Sunday, February 10, 2008

Tahukah Anda Virus yang paling merbahaya???

Tahukah Anda apakah virus yang paling merbahaya di atas muka bumi ini? Adakah Kanser? Darah Tinggi? Sakit Jantung ? Diabetis? Kesemua jawapan ini mungkin ada kebenarannya. Semenjak dua menjak ini apabila ditanya maka jawapan yang diberikan adalah AIDS kerana dikhabarkan tiada penawar.

Tetapi percayakah anda terdapat satu virus yang amat sukar untuk dirawati sekiranya anda dijangkiti atau terjebak oleh virus tersebut? Dan virus ini jauh lebih merbahaya daripada kesemua penyakit yang telah disebutkan.

Virus ini amat mudah merebak sekiranya hati anda berada dalam keadaan kotor. Virus ini juga merupakan penyakit yang amat mudah berjangkit dan disebar melalui pembawa virus ini sekiranya daya tahan melawan penyakit anda berada di dalam keadaan lemah.
Apabila seseorang itu dijangkiti penyakit ini maka tanda-tanda (symptoms) yang akan dilihat ialah kebebalan dan kelembapan IQ atau akal mangsa yang dijangkiti oleh virus ini. Inilah Virus yang dinamakan secara ‘scientific’ sebagai virus Tasybih. Di dalam bahasa yang mudah difahami ialah penyakit yang sentiasa ingin menyamakan ALLAH dengan makhluk nauzubillahi min zalik.

Bilakah ia menyerang?

Virus ini akan datang menyerang atau mengganggu apabila seseorang itu suka sangat berlebih-lebihan dalam membincangkan tentang persoalan zat ALLAH Ta’ala atau yang bersangkutan dengan sifat-sifat ALLAH Ta’ala yang Mulia sehingga ke tahap mempertikaikan sifat-sifat ALLAH yang telah ALLAH khabarkan sendiri di dalam Al-Quran dan juga RasulNya di dalam Sunnahnya. Juga ianya akan menyerang sekiranya anda tersilap langkah di dalam memahaminya.


Mengapakah virus ini berbahaya?

Virus Tasybih sangat berbahaya kerana virus ini boleh membatalkan system 2 kalimah syahadah yang diyakininya di dalam hati. Maka seseorang boleh terkeluar dari keislamannya hanya dengan menyamakan ALLAH dengan makhlukNya. Ini kerana sekiranya seseorang menyamakan ALLAH dengan makhlukNya maka dia telah mensyirikkan ALLAH s.w.t. Syirik merupakan sebesar-besar dosa di sisi ALLAH dan syirik bererti seseorang yang menjadikan hak ALLAH s.w.t. dikongsi dengan makhlukNya.

ALLAH s.w.t. berfirman:

وَلَمْ يَكُنْ لَّهُ كُفُواً أَحَد

Dan tidak ada yang setara denganNya

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَـيئٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ البَصِيْرُ

ALLAH itu tidak sama dengan sesuatu pun dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Maka inilah Kaedah yang agung yang wajib disertakan dan diaplikasikan di dalam kesemua nama-nama dan sifat-sifat ALLAH Ta’ala. Di dalam ayat yang mulia ini adanya nafi dan istbat. Pertama menafikan persamaan antara Khaliq iaitu ALLAH itu tidak sama sedikitpun dengan makhlukNya dan yang kedua mengistbatkan (menetapkan) adanya sifat bagi ALLAH Ta’ala.


Sebab-sebab yang mengundang virus Tasybih ialah kesilapan pada Kaedah.

Untuk menghindarkan diri anda dari terjebak ke dalam virus Tasybih, anda perlu mempunyai kaedah yang betul di dalam memahami persoalan yang bersangkutan dengan aqidah nama-nama dan sifat-sifat bagi ALLAH s.w.t.
Maka anda perlu tahu turutan yang betul untuk memahami aqidah ini ketika anda melalui ayat-ayat al-Quran yang menceritakan sifat-sifat ALLAH s.w.t. dan ketika mana anda melalui hadis-hadis Nabi s.a.w. yang menjelaskan sifat-sifat ALLAH s.w.t. sebagaimana yang digariskan oleh Ahli Sunnah wal Jamaah. Turutannya ialah:

1. ISBAT (menetapkan sifat bagi ALLAH)

Kaedah pertama mengistbatkan iaitu menetapkan nama dan sifat bagi ALLAH Ta’ala sepertimana yang ALLAH Ta’ala sendiri sifatkan tentang diriNya di dalam al-Quran dan sepertimana baginda Nabi s.a.w. sifatkan tentang ALLAH Ta’ala di dalam hadis-hadisnya.

2. TANZIH (mensucikan ALLAH dari makhluk)

Setelah menetapkan sifat bagi ALLAH seperti di dalam al-Quran dan sunnah maka kaedah keduanya TANZIH menolak atau menafikan sebarang bentuk persamaan antara Khaliq (ALLAH) dan Makhluk (ciptaan ALLAH)

Maka dua kaedah ini dirangkum di dalam satu ayat:

إثبات بلا تمثيل وتنزيه بلا تعطيل
Menetapkan tanpa persamaan dan mensucikan tanpa menafikan

Maksudnya seperti 2 kaedah di atas iaitu menetapkan nama dan sifat bagi ALLAH tanpa menyamakanNya dengan makhluk dan Mensucikan ALLAH daripada menyerupai makhlukNya tanpa menafikan nama dan sifat bagiNya.

Bagaimanakah berlakunya kesilapan dan kecacatan dalam kaedah ini???

Apabila seseorang itu telah dijangkiti virus Tasybih lalu meletakkan kaedah yang pertama bukan ISBAT tetapi virus TASYBIH telah mengambil tempat yang pertama terlebih dahulu.

Sekiranya keadaan ini berlaku ia merosakkan sistem pada akal di dalam memahami aqidah Asma’ was Sifat ini. lalu apa yang berlaku? dia menjadikan kaedah seperti berikut:

1. TANZIH (Mensucikan ALLAH dari makhluk)

Oleh kerana virus Tasybih telah merosakkan sistem akalnya maka apabila melalui ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang memberitahu tentang sifat-sifat ALLAH Ta’ala, menyebabkan dia tidak menetapkan sifat tersebut terlebih dahulu kerana sekiranya dia menetapkan sifat tersebut, virus yang sudah menyerap masuk kedalam akal dan kefahamannya akan bermain difikirannya lalu dia menyangka sekiranya aku terima ayat sifat ini nanti aku telah mentasybihkan (menyamakan) ALLAH dengan makhluk pula. Dengan itu datang pula kaedah kedua:-

2. TAKWIL (mengubah) atau TA’THIL (menafikan)
Oleh kerana sistem pemahamannya telah diganggu dengan virus Tasybih ini maka kaedah keduanya juga turut sama rosak. Lalu atas dasar untuk tidak menyamakan ALLAH dengan makhluk, terus diubah atau dinafikan perkataan tersebut mengikut akalnya sendiri yang dirasakan menurut sangkaannya sekiranya ditukar perkataan tersebut menafikan penyerupaan ALLAH dengan makhluk.

Inilah Kaedah yang telah dirosakkan oleh virus Tasybih menafikan kaedah yang disebutkan sebelum ini yang digariskan oleh Ahli Sunnah wal Jamaah.

Orang yang telah dijangkiti virus ini seperti yang telah dinyatakan symptoms (tanda-tanda) nya ialah mengalami kebebalan dan kelembapan daya fikir. Maka dia tidak boleh berfikir dengan baik. Tujuan dia mentakwil iaitu mengubah makna sifat ALLAH Ta’ala ialah supaya dengan demikian dia tidak terjebak ke dalam penyakit Tasybih tetapi oleh kerana kelembapan pada akal fikirannya dia tidak dapat berfikir tindakannya itu menyebabkan dia tergelincir ke dalam Tasybih yang lain pula.

Kesudahannya dia sendiri tidak dapat membuang atau menghilangkan virus yang sedang dimomok-momokkan oleh dirinya sendiri…

To be continued ….

No comments: