (awal bulan Zulhijjah) dan sekiranya salah seorang kamu hendak melakukan qurban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah telah selesai berqurban. -Muslim-
Majlis Fatwa tetap Arab Saudi yang diketuai oleh syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah, berpendapat bahawa hadis membawa pengertian tegahan iaitu haram kepada mereka yang berniat melakukan kurban untuk memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia selesai melakukan ibadat tersebut. -Fatawa Lajnah Daimah lil Buhuth al-Ilmiyyah wal Ifta’ jilid 11, fatwa no. 1407-
Tetapi tidak ada kaffarah (denda) dikenakan bagi sesiapa yang tidak sengaja memotong rambut dan kukunya sebelum melakukan kurban.
Cara menyembelih
Hendaklah sembelihan dilakukan dengan menggunakan pisau yang tajam. Ucapkanlah “Bismillah wallahu akbar" (dengan nama Allah dan Allah Maha Besar), membaringkan haiwan tersebut pada sisi kirinya karena yang demikian mudah bagi si penyembelih memegang pisau dengan tangan kanannya, dan menahan lehernya dengan tangan kiri.
Daripada Anas bin Malik beliau berkata:
ضَحَّى النَّبِي بِكَبْشَيْنِ، أَمْلَحَيْنِ، أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صَفَاحِهِمَا
Maksudnya: Nabi s.a.w. menyembelih sendiri dua ekor kibasnya yang bagus dan bertanduk. Beliau mengucapkan basmallah dan takbir dan meletakkan kakinya di samping lehernya." -Al-Bukhari, dan Muslim-
Disunnahkan bagi yang berkorban, menyembelih sendiri sembelihannya. Tetapi sekiranya dia tidak mahir melakukannya bolehlah baginya mewakilkan kepada orang lain untuk menyembelih qurbannya.
Membahagikan daging kurban
Bagi yang menyembelih disunnahkan untuk memakan daging kurbannya, menghadiahkan kepada saudara kaum kerabatnya, bersedekah kepada fakir miskin, dan menyimpannya untuk perbekalan lebih dari 3 hari.
Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Hajj:28
]فَكُلُواْ مِنْهَا وَأَطْعِمُواْ ٱلْبَائِسَ ٱلْفَقِيرَ[
Maksudnya: Makanlah kamu dari daging binatang kurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah (yang fakir miskin)
Nabi s.a.w. bersabda:
وَعَنْ سَلَمَةَ بن الأكْوَع رَضِيَ اللهُ عَنْه أنَّ النَّبِيَّ قال: كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا
Maksudnya: Daripada Salamah bin Akwa’ bahwasanya Nabi s.a.w. bersabda: "Makanlah, dan beri makanlah serta simpanlah untuk bekalan”. -Al-Bukhari-
وَعَن عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا أنَّ النَّبِيَّ قَالَ:كُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا.
Maksudnya: Daripada Aisyah r.ha. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: “Makanlah dan simpanlah juga bersedekahlah”.
Memberi makan termasuk menghadiahkan kepada orang yang kaya, adapun bersedekah adalah pemberian yang diberikan kepada orang yang miskin. Para ulamak berselesih pendapat kadar yang dimakan oleh orang yang berqurban dan juga kadar hadiah serta sedekah.
Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin menyatakan syarak memberikan keluasan atau kelonggaran terhadap kadar daging kurban yang hendak dimakan atau disedekahkan, tetapi pendapat yang terpilih ialah 1/3 untuk dimakan, 1/3 dihadiahkan dan 1/3 lagi disedekahkan.
Diharamkan untuk menjual sesuatu pun daripada qurban tersebut sama ada daging sehinggalah kulitnya.
Tukang sembelih tidak boleh diberikan daging kurban tersebut atas dasar upah kepada pekerjaannya . diriwayatkan dari sahabat Nabi s.a.w. iaitu Ali bin Abi Talib bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ أنْ لاَ أُعْطِيَ الجَازِرَ مِنْهَا شَيْئاً
Maksudnya: Rasulullah s.a.w. memerintahkan dan tidak memberi tukang potong sedikitpun dari kurban tersebut." -Al-Bukhari dan Muslim-
Ini kerana sekiranya diberikan daging kurban di atas upah pekerjaannya maka perbuatan seperti ini seolah-olah menjual daging kurban untuk membeli tenaga kerja yang telah dilakukan oleh tukang sembelih tersebut, sedangkan daging kurban tidak boleh dijual beli.
Maka tukang sembelih diberi upah selain daging kurban seperti wang ringgit dan sebagainya oleh orang yang berkurban. Walau bagaimanapun tukang sembelih boleh mendapatkan daging kurban seperti orang lain mendapatkannya daripada pemberian dan sedekah yang diagih-agihkan kepada orang ramai.
Berhubung pemberian daging kurban kepada bukan Islam Majlis Fatwa tetap Arab Saudi memfatwakan harus diberikan kepada kafir kerana kemiskinan atau kerana berjiran dan juga untuk mendekatkan mereka kepada Islam. Tetapi tidak diberi kepada kafir yang memerangi Islam. -Fatawa Lajnah Daimah, jilid 11, fatwa no.1997-
Adab-adab kurban
Menyembelih qurban mempunyai adab yang sepatutnya di ambil perhatian:
1- Menghadap ke arah kiblat ketika menyembelih.
2- Berlaku Ihsan kepada haiwan yang hendak disembelih, iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam dan dilakukan dengan kuat dan cepat. Sebahagian ulamak mengharamkan penggunaan pisau yang tumpul.
3- Memastikan terputusnya halkum (saluran pernafasan) dan urat mari’.
4- Tidak mengasah pisau dihadapan haiwan yang akan disembelih, juga tidak menyembelih di hadapan haiwan yang lain yang menunggu giliran seterusnya.
5- Melakukan sesuatu yang menyakitkan haiwan yang sudah disembelih sebelum haiwan tersebut benar-benar mati. Seperti memotong mana-mana anggota haiwan tersebut sebelum haiwan benar-benar mati.
6- Bertakbir selepas membaca basmalah
Wallahu Ta’ala A’lam.
No comments:
Post a Comment