Friday, November 16, 2007

Al-Sirah al-Nabawiyyah

Siri kuliah al-sirah al-nabawiyyah di Masjid Alwi Kangar
oleh: Abu syu'aib

Muqaddimah

Sesungguhnya termasuk antara perkara yang sangat penting untuk dipelajari oleh setiap individu muslim sama ada penuntut di peringkat permulaan atau pun golongan yang terpelajar ialah mempelajari Sirah Muhammadiyah iaitulah perjalanan hidup seorang Insan mulia utusan Allah s.w.t. nabi Muhammad s.a.w. disebabkan insan mulia ini merupakan rasul utusan Allah, sebaik-baik muallim (guru) dan muaddib (pendidik) dan pengasas kepada madrasah yang melahirkan generasi awal di kalangan lelaki dan perempuan yang mana kita tidak akan mendapati generasi seperti ini di zaman kita ini. Mereka ialah al-Sohabah iaitu sahabat-sahabat yang mendampingi nabi Muhammad s.a.w. generasi contoh Ridwanullah ‘alaihim ajmaiin (Allah meredhoi mereka semua).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.h.

قال: من كان منكم متأسيا فليتأس بأصحاب محمد صلى الله عليه وسلم، فإنهم كانوا أبر هذه الأمة قلوبا وأعمقها علما، وأقلها تكلفا، وأقومها هديا، وأحسنها حالا، قوما اختارهم الله لصحبة نبيه، وإقامة دينه، فاعرفو لهم،فضلهم، واتبعوهم في آثارهم، فإنهم كانوا على الحدي المستقيم. -جامع بيان العلم وفضله-

Maksudnya:
Ibn Mas’ud berkata: “Sesiapa dikalangan kamu yang ingin mengikut atau meniru maka hendaklah dia mengikut para sahabat Muhammad s.a.w. kerana sesungguhnya merekalah yang terbaik di kalangan umat ini hatinya, dan yang paling mendalam ilmunya, dan yang paling tidak berlebih-lebihan, dan yang paling baik keadaannya, suatu kaum yang telah dipilih oleh Allah untuk mendampingi nabinya s.a.w. dan menegakkan agamanya, maka ketahuilah bagi mereka itu kelebihan, dan ikutilah mereka, sesungguhnya mereka berada di atas petunujuk yang lurus.

Merekalah yang disebut sebagai generasi Salafus Soleh yang di I’tiraf oleh nabi s.a.w. sebagai sebaik-baik kurun.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ[2]

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang berada di dalam kurunku. Kemudian kurun selepasnya dan kemudian kurun selepasnya.

Maka golongan yang sempat bersama dengan salaf iaitu dari kalangan Tabiin dan atba’ al-Tabiin mengetahui sirah rasul terakhir ini dan sirah sahabat-sahabatnya. Mengetahui cara pentarbiah mereka. Bagaimana membina generasi yang terbaik untuk membawa risalah Islam ini dan bagaimana pengorbanan yang yang dilakukan dan dicurahkan pada jalan agama, dari segi jiwa raga dan harta, lalu mereka mempelajari sirah ini dan menghafalnya. Setelah menghafalnya mengajarkannya pula kepada anak-anak mereka seperti mana mereka mengajarkan al-Quran.
Diriwayatkan daripada Zainul Abidin Ali bin Hussin radiallahu ta’ala anhuma dia berkata:

كنا نعلَّم مغازي رسول الله صلى الله عليه وسلم، كما نعلَّم السورة من القرآن[3]

Maksudnya: Kami dahulu mempelajari Maghazi (peperangan nabi s.a.w.) sepertimana kami mempelajari surah dari al-Quran.

Al-Imam Zuhri, seorang ulamak hijaz dan syam dan beliau antara ulamak awal yang mengumpulkan sirah bahkan dikatakan sirahnya merupakan sirah yang pertama ditulis dalam Islam.[4] Beliau berkata:

في علم السيرة علم الدنيا والآخرة[5]
Maksudnya: Di dalam sirah itu terdapat ilmu dunia dan akhirat.

Dan diriwayatkan daripada Ismail bin Muhammad bin Sa’ad bin Abi Waqqas r.h.

كان أبي يعلمنا المغازي والسرايا ويقول: يا بني هذه شرف آبائكم، فلا تضيعوا ذكرها[6]
Maksudnya: Ismail berkata: Ayahku dulu mengajarkan kami al-Maghazi dan al-Saraya. Dan beliau (ayahnya) berkata: wahai anakku inilah kemulian datuk nenek kita dahulu, jangan kamu melupainya.
Begitulah kepentingan sirah untuk dipelajari oleh setiap individu muslim supaya dapat mengetahui sejarah dan dijadikan I’tibar kepada generasi-generasi seterusnya.

Takrif al-Sirah al-Nabwiyyah:

Sirah dari segi bahasa:

السنة والطريقة والهيئة والحالة التي يكون عليها الإنسان وغيره
Makna sirah ialah sunnah (perjalanan hidup), jalan, bentuk, dan hal keadaan manusia dan selainnya.

Al-Sirah al-Nabawiyyah ditulis al-Sirah bermaksud:

مأخوذة من السيرة بمعنى الطريقة، وأدخل فيها الغزوات وغير ذلك. ويقال قرأت سيرة فلان: أي تاريخ حياته.[7]
Diambil dari perkataan al-Sirah yang bermaksud jalan, dan termasuk di dalam makna ini al-Ghazawat iaitu peperangan yang berlaku yang disertai nabi s.a.w. dan sebagainya. Dan disebut “aku membaca sirah si fulan” membawa maksud sejarah hidupnya.

Oleh itu pembelajaran sirah nabi s.a.w. meliputi perkara-perkara yang berikut:

1- Hayat kehidupan rasulullah s.a.w. bermula semenjak kelahiran sehingalah baginda s.a.w. wafat menemui al-rafiqul a’la.

2- Hayat kehidupan para sahabat baginda s.a.w. yang sama-sama berjuang bersamanya dan membenarkan apa yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

3- Sejarah penyebaran agama ini yang bermula dengan kalimah Iqra’ di gua hira’ yang dibawa turun oleh al-amin Jibril a.s. kepada al-amin Muhammad s.a.w keseluruh tanah arab dan sehinggalah manusia memasuki agama Allah secara berbondong-bondong.

Tujuan dan kepentingan mempelajari Sirah Nabi.

1- Memahami peribadi Nabi Muhammad s.a.w. melalui kehidupan dan keadaan hidup baginda s.a.w. sebagai manusia biasa dan utusan Allah.

2- Dengan mempelajarinya manusia dapat meniru dan mencontohi baginda s.a.w. dalam segenap aspek kehidupan. Ini kerana baginda s.a.w. adalah dikalangan manusia. Maka tidak ada alasan bagi mereka yang suka berdalih untuk tidak mencontohi apa yang ditunjukkan oleh nabi s.a.w. dengan alasan yang sering kita dengar seperti siapa kita nak dibandingkan dengan nabi dan yang seumpamanya. Nabi adalah manusia biasa seperti kita hanya yang membezakan antara kita dan nabi ialah mereka manusia yang dipilih oleh Allah dan diberikan wahyu untuk disampaikan kepada umatnya.

3- Sirah dapat membantu memahami al-quran dan sunnah kerana antara tugas nabi s.a.w. menerangkan dan menghuraikan apa yang terdapat di dalam kedua-dua sumber tersebut melalui kejadian dan peristiwa yang berlaku.

Mempelajari sirah nabi s.a.w. merupakan ibadah

Allah berfirman :

لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الآخر

Sesungguhnya pada diri rasululah itu contoh teladan yang baik, bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari akhirat. -Al-ahzab:21-

Apabila mempelajari sirah nabi, maka kita mempelajari kehidupan sebaik-baik nabi yang dipilih oleh Allah s.w.t. dan kita juga mempelajari kehidupan sebaik-baik umat juga sebaik-baik risalah yang diturunkan kepada manusia. Maka umat ini ditaklifkan atau diwajibkan mengikut rasulullah s.a.w. dan ini dapat direalisasikan dalam kehidupan manusia dengan mengenali, mempelajari dan memahami sirah junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.

Dan umat Islam juga diwajibkan mengikut sebaik-baik umat, dan tidak menyelisihi sunnah dan petunjuk mereka.

Allah berfirman:
والسابقون الأولون من المحاجرين والأنصار، والذين اتبعوهم بإحسان رضي الله عنهم ورضوا عنه، وأعدلهم جنات تجري تحتح الأنهار خالدين فيها أبداً ذلك الفوز العظيم.
Maksudnya: Orang-orang yang terdahulu lagi pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang muhajirin dan ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar. –al-Taubah:100-

Bagaimana hendak mengikuti generasi salaf ini sekiranya tidak mengetahui amalan-amalan mereka, jihad pengorbanan yang mereka lakukan dan kehidupan mereka?

Maka dengan itu kaedah syara’ yang berbunyi :

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
Bermaksud apa-apa perkara wajib yang tidak sempurna melainkan dengannya maka perkara itu juga adalah wajib.

Menunjukkan bahawasanya mempelajari sirah nabi s.a.w. serta para sahabatnya adalah wajib.

Sumber-sumber pengambilan sirah

1- Al-Quran al-Karim yang merupakan sumber utama pengambilan sirah.

2- Kitab-kitab sunnah atau hadis dan ini merupakan sumber kedua selepas al-Quran.

3- Kitan-kitab sejarah

[1] Jaami’ bayani al-Ilmi wa fadlihi, Ibn Abdil Barr, jilid 2, ms:97.
[2] Al-Bukhari dan Muslim
[3] Riwayat al-Khatib dan Ibn ‘Asakir, rujuk al-Bidayah wa al-Nihayah jil.3. hlm 241
[4] Al-Sirah al-Nabawiyah fi Dhaui al-Quran wa al-Sunnah, Abu syahbah. Dinukil dari al-Sirah al-halabiah jil.1. hlm. 2.
[5] Ibid.
[6] Al-Sirah al-Nabawiyah fi Dhaui al-Quran wa al-Sunnah, Abu syahbah. Dinukil dari syarh al-mawahib jil.1. hlm. 473
[7] Al-Qamus al-Muhit, al-Fairuz abadi.

No comments: