Pertama: Kesalahan Sebelum berangkat mengerjakan haji
1- Menganggap suatu kemestian yang mesti dilakukan iaitu mengadakan majlis tertentu seperti kenduri doa selamat atau sebagainya sebelum berangkat ke tanah suci. Sekiranya tidak masyarakat akan memandang serong kepada keluarga mereka yang tidak mengadakannya.
2- Berhutang atau bergadai untuk menunaikan haji
3- Melaungkan azan sebelum berangkat menaiki kenderaan atau sebelum meninggalkan rumah
4- Orang yang belum mengerjakan haji menyampaikan amanah kepada mereka yang akan berangkat ke tanah suci supaya diserukan namanya di Ka’abah supaya beroleh seruan dari Allah untuk mengerjakan haji.
5- menyampaikan amanah agar menyampaikan atau mengirim salam kepada nabi s.a.w. kepada jemaah haji.
Kedua: Kesalahan dalam Ihram
Melepasi kawasan miqat dengan tidak berihram sehingga tiba di Jeddah atau selainnya dari kawasan miqat dan perkara ini bercanggah dengan perintah rasul s.a.w. supaya setiap jemaah haji berihram di miqat yang dilaluinya. Maka tindakan yang perlu dilakukan oleh mereka yang melepasi kawasan miqat ialah kembali ke kawasan miqat tersebut sekiranya mudah baginya melakukan demikian. Sekiranya tidak, maka wajib baginya fidyah (denda) dengan menyembelih di mekah dan diberi makan kesemua dagingnya kepada faqir miskin. Sekiranya tidak melalui kawasan-kawasan miqat yang 5, maka berihram apabila tiba di kawasan yang bersetentang atau sejajar dengan kawasan miqat yang pertama sekali dilaluinya.
Ketiga: Kesalahan sewaktu Tawaf
1- Memulakan tawaf sebelum penjuru Hajarul Aswad sedangkan yang wajibnya bermula padanya.
2- Melakukan tawaf dengan memasuki ke dalam Hijir Ismail. Sesiapa yang melakukan demikian terbatallah tawafnya kerana ianya tidak dikira bertawaf keseluruhan Ka’abah. Ini disebabkan Hijir Ismail merupakan sebahagian daripada Ka’abah.
3- Berlari-lari anak pada kesemua pusingan tawaf. Yang sunnahnya dilakukan hanya 3 pusingan yang pertama ketika tawaf Qudum sahaja.
4- Berebut-berebut dan bertolak-tolak sehingga kadang-kadang ke tahap bergaduh dan mencaci memaki sesama saudara seislam ketika hendak mencium Hajarul Aswad. Kesemua ini haram dilakukan terhadap sesama Islam. Tidak mencium Hajarul aswad disebabkan kesesakan yang amat teruk tidak mencacatkan tawaf bahkan tawaf itu sah. Cukup baginya isyarat dengan tangan dan bertakbir apabila setentang dengannya walaupun jauh.
5- Mengusap-ngusap Hajarul aswad dengan niat untuk mengambil berkat. Tindakan seperti ini merupakan bid’ah yang tidak mempunyai asal dalam syara’. Sunnahnya menyentuh dan menciumnya sahaja sekiranya mudah baginya.
6- Menyentuh dan mengusap kesemua penjuru Ka’abah dan sebahagiannya keseluruhan dinding Ka’abah. Nabi s.a.w hanya menyentuh Hajarul Aswad dan rukun Yamani sahaja.
7- Menetapkan zikir dan doa yang khusus bagi setiap pusingan tawaf kerana nabi s.a.w. hanya bertakbir apabila melintasi Hajarul Aswad dan membaca doa: ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار. di antara rukun Yamani dan rukun Hajarul Aswad.
8- Meninggikan suara sewaktu tawaf yang dilakukan secara berjemaah diketua oleh Mutawwif sehingga mengganggu orang lain yang sedang tawaf bersama.
9- Bersesak-sesak dan berebut-rebut untuk bersolat di belakang Maqam Ibrahim. Ini menyalahi sunnah, juga mengganggu orang yang sedang bertawaf. Cukuplah baginya bersolat sunat tawaf tersebut di mana-mana sahaja di dalam masjid.
Keempat: Kesalahan ketika Sa’ie.
1- Apabila naik ke bukit Safa dan Marwah sebahagian jemaah haji menghadap ke Ka’abah sambil mengisyaratkan tangan mereka kepada Ka’abah ketika bertakbir seolah-olah seperti mereka bertakbir untuk solat. Isyarat ini merupakan kesalahan kerana nabi hanya mengangkat kedua-dua tangannya untuk berdoa menghadap ke kiblat.
2- Melakukan Sa’ie dengan berlari-lari anak di setiap pusingan. Sunnah berlari-lari anak sewaktu Sa’ie ialah hanya di antara 2 lampu hijau yang disediakan, selebihnya berjalan seperti biasa.
Kelima: Kesalahan di arafah
1- Sebahagian jemaah haji hanya berada di luar kawasan Arafah dan kekal di situ sehingga terbenam matahari kemudian terus bergerak ke Muzdalifah tanpa berwukuf di dalam kawasan Arafah. Ini menyebabkan ibadat hajinya rosak kerana kewajipannya ialah berada di dalam Arafah bukan di luar sempadan Arafah sekiranya mudah baginya berbuat demikian. Sekiranya tidak maka dia masuk ke Arafah sebelum terbenam matahari dan kekal di dalamnya sehingga terbenam matahari.
2- Meninggalkan Arafah sebelum terbenamnya matahari. Perbuatan ini tidak dibolehkan kerana rasulullah s.a.w. kekal di Arafah sehinggalah terbenamnya matahari sepenuhnya.
3- Bersesak-sesak untuk memanjat Jabal Rahmah sehingga ke puncaknya yang menyebabkan berlakunya banyak mudarat, sedangkan keseluruhan kawasan Arafah ialah kawasan untuk berwukuf. Memanjat Jabal Arafah merupakan perbuatan yang tidak disyariatkan apatah lagi bersolat di situ.
4- Menghadap ke Jabal Arafah ketika berdoa. Yang sunnahnya menghadap ke arah Kiblat.
Keenam: Kesalahan di Muzdalifah
1- Menyibukkan diri dengan mengutip batu-batu sebelum menunaikan solat Maghrib dan Isyak dan kepercayaan mereka bahawa batu-batu itu mesti dikutip dari muzdalifah. Yang benarnya ialah batu-batu tersebut boleh dikutip di mana sahaja di tanah haram.
2- Sebahagian jemaah haji membasuh batu-batu yang telah dikutip dengan air sedangkan perbuatan ini tidak di syariatkan.
Ketujuh: Kesalahan ketika melontar
1- Kepercayaan sebahagian jemaah haji bahawa melontar jamrah itu ialah melontar kepada syaitan, ini menyebabkan mereka melontar dengan penuh perasaan marah sehingga ke tahap mengeluarkan kata-kata makian dan kata-kata yang keji, sedangkan tidaklah disyariatkan melontar tersebut melainkan untuk berzikir kepada Allah.
2- Melontar dengan menggunakan batu yang besar, kasut, kayu dan sebagainya. Ini merupakan ghuluw (berlebih-lebihan) dalam agama.
3- Bertolak-tolak di Jamrah untuk melontar batu. Yang benarnya ialah melontar dengan tidak menyebabkan kesakitan kepada jemaah yang lain.
4- Melontar dengan ketujuh-tujuh batu sekaligus. Para ulamak menyatakan tindakan melontar ketujuh-tujuh batu sekali di kira satu lontaran. Yang disyariatkan melontar satu persatu dengan setiap lontaran disertakan dengan takbir.
5- Menyuruh orang menggantikannya untuk melontar kerana tidak mahu menyusahkan diri dengan keadaan yang bersesak-sesak tersebut. Perbuatan ini tidak boleh kecuali sekiranya dia tidak mampu melakukannya kerana sakit dan sebagainya.
Kelapan: Kesalahan sewaktu tawaf wada’
1- Turun meninggalkan Mina ke mekah pada hari nafar (12 dan 13 zulhijjah) sebelum melontar jamrah lalu melakukan tawaf wada’ kemudian kembali semula ke Mina untuk melontar jamrah dan setelah itu terus pulang ke Negara masing-masing, ini menyebabkan tempat terakhir sebelum dia pulang bukan di Baitullah tetapi dari tempat melontar. Maka tawaf wada’ wajib melakukannya setelah selesai pekerjaan haji dan sebelum hampir berangkat pulang. Dan setelah itu dia tidak lagi duduk di makkah selepasnya kecuali sekiranya ada urusan yang penting.
2- Keluar dari masjid haram setelah bertawaf wada’ secara berundur sambil menghadap ke Ka’abah dengan mendakwa untuk menghormati Ka’abah. Perbuatan ini merupakan bid’ah yang tidak ada asal dalam agama.
3- Berpaling semula ke arah Ka’abah ketika di pintu masjid haram setelah bertawaf wada’ dan berdoa seolah-olah seperti orang yang hendak berpisah dengan Ka’abah. Ini juga bid’ah yang tidak di syariatkan.
Kesembilan: Kesalahan ketika menziarahi Masjid Nabawi
1- Mengusap-ngusap dinding dan pagar besi dengan cebisan kain mengikat-ngikat tali dan sebagainya untuk bertabbaruk mengambil berkat ketika menziarahi maqam rasulullah s.a.w. Sedangkan keberkatan itu terdapat hanya pada perkara yang disyariatkan oleh Allah dan rasulnya bukan pada perkara yang bid’ah.
2- Pergi ke tempat-tempat seperti bukit Uhud, gua Hira’, gua thur di mekah dan mengikat dan mengusap-ngusap dengan kain, kemudian berdoa dengan doa-da yang tidak diizinkan syarak dan bersusah-payah untuk ke sana, kesemua ini bid’ah yang tiada asal dalam agama ini.
3- Menyusahkan diri dengan pergi menziarahi sebahagian tempat yang di dakwa ada kesan-kesan peninggalan nabi s.a.w. seperti tempat berhenti unta nabi s.a.w. telaga khatam atau telaga Uthman dan mengambil pasir untuk mendapatkan berkat dan sebagainya.Memohon kepada orang yang telah mati ketika menziarahi perkuburan Baqi, shuhada’ serta melemparkan wang ke tanah perkuburan itu untuk mendekatkan diri dan mendapat berkat dari penghuninya. Perbuatan ini adalah perbuatan yang syirik
No comments:
Post a Comment