Monday, November 12, 2007

Budak aktif lebih pintar

Kajian pakar dapati aktiviti fizikal penting rangsang saraf NEW YORK: Kanak-kanak aktif yang bermain dengan penuh bertenaga selama 20 hingga 40 minit sehari menjadikan otak serta tubuh mereka semakin kuat, menurut kajian yang menunjukkan mengapa aktiviti fizikal penting kepada golongan itu. Penyelidik Kolej Perubatan Georgia di Amerika Syarikat membahagikan 163 kanak-kanak dengan berat badan berlebihan berusia tujuh hingga 11 tahun kepada tiga kumpulan dan mengawasi mereka selama tiga bulan.


Ketika kumpulan pertama tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal selepas sekolah, kumpulan kedua pula bermain dengan penuh bertenaga selama 20 minit lima hari seminggu selepas sekolah. Kumpulan ketiga pula melakukan aktiviti fizikal selama 40 minit lima hari seminggu, lapor akhbar USA Today. Kumpulan yang aktif bermain permainan yang memerlukan banyak tenaga seperti melompat tali, berlari dan bola keranjang. Mereka memakai alat mengawasi kadar jantung dan diberi ganjaran kerana mengekalkan kadar degupan jantung tinggi secara purata. Pelajar juga diberikan ujian fungsi kognitif pada awal dan akhir kajian. Mereka diuji untuk pencapaian matematik dan bacaan serta fungsi pelaksana.

Fungsi pelaksana termasuk skil penting bagi perancangan dan penganjuran, tumpuan terhadap kerja sekolah, menolak desakan hati, mengawasi diri sendiri dan menggunakan strategi untuk mencapai matlamat. Saintis mendapati kanak-kanak dalam kumpulan yang aktif selama 40 minit mempunyai kemajuan penting dalam ujian fungsi pelaksana berbanding kumpulan lain. Mereka mencatatkan peningkatan kira-kira empat mata dalam skala persembahan kognitif. Kumpulan yang bermain selama 20 minit pula menunjukkan separuh daripada kemajuan itu. Kemajuan kecil dicatatkan dalam pencapaian matematik bagi kedua-dua kumpulan lasak itu tetapi tidak petunjuk kemajuan dalam bacaan. Penyelidik juga menjalankan imbasan otak dan mendapati kanak-kanak yang bermain mempunyai lebih banyak aktiviti saraf di kawasan depan otak - kawasan penting untuk fungsi pelaksana. Kanak-kanak dalam kumpulan yang suka bermain juga kehilangan kira-kira satu hingga dua peratus lemak tubuh. - Agensi

Sumber: Berita Harian

No comments: