Suatu sikap yang ada pada sebahagian masyarakat kita bila menjelangnya pagi syawal ialah tidak mengambil berat kepentingan solat hari raya baik Iedul Fitiri mahupun Iedul Adha. Semuanya bertitik-tolak daripada ‘mind setting’ yang telah diletakkan di dalam minda masing-masing bahawa solat hari raya itu hanyalah sunat. Ini membuatkan mereka leka sehingga ke tahap meninggalkannya.
Bila disebut sunat maka satu lagi sikap masyarakat kita yang perlu diperbetulkan ialah apabila disebut suatu perkara itu sunat maka amalan atau perkara tersebut tidaklah perlu dilakukan, begitu juga apabila diberitahu kepadanya sesuatu perkara atau amalan itu makruh maka dialah orang yang pertama yang melakukannya. Oleh itu perkara ini perlu diberi perhatian oleh pelbagai pihak supaya masyarakat kita mempunyai kesedaran untuk tidak meninggalkannya.
Solat hari raya
Kewajipan menunaikan solat hari raya ini dilihat daripada perbuatan Nabi s.a.w. yang tidak pernah meninggalkannya bahkan baginda s.a.w. memerintahkan lelaki dan perempuan keluar untuk tujuan tersebut. Daripada Ummu ‘Atiyyah dia berkata:
أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نخرجهن في الفطر والأضحى: العواتق والْحُيَّض وذوات الخدور، فأما الحيَّض فيعتزلن الصلاة ويشهدن الخير ودعوة المسلمين، قلت يا رسول الله: إحدانا لا يكون لها جلباب، قال: لتُلبِسْهَا أختها من جلبابها. أخرجه البخاري ومسلم
Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami bersama anak dara dan perempuan yang haid untu keluar ke tempat solat pada hari raya Fitri dan Adha. Adapun perempuan yang haid maka mereka tidak melakukan solat, menyaksikan kebaikan dan doa kepada kaum muslimin. Aku berkata: wahai Rasulullah salah seorang kami tidak mempunyai jilbab. Nabi berkata: hendaklah saudaranya memakaikannya dari jilbabnya. (meminjam dari saudaranya)
Perintah Nabi s.a.w. untuk keluar menunjukkan wajibnya untuk bersolat hari raya bagi mereka yang tidak mempunyai keuzuran. Begitu juga perintah al-Quran untuk solat hari raya seperti yang dinyatakan oleh para ulamak tafsir ketika menafsirkan firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Kautsar ayat 2:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَر
Dan solatlah kepada Tuhanmu dan bersembelih korban
Mereka menyatakan yang dimaksudkan ayat ini ialah solat hari raya. Antara dalil lain yang menunjukkan bahawa solat hari raya merupakan suatu kewajipan ialah solat hari raya menggugurkan kewajipan jumaat apabila sekiranya hari raya jatuh pada hari jumaat. Solat jumaat merupakan kewajipan, dan perkara yang tidak wajib (sunat) tidak boleh menggugurkan suatu amalan yang wajib. Ini menunjukkan solat hari raya juga adalah kewajipan.
walaupun jumhur ulamak berpendapat solat hari raya ini sunat muakkad, tetapi tidak sepatutnya seorang muslim itu mengabaikan kepentingannya. Solat hari raya merupakan syiar Islam dan ianya merupakan ibadah yang utama di dalam menghidupkan hari raya.
Wallahu a’lam
-Abu Syu’aib
No comments:
Post a Comment