Wednesday, September 10, 2008

Adakah Istimna’ membatalkan puasa

Pertamanya yang dimaksudkan dengan Istimna’ الاستمناء ialah perbuatan mengeluarkan mani selain jimak, dengan apa jua cara sama ada dengan tangan (onani) atau ketika sedang bersedap-sedapan dengan isteri atau sebagainya.

Ramai yang bertanya tentang persoalan ini “adakah terbatal puasa seseorang jika dia mengeluarkan maninya “al-Istimna’” dengan apa jua cara sama ada dengan mengeluarkannya dengan menggunakan tangan (onani) atau ketika bersama dengan isterinya atau yang seumpamanya”. Persoalan ini merupakan perkara yang diperselisihkan oleh para ulamak. Maka Jumhur atau majoriti ulamak berpendapat perbuatan mengeluarkan mani tersebut membatalkan puasa. Sementara sebahagian yang lain menyatakan sebaliknya iaitu tidak membatalkan puasa. Adapun jimak pada siang hari dibulan ramadhan, sepakat mengatakan hukumnya haram dan dikenakan kaffarah dengan nas.

Kaedah

Jika ditinjau dari sudut yang disepakati oleh para ulamak, maka kesemua mereka bersetuju di atas: الأصل عدم الإفطار yang membawa pengertian, kaedah asalnya seseorang yang berpuasa itu tidak terbatal puasanya dengan sesuatu tindakan kecuali jika adanya dalil yang menyatakan bahawa tindakan tersebut membatalkan puasanya. Oleh itu sesiapa yang ingin menyatakan tindakan tertentu apabila dilakukan oleh seorang yang berpuasa akan menyebabkan puasanya terbatal perlu membawakan dalil dari al-Quran atau sunnah bagi membuktikan perkara tersebut. Bertitik-tolak daripada kaedah ini, maka perbuatan istimna’ dengan apa jua cara sekalipun tidak membatalkan puasa serta tidak perlu diganti (Qada’) di sisi sebahagian ulamak.

Perbincangan ulamak terhadap dalil yang mengatakan batal

Oleh kerana kaedah asal menyatakan sesuatu itu tidak membatalkan puasa seseorang kecuali dengan dalil, maka para ulamak yang berpendapat terbatalnya puasa dengan istimna’ pada siang hari ramadhan membawakan beberapa dalil bagi menyokong pendapat mereka, antara dalilnya ialah dengan menggunakan kaedah Qias. Maka diqiaskan perbuatan istimna’ itu dengan perbuatan jimak pada siang hari di bulan ramadhan.

Hujah ini dijawab oleh syeikh al-Albani ketika memberi komentar beliau terhadap apa yang ditulis oleh syeikh Sayyid Sabiq di dalam fiqh al-sunnah:

الإستمناء (إخراج المني) سواء أكان سببه تقبيل الرجل لزوجته أو ضمها إليه، أو كان باليد، فهذا يبطل الصوم ويوجب القضاء.

Mengeluarkan mani sama ada disebabkan seorang lelaki mencium isterinya, atau rapatnya (isteri) kepadanya atau dengan mengunakan tangan, maka ini membatalkan puasa dan wajib menggantikannya.

Syeikh al-Albani berkata:

لا دليل على الإبطال بذلك وإلحاقه بالجماع غير ظاهر، ولذلك قال الصنعاني: الأظهر أنه لا قضاء ولا كفارة إلا على من جامع، وإلحاق غير المجامع به بعيد. وإليه مال الشوكاني، وهو مذهب ابن حزم.

Tiada dalil batalnya (puasa) dengan perkara-perkara yang disebutkan dan mengqiaskannya dengan perbuatan jimak adalah suatu yang tidak jelas. Oleh sebab itu berkata al-Son’ani: yang jelasnya, perbuatan tersebut tiada ganti (qada’) dan tiada kaffarah kecuali ke atas mereka yang melakukan jimak, dan mengqiaskan dengan selain jimak maka ianya tersasar jauh. Al-Syaukani juga cenderung kepada pendapat ini dan ianya merupakan mazhab Ibn Hazm. (rujuk Tamamul Minnah, hlm. 418. Perkataan Imam al-Son’ani boleh dirujuk di dalam Subulus Salam, jilid 2, hlm.644)

Imam Ibn Hazm menyatakan di dalam kitabnya:

وأما الإستمناء فإنه لم يأتي نص بأنه ينقض الصوم

Adapun Istimna’ tidak ada nas yang menyatakan ianya membatalkan puasa. (rujuk al-Muhalla, jilid 6, hlm. 205)

Syeikh al-Albani menyatakan lagi bahawa mengqiaskan perbuatan istimna’ dengan jimak merupakan قياس مع الفارق iaitu Qias dengan sesuatu yang berbeza sama sekali. Ini dapat dilihat kepada sebahagian mereka yang berpendapat istimna’ membatalkan puasa tetapi dalam masa yang sama mereka tidak menyatakan wajibnya kaffarah seperti kaffarah mereka yang melakukan jimak pada siang hari ramadhan. Hujah mereka ialah kerana jimak itu lebih berat daripada istimna’, maka kembali kepada hukum asalnya tiada kaffarah.

