Allah berfirman:
وَللهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ البَيْتِ مَنِ اْستَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِيْنَ.Maksudnya: Menunaikan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah iaitu bagi sesiapa yang berkemampuan untuk pergi menunaikannya. Barangsiapa yang mengingkari (kewajipan haji) sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan kepada sesuatu) dari semesta alam. –Surah Ali Imran:97-
Manasik (tatacara ibadat) haji wajib dilaksanakan menurut petunjuk al-quran dan sunnah. Ianya ibadat yang bersifat ‘Tauqifi’ yang bermaksud tidak boleh melakukannya kecuali dengan dalil atau nas daripada al-quran dan sunnah nabi s.a.w. Kegagalan dalam melaksanakan manasik haji sesuai menurut petunjuk sunnah merupakan penyebab terhalangnya memperolehi haji yang mabrur.
Di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim nabi s.a.w. bersabda:
العُمْرَةُ إلى العُمْرَةِ كفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، والحَجُّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إلا الْجَنَّةُ
Maksudnya: Antara umrah dengan umrah yang berikutnya merupakan penghapus dosa antara kedua-duanya dan haji yang mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan akan mendapat syurga.
Oleh yang demikian mereka yang ingin mengerjakan haji wajib mempelajari sunnah nabi s.a.w. di dalam tatacara perlaksanaannya supaya terhindar dari melakukan kesilapan dan perkara-perkara yang bid’ah dan khurafat semasa berada di sana.
Takrif Haji:
التعبُّدُ للهِ عزَّ وَجلَّ بِأداءِ الْمَناسكِ عَلَى مَا جَاء فِي سنَّةِ رَسُولِ الله صلَّى اللهُ عَلَيهِ وسلم فِي مَكَانٍ مَخْصُوْصٍ وفِي زَمَانٍ مَخْصُوْصٍ.
Maksudnya: haji ialah mengabdikan diri kepada Allah Azza wajalla dengan melaksanakan manasik (tatacara ibadat haji) seperti yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w. di tempat yang khusus dan pada waktu yang khusus.
Takrif Umrah
التَّعَبُّدُ للهِ بِالطَّوَافِ باِلبَيْتِ وَالسَّعْيِ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ وَالْحِلَقِ أَو التَّقْصِيْرِ
Maksudnya: Umrah ialah mengabdikan diri kepada Allah Azza wajalla dengan melakukan tawaf di Baitullah, Sa’ie antara Safa dan Marwah, bercukur atau memendekkan rambut.
Umrah wajib dilakukan sekali seumur hidup dan disunatkan pada bila-bila masa. Pada bulan haji ianya afdhal dari bulan-blan yang lainnya dan ganjaran umrah di bulan ramadhan seperti menunaikan haji. Nabi s.a.w. melakukan umrah di dalam hidupnya sebanyak empat kali kesemuanya pada bulan-bulan haji iaitu umrah Hudaibiyyah, Umrah Qada’, Umrah Ja’ranah dan umrahnya bersama dengan haji. Rukun-rukunnya tiga iaitu Ihram, Tawaf dan Sa’ie. Sementara perkara wajib umrah ialah Berihram di miqat, bercukur atau bergunting rambut. Adapun dakwaan yang menyatakan tidak boleh menunaikan umrah pada bulan-bulan haji melainkan mesti dilakukan ibadat haji juga adalah dakwaan yang tidak benar.
Perkara yang dilarang bagi mereka yang berihram
1- Mencukur, memendekkan, atau mencabut rambut, juga memotong kuku. Jika sekiranya ia tercabut atau gugur dengan sendirinya tidak mengapa.
2- Menutup kepala bagi lelaki.
3- Memakai pakaian yang berjahit iaitu yang di jahit mengikut badan keseluruhannya atau separuh badan sepeti baju kemeja, jubah dan seluar. Juga yang dijahit mengikut bentuk anggota seperti sarung tangan, khuf, serban, topi dan sebagainya.
4- Memakai wangi-wangian pada badan dan pakaian. Adapun bau yang kekal pada badan dan pakaian sebelum daripada berihram tidak mengapa.
5- Memburu haiwan atau membantu orang yang memburu ketika dalam ihram
6- Meminang perempuan atau melangsungkan aqad nikah sama ada untuk dirinya atau orang lain. Juga tidak dibenarkan mengadakan hubungan dengan isteri atau menyentuhnya dengan syahwat ketika berihram.
7- Menutup wajah bagi perempuan dengan memakai niqab atau purdah dan sarung tangan.
8- Tidak boleh berihram bagi lelaki dengan memakai stoking dan kasut kecuali jika tiada selipar, maka dia pakai kasut tanpa memotongnya. Yang dimaksudkan dengan kasut, apa-apa yang menutupi dua buku lali. Bagi perempuan dibolehkan memakai stoking dan kasut tetapi tidak boleh memakai sarung tangan.
Sekiranya mereka yang melakukan perkara-perkara di atas disebabkan terlupa atau jahil (tidak tahu) maka tidak dikenakan fidyah (denda). Wajib baginya menghentikan segala perbuatan tersebut apabila ia teringat dan mengetahui hukumnya.
Perkara yang dibolehkan bagi yang berihram
1- Dibolehkan menyembelih haiwan ternakan, ayam dan seumpamanya. Juga dibolehkan membunuh haiwan-haiwan yang boleh mengancamnya seperti singa, musang, harimau, kala jengking, ular dan sebagainya.
2- Dibolehkan selepas berihram mandi, membasuh kepala dan pakaian, serta boleh menukar pakaian, dibolehkan memakai cincin perak, cermin mata, alat bantu pendengaran, jam tangan, tali pinggang dan berbekam.
3- Dibolehkan mencium bau minyak wangi, menggunakan payung dan berteduh di bawah khemah atau bumbung kereta.
Jenis-jenis Ihram haji
Manasik haji boleh dilaksanakan dengan tiga keadaan iaitu: Tamattu’, Qiran dan Ifrad. Dan yang paling afdal (utama) Tamattu’ kemudian Qiran dan diikuti dengan Ifrad.
Tamattu’ bermaksud:
Berihram pada miqat yang telah ditentukan untuk umrah di dalam bulan-bulan haji (bermula dari awal bulan Syawal himgga terbit fajar hari kesepuluh bulan zulhijjah) dan mengucapkan ketika bertalbiah: ليبك اللهم بعمرة “Labbaikallahumma bi umrah”. Kemudian memasuki mekah untuk menyempurnakan umrahnya dan bertahallul pada waktu itu juga dengan menyempurnakan tawaf, sa’ie dan bercukur. Maka telah halal perkara yang diharamkan semasa di dalam ihram. Kemudian pada hari Tarwiah (8 Zulhijjah) berihram untuk haji.
Qiran bermaksud:
Berihram pada miqat untuk umrah dan haji serentak dan mengucapkan ketika bertalbiah لبيك اللهم بحج وعمرة “Labbaikallahumma bi hajja wa umrah” . Sampai di makkah bertawaf qudum, dan Sa’ie haji dan umrah. Tetaplah berihram tidak bertahallul sehinga hari Nahar (10 Zulhijjah-hari raya). Kemudian pada hari Tarwiah menuju masyair untuk menyelesaikan haji dan umrah tanpa sa’ie kerana telah dilakukan setelah tawaf qudum.
Ifrad bermaksud:
Berihram pada miqat untuk menunaikan haji sahaja dan mengucapkan ketika bertalbiah لبيك اللهم بحج “Labbaikallahumma bi hajja”. Sampai di makkah lakukan tawaf qudum dan sa’ie. Tetaplah berihram sehingga hari Nahar (10 Zulhijjah) sekiranya membawa haiwan korban (Hadyu: Unta, lembu atau kambing).
Jika tidak membawa haiwan korban maka disyorkan menukarkan haji kepada umrahiaitu melakukan haji Tamattu’, seterusnya melakukan tawaf, sa’ie, bergunting rambut dan bertahallul seperti perintah nabi s.a.w terhadap para sahabat yang berihram haji (Ifrad) tetapi tidak membawa haiwan korban.
Demikian pula bagi yang melakukan haji Qiran sekiranya tidak membawa haiwankorban adalah disyorkan menukarkan niat haji Qiran itu dan menjadikannya umrah seperti yang tersebut di atas.
Ibadat haji yang paling afdhal untuk mereka yang tidak membawa haiwan korban ialah haji tamattu’ kerana rasulullah memerintahkan hal tersebut dan menekankannya kepada sahabat baginda.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment