Monday, December 17, 2007

Panduan dan Adab Korban

Kurban di dalam istilah feqahnya disebut al-udhiyyah (الأضحية) yang ditakrifkan oleh ahli Feqah ialah:

مَا يُذْبَحُ فِي أيَّامِ الأَضْحَى مِنَ الإبِلِ وَالبَقَرِ وَالغَنَمِ تَقَرُّباً إلَى اللهِ تَعَالَى
Binatang yang disembelih pada hari raya Adha terdiri daripada unta, lembu dan kambing bertujuan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah

Hukum menyembelih kurban

Para ulamak bersepakat bahawa berkurban ialah amalan yang disyariatkan bagi mereka yang mampu melakukannya juga mereka yang mempunyai binatang untuk berqurban. Tetapi mereka tidak bersepakat di dalam menentukan hukum berkurban.

Pendapat pertama:

Sunat Muakkad, iaitu amalan berqurban sangat dituntut oleh Islam. Inilah pendapat yang dipegang oleh Jumhur (sebahagian besar) para ulamak antaranya mazhab Syafi’e, Maliki, dan pendapat yang masyhur dari mazhab Imam Ahmad bin Hanbal.

Dalilnya:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ قَالَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأخُذُ مِنْ شَعْرِهِ وَلاَ مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئاً حَتَّى يُضَحِّيَ.
Dari Ummu Salamah bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Apabila masuk sepuluh hari (awal bulan Zulhijjah) dan sekiranya salah seorang kamu hendak melakukan kurban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah telah selesai berkurban. -Muslim-

Di dalam hadis ini menunjukkan hukum berkurban tidaklah wajib kerana Nabi bersabda yang bermaksud “sesiapa yang hendak melakukan kurban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah telah selesai berkurban. ” difahami dari perkataan sesiapa yang hendak melakukan kurban ialah membawa pengertian keharusan untuk berkurban bukan suatu perintah untuk berkurban. Oleh itu kepada mereka yang tidak berkeinginan untuk berkurban maka tidaklah ditegah dari memotong rambut dan kukunya.

Pendapat kedua:

Wajib menurut mazhab Hanafi dan salah satu riwayat dari Imam Ahmad

Dalilnya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ، قَالَ النَّبِي مَن كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاناَ

Dari Abu Hurairah r.h. beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang mempunyai keluasan rezeki tetapi tidak berkurban, maka janganlah dia sekali-kali mendekati tempat solat kami. -Ibn Majah, disahihkan oleh al-Albani-

Maksud jangan mendekati tempat solat kami ialah kepada mereka yang berkemampuan tetapi tidak melakukan kurban maka Nabi s.a.w. menegah mereka untuk menghadiri solat hari raya Adha kerana meninggalkan suatu kewajipan iaitu berkurban seolah-olah solat hari raya tidak berfaedah baginya.
Hadis ini menunjukkan kewajipan melakukan kurban, ini disebabkan sekiranya kurban itu tidak diwajibkan, mengapakah Nabi melarang untuk datang bersolat hari raya bersamanya kepada mereka yang tidak melakukannya sedangkan mampu untuk berbuat demikian.

ياَأَيُّهَا النَّاسُ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَةٌ
Wahai manusia,, ketahuilah wajib atas setiap keluarga berqurban setiap tahun
-Abu Dawud, al-Tirmizi, Ibn Majah juga disahihkan oleh al-Albani-
Hadis ini menunjukkan kewajipan melakukan ibadah kurban bagi setiap keluarga dan ianya dilakukan setiap tahun bagi mereka yang berkemampuan. Baginda s.a.w. juga tidak pernah meninggalkan syariat berkurban pada setiap tahun selama 10 tahun baginda hidup di Madinah.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pendapat para ulamak ini sama ada yang mewajibkannya atau yang berpendapat ianya sunat muakkad, memberi faedah bahawasanya ibadat kurban ini sangat disuruh dan digalakkan oleh Islam kepada mereka yang mampu untuk melakukannya.

Waktu menyembelih kurban
Waktu menyembelih haiwan kurban ialah setelah melaksanakan solat hari raya Adha (raya
haji) sehingga ke akhir hari Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah. (hari raya haji, sehingga hari raya ke 4)
Nabi s.a.w. bersabda:

مَنْ كَانَ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيَذْبَحْ أُخْرَى مَكَانَهَا وَمَنْ لَمْ يَذْبَحْ فَلْيَذْبَحْ بِاسْمِ اللهِ