Syeikh al-Albani menjawab: sekiranya begitu maka kami juga katakan hukum asal ialah sesuatu itu tidak membatalkan puasa, jadi perbuatan jimak itu lebih berat daripada istimna’, maka tidaklah boleh diqiaskan istimna’ itu dengan jimak, perhatikan dan fikirkanlah. (Tamamul Minnah, hlm. 418-419)

Sekiranya hendak menggunakan Qias di dalam masalah ini, maka hukum akhirnya juga mesti sama dengan perkara atau benda yang diqiaskan kepadanya.

Sebahagian ulamak menyatakan batalnya puasa dengan istimna’ berdalilkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Allah menyatakan hal keadaan mereka yang berpuasa:

يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي الصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya disebabkan kerana Aku, Puasa itu untuk Ku dan Aku yang akan memberi ganjaran dengannya. (al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan keadaan mereka yang berpuasa, iaitu mereka meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya. Jika sekiranya seseorang yang berpuasa itu makan, minum serta tidak menahan syahwatnya maka batallah puasanya. Oleh yang demikian istimna’ itu syahwat dan keluarnya mani itu syahwat. Maka jika melakukan istimna’, mengeluarkan mani dengan tangan atau ketika melihat isteri atau dengan apa cara sekalipun menyebabkan puasanya terbatal.

Tetapi sekiranya diterima pakai hujah di atas maka bagaimanakah hadis-hadis baginda s.a.w. yang menyatakan baginda mencium dan menyentuh isterinya pada siang hari di bulan ramadhan? Adakah itu tidak dikira syahwat?

Aisyah r.ha menyatakan:

كان النبي صلى الله عليه وسلم يُقَبِّل ويباشر وهو صائم، وكان أملككم لاربه

Adalah Nabi s.a.w. mencium dan menyentuh (isterinya) sedang baginda berpuasa, dan baginda ialah orang yang paling mampu mengawal kemaluannya. (al-Bukhari dan Muslim)

mengawal kemaluan maksudnya dari melakukan jimak.

Perkataan يُبَاشِر-الْمُبَاشَرَة kebiasaannya digunakan untuk perkataan jimak, di dalam hadis ini ia bermaksud sesuatu yang lebih dari hanya sekadar mencium. Juga boleh bermaksud menyentuh atau meraba dengan tangan.

Maka Al-Imam Ibn Hajar di dalam fathul bari menyatakan yang dimaksudkan dengan syahwat di dalam hadis Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya disebabkan kerana Aku” ialah syahwat jimak.

Perhatian

Disebutkan sebelum ini istimna’ iaitu mengeluarkan mani dengan tangan atau onani bukan bermaksud perbuatan itu dibenarkan tanpa ada perincian tetapi ianya hanya menjelaskan sama ada membatalkan puasa atau tidak.

Adapun pendapat yang benar di dalam masalah onani ialah pendapat yang mengharamkannya berdasarkan firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Mukminun ayat 5-7:

]وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ[ (5) ]إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ[ (6)] فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ[ (7)

Maksudnya:

Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tiada tercela, barangsiapa mencari cara sebaliknya, mereka ialah orang-orang yang melampaui batas.

Maka perbuatan onani termasuk di dalam maksud ayat barangsiapa yang mencari jalan yang lain daripada jalan yang telah dibenarkan. Dan jalan yang dibenarkan oleh syarak ialah dengan isteri ataupun hamba-hamba yang dimiliki tetapi pada zaman ini hamba sudah tiada lagi.

Kesimpulan

Di sana terdapat ulamak yang mengatakan istimna’ dengan erti kata menggunakan tangan atau onani membatalkan puasa dan juga yang berpendapat sebaliknya iaitu tidak membatalkan puasa. Tetapi tidak diragukan lagi ianya haram.

Adapun istimna mengeluarkan mani sewaktu bersama dengan isteri selagi mana tidak melakukan jimak maka setelah melihat kepada pendapat para ulamak ianya tidak membatalkan puasa.

Walaupun demikian kedua-dua belah pihak tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima pendapatnya. Perlu diingat yang penting seseorang itu tidak mengikut hawa nafsu. Selagi mana seseorang itu merujuk dan bergantung kepada pendapat ulamak serta cuba sedaya upaya untuk mengetahui kebenaran dengan menjauhkan diri dari sifat ta’asub dan dari mengikut hawa nafsu maka insya Allah dia akan berjaya dengan izin Allah s.w.t.

Wallahu Ta’ala A’lam

-Abu Syu'aib

4 comments:

fiqriz said...
This comment has been removed by the author.
fiqriz said...

maksunye di sini mengikut mazhab syafie, adakah perbuatan onani di siang hari bulan Ramadhan perlu membayar kaffarah? atau cukup dgn menqaha'kn hari puasa yg ditinggalkn sahaja?

saya keliru dgn mazhab2 ini..

utk kite yg mazhab syafie ni, hukum nye bagaimana (perbuatan onani di siang hari bulan Ramadhan)?
cara menaggantikanyye?

wan ismail said...

mengikut pemahaman saya tentangnya, perbuatan istimna' adalah haram,hukumnya kekal haram.. Akan tetapi perbuatan itu tidak membatalkan puasa,maka jelaslah tidak perlu kafarah.. Pelakunya tetap menanggung dosa kerana melakukan perbuatan haram..

Adakah pemahaman saya betul?? Moga-moga saya diberi petunjuk oleh Allah.. Tolong betulkan saya jika saya salah..

Adely said...

http://www.forum-indoflasher.com/vbb/archive/index.php?t-290912.html

Sila rujuk link diatas berkenaan hukum beronani yang dikatakn haram