Ramadhan bulan yang penuh kerahmatan dan pengampunan Allah s.w.t. telah tsabit daripada Nabi s.a.w. bahawasanya puasa ramadhan, mendirikannya (Qiyam Ramadhan) dan mendirikan (qiyam) Lailatul Qadr merupakan penghapusan daripada dosa-dosa yang telah lalu. Bahkan setiap satu daripada amalan yang disebutkan merupakan agen penghapusan dosa secara tersendiri.
Cumanya para ulamak berbeza pendapat adakah penghapusan dosa ini meliputi dosa yang besar atau tidak? Maka Jumhur (majorit) para ulamak berpendapat ianya hanya menghapuskan dosa yang kecil, adapun dosa-dosa yang besar memerlukan kepada taubat. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w.
الصلوات الخمس والجمعة إلى الجمعة ورمضان إلى رمضان مكفرات لما بينهن ما اجتنبت الكبائر
Solat yang 5, Jumaat ke jumaat yang berikutnya, Ramadhan ke ramadhan yang berikutnya penghapus dosa antara kedua-duanya selagi mana menjauhi dosa-dosa besar.
Dikatakan juga bahawa penghapusan dosa-dosa kecil ini dengan syarat seseorang itu menjauhi dosa-dosa yang besar, sesiapa yang tidak menjauhi dosa-dosa yang besar ini maka dosa-dosa kecilnya juga tidak akan terhapus. Dan pendapat yang lain sebaliknya, iaitu dosa kecil akan terhapus walaupun sekiranya dia tidak menjauhi dosa yang besar. Juga sebahagian berpendapat amalan-amalan ini juga diharapkan dapat menghapuskan dosa-dosa yang besar.
Perlu diingat, penghapusan dosa-dosa ini hanya yang bersangkutan dengan hak Allah, adapun dosa-dosa yang bersangkutan dengan hak esame makhluk, maka mesti dengan redha dan kemaafan darinya.
Maka antara amalan yang dapat menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu ialah dengan berpuasa ramadhan. Daripada Abu Hurairah r.a. Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
منْ صَامَ رَمَضَان إيْمَاناً وَاحتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Siapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu. (al-Bukhari dan Muslim)
Puasa yang membuahkan pengampunan ialah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan ihtisab bermaksud membenarkan kefardhuannya serta mengharapkan pahala daripada Allah s.w.t.
Pengampunan dosa ini juga tidak akan berlaku kecuali seseorang itu berpuasa ramadhan keseluruhannya, sekiranya dia berpuasa sebahagian dan tidak berpuasa sebahagian harinya dengan tidak ada keuzuran yang dibenarkan syarak, maka tidak ada baginya pahala walaupun dia berpuasa sebahagian daripadanya.
Seterusnya amalan yang dapat menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu ialah mendirikan ramadhan (Qiyam Ramadhan)
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ قاَمَ رَمَضَان إيْمَاناً وَاحتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Siapa yang mendirikan ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu. (al-Bukhari dan Muslim)
Maksud qiyam atau mendirikan ramadhan ialah mendirikan malamnya dengan solat dan ibadat yang lainnya. Al-Imam al-Nawawi menyatakan qiyam ramadhan itu ialah solat tarawikh.
Juga amalan yang akan meraih keampunan Allah ialah Qiyam Lailatul Qadr mendirikan malam al-qadr. Dari Abu Hurairah r.a. juga Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ قاَمَ لَيلَةَ القَدَرِ رَمَضَان إيْمَاناً وَاحتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Siapa yang mendirikan Lailatul Qadr penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu. (al-Bukhari dan Muslim)
Mudah-mudahan pada bulan Ramadhan tahun ini kita dapat mempertingkatkan amal ibadat dengan penuh rasa keimanan dan rasa mengharap kepada Allah s.w.t. keampunan dan keridhaan-Nya, Amin…
No comments:
Post a Comment