Sesiapa yang menyembelih kurban sebelum Solat Idul Adha maka hendaklah dia mengulangi semula sebagai gantinya, dan sesiapa yang belum menyembelih maka hendaklah dia menyembelih dengan bismillah (menyebut nama Allah) -Al-Bukhari dan Muslim-
Hadis ini menjelaskan waktu untuk menyembelih haiwan kurban ialah setelah selesai solat hari raya. Sekiranya sesiapa yang melakukan penyembelihan sebelum dari solat hari raya ianya tidak dikira sebagai daging korban, tetapi hanya dikira sebagai daging biasa sahaja.
Ini seperti yang terjadi kepada salah seorang sahabat nabi s.a.w. yang bernama Abu Burdah ketika beliau menyembelih kambingnya sebelum solat hari raya, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:

شَاتُكَ شَاةُ لَحْمٍ
Bermaksud: Kambingmu (yang telah disembelih) ialah daging biasa (bukan daging qurban. -Al-Bukhari dan Muslim-

Rasulullah s.a.w. bersabda:

كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيْقِ ذَبْحٌ

Maksudnya: Kesemua hari Tasyriq itu ialah (waktu) menyembelih (qurban)
-Ahmad, Ibn Hibban, al-Baihaqi, disahihkan oleh al-Albani-

Disunatkan untuk memakan sebahagian daging sembelihan qurban tersebut dan disedekahkan sebahagiannya kepada fakir miskin.

Syarat haiwan qurban

1- Haiwan yang disyaratkan untuk berqurban ialah haiwan ternakan yang terdiri dari unta, lembu/kerbau dan kambing.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Haj:34.

]وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْناَ مَنسَكاً لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِّن بَهِيْمَةِ الأَنْعَامِ[

Maksudnya: Dan tiap-tiap umat kami syariatkan penyembelihan (qurban) supaya mereka mengingat nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan kepada mereka.
Perkataan al-An’am yang bermaksud haiwan ternakan di dalam bahasa arab merujuk kepada unta, lembu/kerbau dan kambing. Adapun haiwan-haiwan seperti kuda, rusa dan selainnya tidak termasuk di dalam pengertian al-An’am.

2- Haiwan yang hendak diqurban hendaklah mencapai umur yang ditentukan oleh syarak. Nabi s.a.w. bersabda:

لاَ تَذْبَحُوا إلا مُسِنَّةً إِلا أَنْ يَعْسُرَ عَلَيْكُمْ فَتَذْبَحُوا جَذْعَةً مِنَ الضَّأْنِ

Bermaksud: Jangan kamu menyembelih qurban kecuali musinnah, kecuali sekiranya kamu menghadapi kesusahan (untuk mendapatkannya) maka boleh kamu menyembelih kambing yang Jazaah. -Hadis Muslim-

Jazaah bermaksud: kambing yang umurnya belum cukup 1 tahun.

Perkataan musinnah di dalam hadis ini ialah haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing yang telah gugur salah satu daripada empat gigi hadapannya (dua di atas dan dua di bawah)
Maka disimpulkan di sini haiwan yang sah untuk dijadikan qurban ialah:

ü Unta yang musinnah ialah unta yang telah cukup umur 5 tahun
ü Lembu/kerbau yang musinnah ialah lembu yang berumur cukup 2 tahun
ü Kambing yang musinnah ialah kambing yang cukup 1 tahun.

Sekiranya susah untuk mendapati haiwan yang berumur seperti yang dinyatakan (musinnah) maka bolehlah dia menyembelih haiwan yang di bawah umur musinnah

3- Hendaklah haiwan yang dijadikan untuk qurban tidak cacat dan berpenyakit. Yang lebih utama dan baik (afdhal) ialah yang gemuk dan banyak dagingnya diriwayatkan daripada sahabat Bara’ bin ‘Azib:
أنَّ رَسُوْلَ اللهِ سُئِلَ مَاذَا يُتَّقَى مِنَ الضَّحَاياَ؟ فَأَشَارَ بِيَدِهِ فَقَالَ أَرْبَعاً، العَرْجَاءُ البَيِّنُ ظَلْعُهَا وَالعَوْرَاءُ البَيِّنُ عَوْرُهَا
وَالْمَرِيْضَةُ البَيِّنُ مَرَضُهَا وَالعَجْفَاءُ التِّي لا تَنْقِي
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah s.a.w. ditanya berkenaan haiwan yang tidak harus dijadikan kurban, maka baginda mengisyaratkan tangannya sambil berkata ada empat jenis. Haiwan yang cacat dan kecacatannya yang amat jelas kelihatan, yang buta sebelah matanya dan kebutaanya amat jelas kelihatan, yang sakit dan kesakitannya amat jelas kelihatan, dan yang akhir haiwan yang lemah atau yang kurus.
-Abu Dawud, Tirmizi, Nasa’ie, disahihkan oleh al-Albani-

No comments: