Monday, March 17, 2008

Ada apa dengan Birthday Nabi….

paparan semula...

Birthday Nabi? Kamu ni giler ke? Itulah agaknya kalau sekiranya kita menggantikan istilah Maulid Nabi kepada birthday Nabi. Memang pelik dan kadang-kadang melucukan. Itulah hakikatnya menyambut Maulid Nabi.

Sekali lagi tanggal 12 Rabi’ul Awwal menjelma kembali, tarikh yang ditunggu-tunggu untuk menyambut ulang tahun birthday Nabi s.a.w. Pelbagai acara dirancang oleh masjid-masjid, surau-surau, sekolah-sekolah, kerajaan negeri sehinggalah kepada kerajaan Malaysia. Walaupun telah dikatakan kepada mereka bahawa penetapan tarikh 12 Rabi’ul Awwal itu bukanlah tarikh yang muktamad bahkan ianya tidak tepat. Tetapi apakan daya kerana itulah tarikh turun temurun yang tak boleh ditukar.

Acara dan program yang diadakan pula semuanya sudah diketahui, bermula dengan berarak ke sana ke mari keliling kota sambil memegang sepandok yang beranika ragam dan warna. Tak lupa sambil berselawat kepada Nabi s.a.w. kemudian selepas itu diisi dengan nyanyian nasyid, bacaan sajak, puisi dan lakonan pentomin. Kemungkinan nanti ada pula diwujudkan Tokoh Birthday Nabi…

Itulah pengisian hari sambutan birthday Nabi yang diadakan saban tahun di Negara kita. Tahun demi tahun ianya disambut dengan alasan untuk mewujudkan rasa kecintaan kepada Nabi s.a.w. Tetapi hakikatnya adakah perasaan cinta itu dapat ditanam dengan cara sedemikian rupa berarak keliling kota, bernasyid, berpentomin, yang kadang-kadangnya dinyanyikan dan dilakonkan oleh artis-artis tempatan.

Janganlah sampai pula sambutan birthday Nabi ini saling tak tumpah seperti menyambut birthday kebanyakan masyarakat kita, mengadakan parti jamuan makan-makan, dinyanyikan Nasyid “Happy birthday to you..Happy birthday to you..happy birthday to ….Happy birthday to you..” kemudian meniup lilin sambil berhamburan air liur ke sana ke mari. Nasib baiklah setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang menyediakan kek untuk Nabi s.a.w. Tapi kalau diadakan pun apa salahnya? Ianya sesuatu benda yang baik, kalau tak menjadi masalah kita labelkan dia sebagai bid’ah hasanah kan ok je….atau nanti ada yang kata nanti kita belikan hadiah untuk Nabi, boleh tak…

Kesemua di atas pasti akal kita tidak dapat menerimanya. Sekiranya direnung kembali apa bezanya sambutan birthday Nabi dengan birthday yang lainnya? Bezaannya sambutan birthday Nabi diserikan dengan selawat-selawat yang sebahagiannya juga selawat yang direka. Juga diserikan dengan bacaan berzanji. Puak-puak sufi dan tareqat pun menyambut ulangtahun birthday tok syeikh-tok syeikh mereka, dengan diadakan jamuan makan, serta menyanyi konon-kononnya nasyid islami, tambah lagi majlis zikirnya disertai dengan acara tari-tarian dengan percampuran laki-laki dan wanita.

Itulah hakikat yang perlu diterima, maka tidak hairanlah kita rasa kecintaan yang diharapkan untuk disemai ke dalam sanubari masyarakat kita hanyalah impian tinggal impian. Nabi s.a.w. diutuskan oleh Allah bukanlah untuk diadakan majlis menyambut birthdaynya, tetapi untuk diikuti petunjuknya. Itulah yang terkandung di dalam ucapan 2 kalimah Syahadah yang diucapkan oleh setiap muslim.

لا اله الا الله محمد رسول الله صلى الله عليه وسلم
Tiada Ilah yang layak disembah dengan haq kecuali Allah, dan Muhammad Rasulullah bermaksud tidak ada ikutan yang berhak diikut kecuali Rasulullah s.a.w.

Itulah tuntutan Tauhid yang perlu ditanam dan diajar serta difahamkan kepada masyarakat kita terutamanya generasi muda yang bakal memimpin masa depan. Ketidak fahaman kepada tuntutan Tauhid ini akan menyebabkan kecelaruan di dalam agamanya. Fikirkanlah adakah dengan berarak membawa sepandok ke sana dan ke mari, bernasyid dan sebagainya pada hari birthday Nabi dapat memahamkan generasi kita kepada Tauhid dan seterusnya kepada perasaan cinta kepada Nabi s.a.w.

Seterusnya setakat perasaan cinta tanpa diikuti dengan Ittiba’ iaitu mengikut petunjuk Nabi dalam segenap segi tidak membawa ke mana. Kerana al-Hub dan al-Ittiba’ rasa cinta dan ikut Nabi s.a.w. 2 elemen yang tidak boleh dipisahkan.

Beberapa persoalan yang perlu difikirkan kepada mereka yang menyibukkan diri untuk menyambut birthday Nabi s.a.w.

Berapa ramaikah yang cuba sedaya upayanya mempelajari serta beramal dengan sunnah Nabi s.a.w. dan menghidupkannya?

Berapa ramaikah yang memikirkan serta bertanya adakah amalan yang dilakukan bertepatan dengan sunnah Nabi s.a.w.?

Berapa ramaikah pula yang menentang mereka yang mengajak supaya mendaulatkan sunnah Nabi s.a.w.?

Berapa ramaikah yang mendakwa mereka mengikut sunnah tetapi bercanggah pengamalannya dengan sunnah?

Dikala kita memikirkan persoalan-persoalan ini kita merasakan bahawasanya benarlah Sabda junjungan besar kita ini Rasulullah s.a.w.

جاء الإسلام غريبا وسيعود غريبا كما بدأ فتوبى للغرباء
Islam datang dalam keadaan asing dan pelik dan akan kembali asing dan pelik sepertimana mulanya, Tuba (sejenis pohon di syurga) (beruntunglah) bagi mereka yang dalam keadaan asing.
Berpeganglah dengan wasiat Rasulullah s.a.w. kepada kita:

وَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفاً ثِيراً، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وسُنَّةِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا بالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُوْرِ، فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلة

“Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas daripadaku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham (dengan sungguh-sungguh). Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap yang diada-adakan itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.”

Dr. Abdul Karim Zaidan berkata:

“Amalan yang soleh ialah selagi mana ia sahih (betul) dan ikhlas kepada Allah. Pengertian sahih (betul) ialah apa yang selari dengan tuntutan syarak. Oleh itu, tidak boleh sama sekali mengada-adakan bid’ah dalam agama serta menokok tambah atau menguranginya. Ini kerana, tidak ada pahala bagi pembuatnya walaupun dengan niat beribadah kepada Allah. Wallahu a’lam

-Sebagai renung-renungan-

“Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku. Tidaklah aku beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Hanya kepada Allah jualah aku berserah diri dan Kepada-Nya lah aku kembali.”– Surah Hud: 88

No comments: