TAHNIAH kepada PAS Khususnya Tuan Guru yang berjaya mengekalkan Kelantan dan Ustaz Azizan (bakal MB) yang berjaya menawan Kedah dan menambah kerusi-kerusi DUN mahupun Parlimen...
Juga Suatu TAMPARAN Hebat kepada PAK LAH dan UMNO!!! Supaya beringat
"Jangan berlagak sombong dengan kejayaan. Sesungguhnya rakyat tidak mengharapkan kesombongan dan ketakburan. Mereka mengharapkan pembelaan dan sifat yang amanah dalam pengurusan negara dan kepimpinan. Seorang muslim patut merenung ucapan insan yang terbaik selepas Rasulullah s.a.w, iaitu Abu Bakr al-Siddiq. Khalifah selepas Rasulullah s.a.w. Insan paling layak untuk menjawat jawatan tersebut.
Namun beginilah ucapan pertamanya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Sedarlah saudara para pemimpin yang baru sahaja mendapat mandat! Kita semua tidak lebih baik daripada Abu Bakr r.a. Jika beliau insan terbaik yang dipuji oleh Allah dan Rasul -bukan sekadar pujian rakyat atau pemimpin parti- menyatakan: ” sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku.”, apakah saudara ingin mendakwa lebih daripada itu?.
Saudara, ya! seperti kata Abu Bakr:” Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat“. Jika saudara menunai janji, tidak munafik dalam ucapan dan sikap maka saudara seorang yang bercakap benar. Justeru itu saudara seorang yang amanah. Jika saudara tidak jujur, tidak menepati janji dan manifesto, bersikap hipokrit maka saudara telah berbohong kepada rakyat. Justeru itu saudara adalah seorang pengkhianat.
Saudara, lihatlah kejelasan matlamat seorang pemimpin seperti yang diucapkan oleh Abu Bakr r.a: “Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak, insya Allah”.
Itulah tanggungjawab pemimpin, mempertahankan hak rakyat. Sehingga yang lemah dan miskin terbela dan tidak ditindas. Sementara yang kuat, tidak boleh bermaharaja lela dengan kekuatan harta dan kuasanya. Namun jika saudara hanya di dampingi para taukeh dan pembodeh yang kaya-raya, sehingga melupai rakyat jelata, maka saudara lupa hakikat kepimpinan...
Saudara, semoga Allah merahmati kepimpinan anda serta diberikan bimbangan ke jalanNya yang penuh adil dan saksama. Dahulu ada sarjana menyebut: “Jika aku mempunyai hanya satu peluang doa yang makbul, nescaya aku doakan kepada pemimpin agar adil, kerana keadilan mereka kebaikan untuk semua”. Saya dan rakyat anda yang lain juga demikian.
Selamat bertugas sebagai wakil dan pemimpin rakyat. Anda akan memimpin kami di dunia ini. Akhirat nanti Allah akan bertanya kami mengenai anda semua. Seperti mana hari ini kami diberi peluang untuk mengundi anda, berilah juga kami peluang untuk menjawab yang terbaik mengenai anda pada hari kiamat kelak. Kami tidak ingin mendakwa anda di sana nanti, maka adillah kepada kami di dunia ini."
"BICARA BUAT YANG MENANG DALAM MEREBUT JAWATAN"
S.S Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mingguan Malaysia 9 Mac 2008.
No comments:
Post a Comment