Wednesday, November 11, 2009

Wahhabi sesuatu yang tiada hakikat
(artikel lama yang dipaparkan semula)

Wahhabi ialah sesuatu yang tiada hakikatnya. Isu ini telah lama didengari dan diperkatakan dari zaman ke zaman, namun ianya tetap akan berterusan selagi mana masyarakat tidak cuba memahaminya secara ilmiah. Sesungguhnya Islam dibina di atas manhaj ilmu iaitu al-Quran dan Sunnah nabi s.a.w. Oleh kerana itu para ulama’ salaf sering menyatakan ilmu itu ialah apa yang difirmankan Allah dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Ingin diingatkan di sini bahawa janganlah kita bercakap tentang sesuatu perkara yang kita tidak ada ilmu tentangnya.
Allah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 36:
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan dipertanggungjawabkan”.

Sekiranya kita bercakap di atas suatu perkara yang kita tidak mengetahuinya dikhuatiri akan terjebak ke dalam kancah fitnah pula. Tetapi fenomena ini berlaku di tengah-tengah masyarakat di mana mereka melabelkan sebahagaian mereka dengan wahabi atau kaum muda. Apabila ditanya kembali apakah itu wahabi, mereka membisu. Ada yang menjawab wahabi itu tidak membaca qunut subuh, wahabi tidak membaca zikir lepas sembahyang beramai-ramai, wahabi tidak membuat kenduri arwah dan sebagainya. Inilah yang dikatakan bercakap tidak atas dasar ilmu. Diulangi sekali lagi bahawa kita akan dipersoalkan di hari akhirat kelak atas apa yang kita perkatakan.

Secara ringkas wahhabi adalah nama yang dinisbahkan kepada Muhammad bin Abdul Wahab, beliau dilahirkan pada tahun 1115 hijrah di Najd dan meninggal pada tahun 1206 hijrah. Perjuangan beliau ialah mengembalikan kesucian tauhid jauh dari syirik, khurafat. Beliau berjuang menegakkan sunnah dan menentang bid’ah dalam agama. Pergerakan Muhammad bin Abdul Wahab bukan satu mazhab yang baru. Bahkan beliau sendiri bermazhab Hambali. Manhaj yang digunakan dalam berdakwah ialah manhaj Salafus Soleh iaitu manhaj yang dibawa oleh tiga kurun yang pertama dan terbaik sepertimana yang disabdakan nabi s.a.w. “Sebaik-baik manusia ialah kurunku (zaman nabi dan sahabat), kemudian kurun selepasnya (tabiin), kemudian selepasnya (tabi’ tabiin).

Tetapi perjuangan dakwah tidak dihamparkan dengan permaidani merah, sebaliknya perjuangan dakwah akan dirintangi dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Begitulah yang dihadapi oleh Muhammad bin Abdul Wahab. Musuh-musuh yang tidak berpuas hati dengannya lalu melabelkannya sebagai Wahhabi. Sepatutnya ianya lebih tepat dengan label Muhammadiyah kerana namanya Muhammad namun untuk mengelakkan masalah yang timbul sekiranya dilabelkan Muhammadiyah lalu dinisbahkan kepada ayahnya Abdul Wahab maka jadilah Wahhabi. Itulah hakikat sebenarnya nama Wahhabi yang tidak diketahui masyarakat kita. Penulisan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab hanya sekitar permasalahan Tauhid seperti yang masyhur Kitab al-Tauhid.

Di Malaysia nama Dr.Yusuf al-Qaradhawi sudah tidak asing lagi dikalangan masyarakat. Begitu juga dikalangan ustaz-ustaz yang memusuhi golongan yang dilabel sebagai wahabi ini. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh al-Awlawiyyat memuji Muhammad bin Abdul Wahab katanya: “Bagi al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab di Jazirah Arab perkara aqidah adalah menjadi keutamaanya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menaggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (hlm. 263, ctk. Maktabah Wahbah Mesir).

Satu lagi nama yang tidak asing bagi masyarakat kita ialah Dr. Wahbah al-Zuhaili yang memuji Muhammad bin Abdul Wahhab dengan berkata: “Sesuatu yang tidak syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jagan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya”. (surah Hud:85) bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah yang terbesar untuk islah (pembaikan) membina umat, jihad dan mengembalikan individu Muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab pada kurun yang ke 12 hijrah. Tujuannya adalah untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan pelbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin Abdul Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikan (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan aqidah yang bersih.” ( Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, hlm 57-58).

Adakah Dr.Yusuf al-Qaradhawi dan Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menjadi rujukan oleh mereka ini dilabelkan sebagai Wahhabi?

Siapa tidak mengenali syeikh Muhammad Rashid Redha. Beliau antara orang yang mempertahankan dan mengeji mereka yang mengeji dan menfitnah Muhammad bin Abdul Wahab. Antaranya ialah tulisannya dalam muqaddimah kitab ‘Siyanatul Insan ‘An Waswasatil Dahlan’ sebuah kitab yang menolak fitnah dan pembohongan Zaini Dahlan ke atas Muhammad bin Abdul Wahab yang dinamakan ‘Duraru al-thaniyah fi raddi ‘Ala al-Wahhabiah’ yang banyak tersebar di Malaysia.
Antara isinya beliau menceritakan bagaimana beliau tertipu sejak kecil lagi dengan pembohongan dan fitnah yang terdapat di dalam kitab Zaini Dahlan. Beliau menyedari semuanya itu hanyalah fitnah dan dusta selepas beliau berhijrah ke Mesir. Beliau telah mengkaji mengenai gerakan Muhammad bin Abdul Wahab. Beliau juga banyak membaca kitab-kitab, risalah-risalah, fatwa-fatwanya, anaknya, cucunya dan ulamak-ulamak Najd. Dengan pengetahuan tentang hakikat dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab beliau membuat kesimpulan :

1- Tidak ada satu pun tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab melainkan dusta dan fitnah.

2- Zaini Dahlan dan musuh-musuh Syeikh Muhammad orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah, sama ada tidak mengetahui tentang hakikat dakwah Syeikh Muhammad ataupun sebab-sebab lainnya.

Begitulah seperti kata pepatah manusia akan memusuhi sesuatu perkara yang dia jahil terhadapnya. Suatu kisah yang masyhur seorang syeikh selalu berdoa keburukan dan laknat ke atas Muhammad Abdul Wahab, suatu hari anak muridnya meletakkan kitab yang ditulis oleh Muhammad bin Abdul Wahab yang telah dikoyak kulitnya supaya syeikhnya tidak mengetahui siapakah penulisnya. Setelah membaca kitab tersebut anak muridnya tadi datang kepadanya lalu bertanya “Wahai syeikh bagaimanakan isi kandungan kitab itu” lalu syeikhnya menjawab kitab ini sangat bagus untuk dijadikan sebagai rujukan dalam aqidah. Selepas itu anak muridnya mengeluarkan semula kulit buku tersebut dan menyatakan inilah kitab Muhammad bin Abdul Wahhab. Syeikh tersebut terkejut dan menangis kerana menyesal. Setelah itu setiap kali beliau berdoa beliau memohon keampunan dan berdoa kebaikan kepada Muhammad bin Abdul Wahhab.

Suatu perkara yang penting bahawa mereka yang dilabelkan sebagai Wahhabi ini hanya berdalilkan kepada al-Quran dan Sunnah serta membawa perkatan-perkataan para imam yang muktabar seperti para imam mazhab yang empat. Tidak sepatah pun kedengaran nama Muhammad bin Abdul Wahhab apatah lagi perkataan-perkataan beliau. Sebagai contoh masalah berzikir secara sendirian dan senyap selepas setiap kali sembahyang, mereka membawakan kitab Imam Syafie sendiri iaitu al-Umm juga perkataan Imam al-Nawawi dalam syarah Muhazzab yang menyatakan zikir hendaklah secara senyap kecuali untuk mengajar bukannya pendapat Muhammad bin Abdul Wahhab. Adakah Imam al-Syafie dan Imam al-Nawawi Wahhabi? Itulah akibatnya sekiranya jahil tentang permasalahan agama.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini penulisan-penulisan Muhammad bin Abdul Wahab hanya tertumpu kepada permasalahan aqidah. Jadi apa yang diajarkan oleh sebahagian mereka yang dilabelkan sebagai Wahhabi tiada kena mengena dengan Muhammad bin Abdul Wahab namun masyarakat terutamanya golongan agama yang tidak menitik beratkan persoalan ilmu bahkan ada kepentingan tertentu terus melabel dan menfitnah mereka dengan Wahhabi.

Akhirnya kita mohon kepada Allah agar ditambahkan ilmu yang bermanfaat serta dihapuskan kejahilan dalam diri. Permasalahan wahhabi tidak wajar ditimbulkan lagi dan ianya sesuatu yang tiada hakikatnya, sebaliknya ianya ajaran islam yang tulen bukan Wahhabi.
Wallahu a’lam.

Tuesday, November 10, 2009

Temubual Mstar dengan Dr Asri- isu tauliah



Wednesday, November 4, 2009

Tajdid Iman: Hasad dengki tak lemahkan peranan ulamak


Oleh Dr Juanda bin Jaya

Mufti Perlis


Umat perlu mantapkan akidah, bukan bersengketa soal fiqh atau ekstrem mazhab"SEMUA permusuhan boleh diharapkan perdamaian kecuali permusuhan akibat hasad dan dengki." (Diwan Al-Imam Al-Syafie: 49)



Ungkapan, al-Imam al-Syafie jelas menggambarkan sifat semua manusia. Ia akan menjadi amat hodoh apabila menimpa mereka yang mendakwa diri alim dalam beragama. Ungkapan ini muncul daripada pengalaman Imam al-Syafie yang pernah menjadi mangsa permainan kejahilan pentadbir dan politikus yang jahat dan suka menyalahgunakan kuasa.Akibatnya beliau disisih, dihalang daripada mengajar dan berceramah, hatta dalam rumahnya sendiri. Lebih sedih untuk tujuan mengaibkan kemuliaan imam yang digelar nasirus sunnah (pembela sunnah Nabi SAW) ini, beliau digari, dirantai dan diseret dari Yaman menuju ke Baghdad akibat dituduh perkara yang tidak pernah dilakukannya.




Semuanya hasil kelemahan dan kebodohan pemerintah yang hanya mendengar nasihat orang bodoh dan jahil tetapi berlagak serta berlakon umpama orang alim dalam disiplin agama. Tidak kira Muslim yang jahil atau alim, dari kalangan orang biasa atau ulama, sesungguhnya sifat hasad merosakkan akal dan jiwa, agama dan urusan dunia mereka. Disebabkan hasad, seseorang tidak boleh mengawal dirinya membenci, memusuhi dan mencuba menjatuhkan saudaranya sehingga lupa bahawa pernah turun ayat al-Quran yang mengingatkan supaya menghapuskan sifat dengki dari hati mereka.




Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa; Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara kami yang sudah beriman lebih dulu daripada kami dan janganlah Engkau membiarkan rasa dengki dalam hati kami terhadap orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hasyr: 10).Hasad dengki di kalangan ulama memang wujud, bahkan penyakit hati inilah yang paling besar bahayanya, mengotori kesucian ilmu dan agama, menebarkan kebusukan dan kejahatan yang ditunggangi oleh nafsu iblis. Setiap manusia ada syaitannya, tak kira nabi dan rasul, inikan lagi manusia biasa yang digelar ulama.




Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang pun daripada kamu melainkan ia diiringi temannya daripada jin (syaitan) dan temannya daripada malaikat. Sahabat bertanya: Dan padamu juga, wahai Rasulullah? Sabda Baginda: Padaku juga, tetapi Allah Azza Wa Jalla membantuku terhadapnya sehingga dia tiada menyuruhku kecuali kebenaran saja." (Hadis Muslim)




Persaingan antara ulama untuk mendapat perhatian, kedudukan tinggi, kemuliaan dan kehormatan yang dijulang pengikut yang ramai menunjukkan ulama tetap manusia biasa. Siapa yang tak teringin dunia, kuasa dan nikmat yang berkekalan, bukankah ini tabiat semula jadi penciptaan manusia? Mengapa golongan kononnya berilmu ini terbabit juga dengan penyakit hati yang Rasulullah SAW sifatkan seperti pisau pencukur?




Puncanya kerana ilmu yang dituntut belum sempurna dan hakikatnya ia tidak akan sempurna sampai bila-bila kecuali ilmu itu diwarnai dengan iman dan akhlak hasil pengalaman terhadap sedikit titisan ilmu anugerah Allah SWT. Ilmu Allah SWT begitu luas dan tiada siapa mampu mencapai kesempurnaannya.Jadi, sesiapa ulama yang menyangka dirinya lebih berilmu daripada saudaranya, sesungguhnya ia tertipu oleh ilmu sendiri. Bukankah guru kita sering mengingatkan dengan ajaran imam yang kita agungkan, al-Imam al-Syafie bahawa: "Kataku mungkin salah dan kata penentangku mungkin benar." Juga panduan dalam menilai yang benar, al-Syafie mengajarkan: "Jika (dalil penentang itu adalah) hadis yang sahih, maka itulah mazhab aku."Perbezaan pandangan seharusnya tidak memicu permusuhan dan dendam pada mereka yang bergelar pewaris Nabi. Sifat tawaduk jelas terakam dalam keperibadian empat imam mazhab yang masih kekal hingga kini. Maka jangan sesiapa cuba mengeksploitasikan hal ini.




Imam Abu Hanifah berkata: "Inilah pendapat Abu Hanifah dan inilah sebaik-baik pendapat yang kami capai dan orang yang mendatangkan yang lebih baik daripadanya, itulah yang lebih benar."




Imam Malik berkata: "Saya ialah manusia biasa, boleh benar boleh juga salah, maka perhatikanlah pendapat saya ini. Apa yang bersesuaian dengan al-Quran dan sunnah ambillah dan yang tidak sesuai tinggalkanlah."




Imam Ahmad Hanbal berkata kepada Abu Daud: "Janganlah engkau bertaklid kepadaku, jangan bertaklid kepada Malik, jangan bertaklid kepada al-Thauri dan al-Auza'i, ambillah pendapat dari tempat mereka mengambil (iaitu al-Quran dan al-Sunnah)." (Ilmu Perbandingan mazhab, Prof Dr Hasbi Ash-Shiddiqie)




Imam Al-Syafi'ie pula mengatakan: "Jika kamu dapati apa yang ada dalam kitabku menyanggah sunnah Rasulullah SAW, maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku." (Syiar Alam Al-Nubala' al-Zahabi Jilid 10, halaman 34).




Malang sekali, pengikut yang mengaku pembela mazhab mereka saling bertikam, bersaing dan berdendam layaknya seorang jahil. Di kalangan orang awam lagi teruk keadaannya akibat momokan Wahabi. Padahal fahaman ini tidaklah sebagaimana tuduhan jahat yang dilemparkan orang jahil yang mengaku membela fahaman tertentu.




Fitnah yang ditujukan kepada ulama yang tidak sehaluan, amat mengecewakan kerana ia dicetuskan oleh sesama orang alim yang dikawal oleh emosi dan nafsu untuk mempertahankan habuan dunia.Mengapa wajib mengamalkan mazhab tertentu, padahal zaman Rasulullah SAW tiada sebarang mazhab melainkan al-Quran dan Sunnah yang menjadi pegangan?Lagi pula disebabkan kerana bergaduh pasal fiqh yang amat remeh, maka hadis yang sahih daripada al-Bukhari dan Muslim ditolak akibat ia tidak mengikuti selera arus perdana.




Akhirnya bab akidah yang menjadi teras keimanan diremehkan, muncul ajaran sesat yang semakin hangat kebelakangan ini sehingga penguat kuasa agama kecut perut untuk ambil tindakan dan ia tak mampu ditangani dengan baik.Penjahat sebenar dibiarkan bebas, tetapi ulama yang amanah dengan ilmunya dicemburui, disekat, difitnah bahkan kalau boleh dipenjarakan, sedangkan pintu dialog dan berbahas secara akademik dan profesional boleh dilakukan. Bukankah sejarah pernah mencatatkan dialog antara Tok Kenali dengan penentangnya pernah berlaku di pekarangan Istana Kelantan suatu ketika dulu, bahkan perkarangan Istana Selangor di tapak Kolej Islam Klang sekarang turut pernah memperlihatkan golongan ulil amri dan sultan berbahas secara akademik dan jujur dilakukan antara ulama yang berbeza pendapat diadakan bagi menjaga kesucian agama ini.




Belum lagi masalah umat yang semakin kompleks dengan isu maksiat remaja, keganasan rumah tangga, kes kekeluargaan syariah yang lambat, amalan rasuah hingga sikap dan akhlak umat Islam di jalan raya pun sampai kini belum dapat diatasi dengan berkesan, walaupun pelbagai usaha dilakukan. Malangnya jika orang yang berkhidmat untuk agama terheret dengan sifat saling mendengki bagaimanakah masa depan umat ini?




Jelas, kita perlukan pimpinan yang jiwanya besar dan jujur dalam menjalankan amanah untuk dirinya. Api hasad dengki itu merebak dengan pantas. Ia membawa kerugian amat besar kepada umat Islam. Kemajuan umat yang bergantung dengan toleransi akan terbantut dengan sikap hasad dan prejudis yang semakin menjadi-jadi. Betapa pentingnya memiliki sifat ketakutan kepada Allah SWT.




Sifat khasyah (takut) kepada Allah SWT sudah dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka yang amat sangat takutnya kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya adalah ulama."Ini adalah pengiktirafan daripada Allah kepada ulama sebenar. Setiap pandangan, perbuatan dan pemikiran mereka dikawal dengan ketakutan dan ketundukannya hanya kepada Allah SWT, bukan takutkan kerusi dan gaji bulanannya. Maka dia tiada niat sedikitpun untuk menjatuhkan sesiapa demi meninggikan diri dan pandangan dirinya semata-mata. Inilah yang al-Imam al-Syafie fahamkan daripada al-Quran dan al-sunnah.




Penulis ialah Mufti Perlis

Tuduhan sijil palsu oleh zamihan

Tuesday, November 3, 2009

JAKIM perlu menjawab tuduhan pegawainya


Gambar sijil Sarjana Muda Kepujian Dr Mohd Asri daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan beliau dalam Bahasa Arab dan Sasteranya serta Syariah Islamiyyah. Ini bercanggahan dengan tuduhan pegawai JAKIM Zamihan Mat Zain dalam Utusan.



Dr Asri: Tindakan pegawai JAKIM menuduh saya membuat sijil palsu amat hina dan jijik. Seakan tidak waras dan berfikir panjang. Masakan UIA, USM membenarkan saya menyambung Ph.D dan menjadi pensyarah jika sijil saya palsu.

-Saya sendiri rasa amat lekeh untuk jawab tuduhan yang seperti ini. Cukuplah dengan rakyat Malaysia melihat gambar sijil yang disertakan ini.

Persoalannya, apakah JAKIM di belakang konspirasi ini? Jika JAKIM terlibat, nanti orang akan tanya apakah terdapat mereka dari Kerajaan Pusat juga terlibat? JAKIM jangan burukkan nama Kerajaan Pusat!

-wartawan Minda Tajdid

lihat drmaza.com

Monday, November 2, 2009

TINDAKAN JAIS KESEORANGAN???

JAIS seolah-olahnya keseorangan dalam berhadapan isu penangkapan Mantan Mufti Perlis. Bermula daripada Institusi Raja Melayu, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-Ahli Parlimen dan Adun baik dari pihak kerajaan Malaysia (UMNO dan Barisan Nasional) sehinggalah Parti-parti pakatan rakyat, semuanya bersama dr Asri di dalam berhadapan dengan tindakan yang mencabul hak asasi manusia oleh JAIS. JAIS telah dikambing hitamkan oleh sebahagian pihak yang mungkin ada kepentingan yang tertentu.

Alasan tiada Tauliah merupakan alasan yang digunakan oleh pihak JAIS, sedangkan pada hakikatnya mereka memang tidak mahu memberinya tanpa ada alasan yang munasabah. Ustaz-ustaz yang memiliki ijazah B.A, MA bahkan PhD pun tidak dapat tauliah mengajar apabila dipohon tetapi pelik dan ajaib ustaz-ustaz yang hanya bertaraf 4 Thanawi (level form 5) diberi tauliah. maka pemberian tauliah ini perlu dikaji dan dipinda.
Isu yang sebenar di sebalik penahanan ini hakikatnya mereka menuduh dr Asri Wahabi, tetapi apabila sidang media mereka mereka menafikan penahanan ini disebabkan tuduhan wahabi mereka. ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengelakkan diri mereka dari ditanya oleh wartawan-wartawan APAKAH WAHABI ITU? oleh kerana mereka sendiri yang mencipta perkataan itu tetapi mereka juga tidak tahu apakah yang dimaksudkan perkataan tersebut maka mereka nafikan penahan ada kaitan dengan tuduhan wahabi...
WAHAI Pegawai yang terlibat dengan perkara ini di JAIS....Anda akan ditanya dihadapan Allah di Mahkamah Rabbul Jalil atas tindakan yang anda semua lakukan...jika anda terlepas di dunia ingatlah kita akan bertemu di alam akhirat dimana setiap amal perbuatan kita akan dipersoalkan...fikir-fikirkanlah...
SILA KE LAMAN WEB : drmaza.com untuk membaca bantahan tokoh-tokoh masyarakat terhadap tindakan JAIS terutamanya dari UMNO dan BN serta PAKATAN RAKYAT

Sewaktu Penangkapan di Rumah Pak Ya




UCAPAN PENGHARGAAN DR ASRI KEPADA MEREKA YANG MENYOKONGNYA DALAM ISU PENAHANAN INI

Wednesday, October 28, 2009

Solat Sunat Dhuha
Ramai juga yang bertanya tentang hadis solat sunat dhuha, mereka mendengar sebahagiannya menyatakan hadis solat sunat dhuha merupakan hadis-hadis yang lemah (dhoif). Hairan rasanya mereka yang berkata sedemikian kerana antara hadis-hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Maka saya bersangka baik bahawasanya kemungkinan mereka menyatakan ada beberapa hadis yang dihukumkan sebagai lemah.

Hadis-hadis solat sunat dhuha

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: أوصاني خليلي بثلاث: صيام ثلاثة أيام من كل شهر، وركعتين الضحى، و أن أوتر قبل أن أرقد.

Daripada Abu Hurairah r.h. dia berkata: Kekasihku (Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara iaitu berpuasa 3 hari setiap bulan, 2 rakaat dhuha dan berwitir sebelum tidur. (Al-Bukhari 1981, Muslim 721)

عن أبي ذر عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: يصبح على كل سلامى من أحدكم صدقة، فكل تسبيحة صدقة، وكل تحميدة صدقة، وكل تهليلة صدقة، وكل تكبيرة صدقة، وأمر بالمعروف صدقة، ونهي عن المنكر صدقة، ويجزىء من ذلك ركعتان يركعهما من الضحى.
Daripada Abu Zar daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda: setiap pagi setiap orang mesti melakukan sedekah, maka setiap tasbih itu sedekah, dan setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, Amar Makruf itu sedekah, Nahi mungkar itu sedekah, dan ianya sudah dikira sedekah dengan 2 rakaat solat dhuha. (Muslim 720)

وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا يحافظ على صلاة الضحى إلا أوّاب، قال: وهي صلاة الأوَّابين.
Daripada Abu Hurairah r.h. Nabi bersabda: tidak ada yang menjaga solat dhuha kecuali Awwab. Dan itulah solat al-Awwabin. (Al-Tabrani, dan Ibn Khuzaimah, lihat sahih al-Targhib wa al-Tarhib 673, dan silsilah al-sahihah 703)

Awwab bermaksud orang yang banyak bertaubat dan kembali kepada Allah.

Melalui hadis-hadis ini maka hukum solat dhuha ialah mustahab dan ianya sunnah muakkadah (dituntut melakukannya).

Nama lain bagi solat dhuha

1- Solat sunat Ishraq – iaitu dipermulaan waktu naiknya matahari. Maka solat sunat Ishraq ialah solat dhuha yang dilakukan di awal waktu naiknya matahari.

2- Solat sunat Awwabin – solat sunat awwabin merupakan solat dhuha seperti hadis yang telah dinyatakan. Adapun sebahagian mereka yang melakukan solat sunat sebanyak 6 rakaat antara maghrib dan isyak dan mereka namakan sebagai solat awwabin maka ini merupakan suatu kesalahan, bahkan tiada dalil berkenaan solat sunat tersebut.

Waktu solat dhuha

Bermulanya waktu solat dhuha apabila matahari naik kadar 2 meter sehingga sebelum masuk waktu diharamkan solat sebelum tergelincir matahari.

Waktu yang afdhal ialah apabila matahari sudah mula memanas atau mengeluarkan bahangnya. Jika waktu sekarang lebih kurang jam 10 ke atas.

Bilangan rakaat

Bilangan yang paling sedikit sebanyak 2 rakaat kemudian 4, 6, 8.

Kebanyakkan riwayat yang tsabit dari perbuatan Rasulullah s.a.w. ialah 8 rakaat seperti di dalam hadis Abdul Rahman bin Abi Laila yang diriwayatkan oleh al-Bukhari 1176 dan Muslim 336.

Dan kebanyakkan riwayat yang tsabit dari perkataan Rasulullah s.a.w. ialah 12 rakaat seperti di dalam hadis Abu Darda’ Nabi bersabda:

من صلّى الضحى ركعتين لم يكتب من الغافلين، ومن صلّى أربعاً كتب من العابدين، ومن صلّى ستاً كفي ذلك اليوم، ومن صلّى ثمانياً كتبه الله من القانتين، ومن صلّى ثنتين عشرة ركعة بنى الله له بيتاً في الجنة.
Sesiapa yang solat dhuha 2 rakaat tidak akan di tulis di kalangan orang-orang yang lalai, dan sesiapa yang solat 4 rakaat ditulis baginya dikalangan orang-orang yang kuat beribadah, sesiapa yang solat 6 rakaat maka cukuplah baginya pada hari itu, sesiapa yang solat 8 rakaat Allah menulis dia di kalangan orang yang khusyuk. Sesiapa yang solat 12 rakaat Allah akan bina baginya rumah di syurga. (Hadis riwayat Tabrani fi al-Kabir, di hasankan oleh Al-Albani di dalam sahih al-Targhib dan al-Tarhib 671)

Wallahu a’lam

Tuesday, October 20, 2009

Ustaz Hussein Yee

Friday, October 16, 2009

MAKLUMAN

Kedatangan Syeikh Ali Al-Halabi dan Syeikh Masyhur Hassan Salman ke Malaysia buat julung-julung kalinya
kedua-dua mereka merupakan anak murid utama kepada Al-Imam Al-Muhaddis Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahullahu ta'ala
Program Daurah di Perlis bersama kedua-dua syeikh
Pada 18 Oktober 2009
bermula pada jam 11 pagi sehingga 3 petang
bertempat di Masjid Tuanku Syed Putra Kangar
Pada sebelah malam dan seterusnya hari isnin di Masjid Universiti Sains Malaysia (USM)
Semoga kita tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk hadir pada majlis mereka berdua

Monday, October 12, 2009

Purdah/niqab bukan 'Hanya budaya arab'


Timbul pro dan kontra apabila syeikh al-Azhar Mohammad Sayyed Tantawi mencadangkan supaya pemakaian purdah diharamkan kepada pelajar perempuan daripada memasuki institusi-institusi pendidikan di bawah Universiti Al-Azhar. Di Malaysia media-media telah menerumah Tuan Guru Nik Aziz dan secara ringkasnya saya rasakan tiada sesiapa pun yang berselisih dengan beliau melalui katanya: “Dalam masa sekarang sabotaj banyak, polis tidak kenal lelaki atau perempuan yang pakai tudung (purdah) ini terutamanya di negeri-negeri yang banyak letupan bom…”(sinar harian, khamis 8 Oktober 09)

Hari ini akhbar sinar harian (Jumaat 9 Oktober 09) melaporkan Naib ketua Dewan Muslimat Pas Pusat Siti Zailah Muhammad Yusuf menyifatkan pemakaian purdah hanya budaya masyarakat arab bukannya suatu perkara yang wajib dalam Islam. Saya tidak membincangkan adakah purdah itu wajib atau tidak, dan ianya khilaf di kalangan para ulamak. Tetapi pendapat yang rajih (tepat) insya Allah ialah ianya tidaklah wajib.

Seterusnya kenyataan “pemakaian purdah ini hanya budaya arab” maka saya katakan kenyataan ini perlu dikaji. Adakah benar ianya hanya budaya arab atau ianya suatu yang dimasyru’kan (disyariatkan). Bahkan ada yang menyatakan “Kebanyakan ulamak berpendapat purdah tidak wajib tetapi hanyalah adat resam yang diamalkan oleh masyarakat arab badwi sebelum kedatangan islam”. Untuk menyatakan purdah atau istilah arabnya niqab hanya tradisi masyarakat arab badwi sebelum kedatangan islam maka perkataan seperti ini sangat tidak tepat dan agak jahil terhadap nas-nas islam atau terpengaruh dengan pendapat orang lain.


Secara ringkas dinyatakan disini beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa pemakaian purdah/niqab adalah sesuatu yang masyruk selepas kedatangan islam dan di’iqrar’kan oleh Nabi s.a.w. antaranya:

Isteri-isteri baginda s.a.w. Ummahatul Mukminin kesemuanya diperintahkan menutup wajah-wajah mereka. riwayat-riwayat seperti dalam kisah al-Ifk (fitnah terhadap Aisyah, kisah perang khaibar dan pemilihan Sofiyah sebagai isteri Nabi s.a.w. begitu juga diriwayat daripada Sofiyah binti Syaibah katanya: Aku melihat Aisyah bertawaf dan dia memakai niqab. Asma’ binti Abu Bakar berkata: Kami menutup wajah-wajah kami daripada lelaki. (riwayat al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Albani. Adakah ini sebelum kedatangan Islam?

Secara terperinci artikel tentang dalil-dalil daripada al-Quran telah pun di’post’kan oleh saudara masri dalam blognya. Jazahullahu khairan.

Pemakaian purdah/niqab ini juga telah dijadikan contoh oleh wanita-wanita yang terhormat selepas daripada zaman Nabi s.a.w. Antaranya Hafsah binti Sirin. Beliau ialah Ummu Huzail al-Ansori al-Basriyah, dikalangan Tabi’iyyah (tabi’in) meninggal 101 H.
Berkata Asim al-Ahwal: kami bertemu dengan Hafsah binti Sirin dan dia memakai niqab, maka kami katakan kepadanya: Semoga Allah merahmati engkau, Allah telah berfirman yang bermaksud: "Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kawin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan.” (al-Nur: 60). Hafsah menjawab ayat ini bermaksud : Jilbab. Kemudian dibaca ayat seterusnya yang bermaksud: "Dan jika mereka berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-Nur:60) Maka Hafsah menjawab: Ayat ini menistbatkan Hijab (menutup muka). (al-Baihaqi, al-Albani berkata: sanadnya sahih)

Riwayat-riwayat yang saya letakkan dengan teramat ringkas ini kesemuanya telah menolak kata-kata mereka yang jahil dengan menyatakan purdah/niqab ini hanyalah adat orang arab sahaja. Tetapi yang benarnya purdah/niqab bukanlah hanya adat bahkan ianya disyariatkan dan disunnahkan kepada para wanita muslimah.

Wallahu a’lam