Monday, September 22, 2008

I'tikaf

Antara ibadat yang penting di dalam bulan ramadhan ini ialah I’tikaf sehinggakan Nabi s.a.w. tidak pernah meninggalkannya ketika berada di dalam bulan yang penuh barakah ini.

I’tikaf bermaksud:

المقام في المسجد من شخص مخصوص على صفة مخصوصة

Duduk di dalam masjid yang dilakukan oleh orang tertentu dengan cara tertentu

Maksudnya, ibadat I’tikaf ini ialah seseorang yang duduk mengunci dirinya di dalam masjid, mengosong dan menjauhkan dirinya dari hiruk pikuk kesibukan dunia dengan tujuan beribadat kepada Allah s.w.t.

Tiada khilaf (perselisihan) dikalangan ulamak tentang pensyariatan I’tikaf. Ianya bersumberkan firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah: 187

ولا تبُاَشِرُوهُنَّ وأنْتُم عَاكِفُوْنَ فِي الْمَسَاجِد

Maksudnya: Dan janganlah kamu menyetubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri’tikaf di masjid.

Daripada Abu Hurairah r.a.

كان النبي صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ فِي كُلِّ رمضان عَشرة أيَّام، فلَمَّا كان العَام الذي قُبِضَ فيه اعتكَفَ عِشْرِين يَوماً

Nabi s.a.w. beri’tikaf pada setiap kali ramadhan 10 hari, apabila tiba tahun di mana baginda diwafatkan, baginda beri’tikaf 20 hari. (al-Bukhari dan Muslim)


Hukumnya

I’tikaf hukumnya sunat (mustahab) kecuali jika sekiranya seseorang itu bernazar, maka dia wajib menunaikannya. Ianya sangat dituntut kerana Nabi s.a.w. sentiasa melaziminya sebagai mendekatkan diri kepada Allah.


Bilakah masanya untuk beri’tikaf

Disyariatkan beri’tikaf pada bila-bila masa sahaja di dalam setahun. Aisyah r.ha berkata:

...وترك الاعتكاف في شهر رمضان حتى اعتكف في العشر الأول من شوّال

Nabi meninggalkan I’tikaf pada bulan ramadhan sehingga baginda melakukannya pada 10 yang terawal dalam bulan syawal. (al-Bukhari)

Walaubagaimanapun waktu yang sangat dituntut untuk melakukan ibadat I’tikaf ialah dalam bulan ramadhan dan yang paling afdhalnya 10 hari yang terakhir seperti di dalam hadis Abu Hurairah yang telah dinyatakan sebelum ini.


Syarat-syarat beri’tikaf

Islam

Allah berfirman:

لَئِن أشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ

Jika kamu melakukan syirik (menyekutukan Allah) nescaya terhapuslah amalanmu.

(al-Zumar: 65)

Beraqal

Daripada Aisyah r.ha, Rasulullah s.a.w. bersabda:

رفع القلم عن ثلاث: عن النائم حتى يستيقظ، وعن المجنون حتى يعقل أو يفيق، وعن الصبي حتى يحتلم

Terangkat pena itu (tidak dihitung amalannya) daripada 3 orang: dari seorang yang tidur sehinggalah dia terjaga, dari seorang yang gila sehinggalah dia beraqal atau waras dan daripada kanak-kanak sehinggalah dia mimpi (baligh)


Tidak disyariatkan I’tkaf kecuali di dalam masjid

Allah berfirman:

ولا تباشروهُنَّ وأنتُم عاكِفُوْنَ فِي الْمَسَاجِد

Maksudnya: Dan janganlah kamu menyetubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri’tikaf di masjid.

Aisyah menyatakan:

السنَّة فِي المعتكف أن لا يَخْرُج إلا لحاجته التي لا بد منها، ولا يعُود مريضاً، ولا يمسّ امرأته، ولا يباشرها، ولا اعتكاف إلاَّ فِي مسجد جماعة، والسنَّة فيمن اعتكف أن يَصُوم.

Sunnah bagi orang yang beri’tikaf ialah dia tidak keluar (dari masjid) kecuali ada keperluan yang tidak boleh dielakkan, tidak pergi menziarahi orang sakit, tidak menyentuh dan bersetubuh dengan isterinya, dan tidak ada I’tikaf kecuali di masjid yang didirikan di dalamnya solat jamaah, juga sunnah bagi orang yang beri’tikaf untuk berpuasa. (al-Baihaqi dengan sanad yang sahih dan Abu Dawud dengan sanad yang hasan)

Hadis ini menjelaskan maksud daripada ibadat I’tikaf. Iaitu seorang yang beri’tikaf itu tidak keluar dari masjid ke tempat yang lain seperti balik ke rumah, sehinggakan menziarahi orang sakit juga tidak perlu. Inilah yang dinamakan I’tikaf meninggalkan segala kesibukan dunia untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadat. Walaubagaimana pun sekiranya ada hajat yang mendesak yang tidak dapat dielakkan maka dia boleh keluar seketika kemudian hendaklah kembali semula ke dalam masjid.

Tidak cukup masjid yang ada solat jamaah sahaja tetapi hendaklah I’tikaf dilakukan di dalam masjid Jamik. Jamik bermaksud masjid yang ditunaikan solat jumaat di dalamnya. Ini supaya seseorang yang beri’tikaf tidaklah perlu untuk keluar dari tempat I’tikafnya untuk solat jumaat.

Masjid yang paling afdhal untuk beri’tikaf ialah Masjid al-Haram yang solat di dalamnya menyamai 100,000 solat, Masjid al-Nabawi menyamai 1000 solat dan Masjid al-Aqsa menyamai 250 solat.

Sebahagian ulamak berpendapat ibadat I’tikaf hanya boleh dilakukan di dalam 3 masjid ini sahaja kerana ianya dikhususkan oleh hadis berikut:

لا اعتكاف إلا في المسجد الثلاثة

Tidak ada I’tikaf kecuali di dalam masjid yang 3 sahaja.

Ianya disebut oleh sebahagian salaf Huzaifah ibn al-Yaman, Sa’id bin Musayyib dan Atho’ tetapi beliau tidak menyebut masjid al-Aqsa.

Peringatan: sesiapa yang bernazar untuk beri’tikaf di salah sebuah masjid yang 3 ini (Masjid al-Haram, al-Nabawi dan al-Aqsa) maka wajib baginya untuk menunaikan di sana. Adapun sekiranya bernazar di mana-mana masjid selain dari masjid yang 3 ini maka dia boleh menunaikannya di mana-mana masjid yang dia kehendaki.


Kemestian untuk berpuasa bagi mereka yang beri’tikaf

Di dalam masalah ini ulamak berselisih pendapat sama ada seseorang yang beri’tikaf itu mesti berpuasa atau pun tidak. Walau bagaimanapun semuanya sepakat bahawa yang paling afdhalnya dalam keadaan berpuasa.

والسنَّة فيمن اعتكف أن يَصُوم.

sunnah bagi orang yang beri’tikaf untuk berpuasa.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan:

ولم ينقل عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه اعتكف مفطراً قط بل قد قالت عائشة: "لا اعتكاف إلا بصوم"، ولم يذكر سبحانه الاعتكاف إلا مع الصوم، ولا فعله رسول الله صلى الله عليه وسلم إلا مع الصوم. فالقول الراجح في الدليل الذي عليه جمهور السلف: أن الصوم شرطٌ في الاعتكاف، وهو الذي كان يُرجِّحُه شيخ الإسلام أبو العباس بن تيمية.

Tidak dinaqalkan (diriwayatkan) daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda beri’tikaf dalam keadaan tidak berpuasa, bahkan Aisyah menyatakan: “Tidak ada I’tikaf kecuali dengan berpuasa”. Dan Allah s.w.t. tidak menyebut I’tikaf kecuali disebut bersama puasa, juga tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kecuali baginda berpuasa. Maka pendapat yang rajah (tepat) berdasarkan dalil yang dipegang oleh jumhur (majoriti) salaf ialah puasa merupakan syarat dalam beri’tikaf dan pendapat ini juga ditarjihkan oleh Syeikhul Islam Abu al-Abbas ibn Taimiyyah. (Zadul Ma’ad 2/83).

Syeikh Hussain bin Audah al-Awaisyah menaqalkan perkatan gurunya Syeikh al-Albani setelah membawakan kata-kata Ibn Qayyim ini

ويترتب عليه أنه لا يشرع لمن قصد المسجد للصلاة أو غيرهما أن ينوي الاعتكاف مدة لبثه فيه، وهو ما صرح به شيخ الإسلام رحمه الله في ((الاختيارات))

(daripada kata-kata Ibn Qayyim di atas) maka faedah yang boleh diperolehi ialah tidak disyariatkan bagi mereka yang hanya memasuki masjid dengan tujuan bersolat atau selainnya untuk berniat I’tikaf selama tempoh keberadaannya di dalam masjid berkenaan. Pendapat ini dinyatakan oleh Syeikhul Islam di dalam (al-Ikhtiyarat).


Bilakah seorang yang hendak beri’tikaf itu memasuki masjid

Daripada Aisyah r.ha:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا أراد أن يعتكف، صلى الفجر، ثم دخل معتكفه

Rasulullah s.a.w. apabila hendak beri’tikaf, baginda solat fajar (subuh) kemudian terus memasuki tempat I’tikafnya.

Tempoh seseorang boleh beri’tikaf ialah satu hari dan satu malam maka ini yang lebih sempurna, atau siangnya sahaja atau malamnya sahaja.

Bagi mereka yang ingin beri’tikaf siang harinya maka hendaklah memasuki masjid sebelum terbitnya fajar dan keluar setelah terbenamnya matahari. Sebaliknya sesiapa yang ingin beri’tikaf pada waktu malamnya maka dia memasuki masjid sebelum terbenamnya matahari dan keluar setelah terbitnya fajar.


Ibadat yang dilakukan

Bagi mereka yang beri’tikaf hendaklah menyibukkan dirinya dengan ibadat kepada Allah s.w.t. sama ada solat, membaca al-Quran berzikir dan sebagainya. Menjauhkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat sama ada perkataan atau perbuatan serta mengurangkan bercakapa kerana banyak bercakap banyak pula kesalahannya.


Perkara yang dibolehkan ketika beri’tikaf

· Keluar kerana ada hajat yang mendesak

· Berwudhuk di dalam masjid

· Membina khemah kecil di penghujung atau penjuru masjid.

· Dibolehkan kepada isteri untuk menziarahi suaminya yang sedang beri’tikaf

· Makan, minum, tidur dengan menjaga kebersihan masjid.

· Dibolehkan bagi wanita yang mustahadhah untuk beri’tikaf di dalam masjid

Perkara yang membatalkan I’tikaf

  • Murtad
  • Jimak
Wallahu a'lam

No comments: