Wednesday, April 30, 2008

KENYATAAN MEDIA JABATAN MUFTI PERLIS MENGENAI JOM HEBOH

Pada dasarnya, Jabatan Mufti Perlis tidak mengharamkan Program Jom Heboh anjuran Stesyen TV3, akan tetapi pihak Jabatan Mufti dukacita dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama dengan program Jom Heboh tersebut.


2. Pihak Jabatan Mufti mencadangkan garis panduan berikut sebagai panduan pelaksanaan program Jom Heboh di Negeri Perlis:


i. Program Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan sekiranya hendak dilaksanakan di Negeri Perlis


ii. Jika disertai dengan program konsert, ia hendaklah terkawal dan berdisiplin

iii. Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock, dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh dibenarkan

iv. Maka artis-artis yang hendak dibawa masuk hendaklah artis yang telah dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti, secara umumnya dicadangkan artis-artis puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip dan Suhaimi Mior Hassan ataupun kumpulan-kumpulan nasyid di tanahair.

v. Sebarang aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai kebodohan yang seakan-akan memperlekehkan akal dan pemikiran rakyat adalah tidak boleh dibenarkan

vi. Unsur-unsur khurafat seperti penampilan kepercayaan-kepercayaan misteri dan karut tidak dibenarkan. Demikian juga jualan barang-barangan khurafat dan tahyul seperti kayu koka tidak dibenarkan

vii. Penganjur Jom Heboh hendaklah menghormati sensitiviti orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyian-bunyian pada waktu solat sehingga kelihatan seperti tidak menghormati agama.


Sekian , terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA”


Saya yang menjalankan tugas,

( DR. MOHD. ASRI BIN ZAINUL ABIDIN )

Mufti,

Kerajaan Negeri Perlis.

Monday, April 28, 2008

TAHNIAH di atas penubuhan Institut al-Mizan


Tahniah diucapkan kepada al-Fadhil Ustaz Musa Sadri dan Jamaah yang telah menubuhkan Institut al-Mizan yang sebenarnya telah bertapak lama di Kuala Pilah negeri Sembilan iaitu Markaz Ittiba' al-Sunnah yang diketuai oleh Ustaz Hasyim Ghani Rahimahullahu Ta'ala. Kita bersyukur kepada ALLAH s.w.t. kerana tertubuhnya satu lagi NGO dakwah kepada al-Quran dan sunnah di sana...

Majlis perasmian disempurnakan oleh Y.Bhg S.S Dr. Mohd Asri Zainul Abidin Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang kebetulan memang berada di Negeri Sembilan kerana menghadiri Seminar Undang-undang JAKIM. Antara wakil-wakil yang turut hadir di majlis perasmian tersebut dari Institut Ibn Hajar Melaka yang baru ditubuhkan diwakili oleh Ustaz Minhat Mahmud, Ma'ahad Tahfiz al-Mizan Terengganu Ustaz Ghazali (Razali), Pertubuhan al-Islah Perlis Dato Abdul Rashid bersama rombongan satu bas, Pertubuhan Kebajikan al-Nida' Ustaz Sofwan Badri, Pertubuhan Muhammadiyyah Singapura Ustaz Abdul Salam Muhammad Sultan, Institut al-Qayyim Penang, turut kelihatan Ustaz Md Yatim, Ustaz Fadhlan Othman, Prof Farouk Muslim Profesional Forum, dan tidak dilupakan Institut al-Imam al-Syafie (INTIS) En Faris Aiman dan saudara masri yang bersemangat memberi ucapan....Dato Seri Shahidan Kassim tidak dapat hadir di saat-saat akhir..

Semoga dengan tertubuhnya Institut al-Mizan ini akan menyemarakkan lagi dakwah di bumi Malaysia khususnya di bumi Negeri Sembilan...

Fatwa syirik al-Harari al-Habasyi




Ditanya kepada Abdullah al-Harari tentang hukum orang yang memohon pertolongan kepada mayat di dalam kuburdan menyeru mereka di dalam kubur seperti dia berkata Wahai Syed Badawi (orang dah mati) tolonglah aku

Al-Harari menjawab:

Ya Semua itu dibolehkan. Dibolehkan bagi seorang berkata: Tolonglah aku wahai Badawi, bantulah aku wahai Badawi.

Ditanya kepada Abdullah al-Harari: Roh-roh berada di alam barzakh bagaimana nak memohon pertolongan daripada mereka sedangkan mereka itu jauh?

Al-Harari menjawab: Allah Ta’ala memuliakan mereka dengan memperdengarkan mereka suara dari jauh sedang mereka berada di dalam kubur, maka mereka berdoa kepada yang memohon dan menyelamatkannya. Kadang-kadang mereka keluar dari kubur-kubur mereka dan menunaikan segala hajat orang yang memohon pertolongan daripada mereka kembali kembali semula ke kubur-kubur mereka…


Tidakkah mereka membaca firman-firman Allah Ta’ala di dalam al-Quran supaya memohon doa pertolongan hanya kepada Allah???

Memohon kepada makhluk yang dah mati di dalam kubur merupakan kesesatan yang nyata dan syirik kepada Allah Ta’ala. Mayat itu sendiri tidak boleh memberi manfaat untuk dirinya sendiri dan tidak mampu menolak mudarat dari terkena kepada diri mereka sendiri bagaimana mungkin boleh member dan menunaikan hajat orang yang hidup….

Aqal yang sihat pun tidak boleh menerimanya kecuali mereka yang mempunyai aqal fikiran yang sempit dan bebal…


Ahbash lah yang sebenarnya musyabbihah, menyamakan Allah dengan makhluk, kerana hanya yang boleh memberi manfaat dan mendatangkan mudarat itu adalah Allah, jika sekiranya anda menyatakan makhluk juga boleh menunaikan hajat makhluk yang lain anda TELAH MENYAMAKAN ALLAH DENGAN MAKHLUK…wal ‘iyazubillah

Friday, April 18, 2008

AL-AHBASH mengkafirkan Ali al-Jufri- mengapa?



Al-Harari berkata di dalam kitabnya: التعاون على النهي عن المنكر yang bermaksud “tolong-menolong di dalam mencegah kemungkaran” pada fasal “Awas wahabi yang Musyabbihah:

Yang menghairankan si Ali al-Jufri ini yang dia sendiri beri’tiqad bahawasanya Wahabi itu Mujassimah tetapi dia berkata: “Aku tidak kafirkan mereka (wahabi)” ..Bahkan sesiapa yang syak dan ragu-ragu akan kekufuran mujassimah dia kafir.

Maka bagaimana Ali al-Jufri boleh katakana tentang wahabiyyah: “mereka (wahabi) mengkafirkan sesiapa yang bertawassul dengan para nabi dan para wali, mereka mengharamkan maulid dan membaca al-Quran ke atas mayat orang islam dan mereka mengatakan Allah itu jisim yang duduk tetapi tidak boleh kafirkan mereka atau kata kepada mereka Yahudi????

Cuba perhatikan kata-katanya:

فالعجب من علي الجفري الذي يعتقد أن الوهابية مجسمة ثم يقول "أنا لا أكفرهم" بل الذي يشك في كفر المجسم هو يكفر

Yang menghairankan si Ali al-Jufri ini yang dia sendiri beri’tiqad bahawasanya Wahabi itu Mujassimah tetapi dia berkata: “Aku tidak kafirkan mereka (wahabi)” ..Bahkan sesiapa yang syak dan ragu-ragu akan kekufuran mujassimah dia kafir.

Maka si Harari ni menghukumkan si Ali al-Jufri sebagai KAFIR….Mengapa???

KERANA al-Jufri tidak mengKAFIRkan SALAFIYYAH, maka barangsiapa yang tidak mengkafirkan salafiyyah maka dia KAFIR…

Subhanallah…sehinggakan rakannya sendiri sebagai KUBURIYYAH (geng-geng penyembah kubur) tidak selamat daripada tuduhan kafir

Allah mengetahui bahawasanya Salafiyyah berlepas diri daripada pembohongan dan pendustaan mereka…tetapi orang-orang yang munsif (adil) berkata:

Allah berfirman yang bermaksud: (Ingatlah) diwaktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu mengganggapnya suatu yang ringan sahaja padahal dia disisi Allah adalah besar.

Dan mengapa kamu tidak berkata di waktu mendengar berita bohong itu: “Sekali-kali tidaklah pantas bagi kita memperkatakan ini, Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami) ini adalah pendustaan yang besar.

Allah memperingatkan kamu agar (jangan) kembali melakukan yang seperti itu selama-lamanya jika kamu orang-orang yang beriman.

Thursday, April 17, 2008

Fadhilat atau Kelebihan Berwudhuk

Fadhilat atau kelebihan berwudhuk berdasarkan kepada hadis yang sahih ialah:

Sebagai perhiasan orang mukmin.


وعن أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قال: سَمِعْتُ رسولَ الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: )إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الْوُضُوءِ(. فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ. متفق عليه

Daripada Abu Hurairah r.h. dia berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya umatku dipanggil pada hari Kiamat dalam keadaan bersinar muka, tangan dan kakinya kesan daripada wudhuk, maka barangsiapa antara kamu mampu memanjangkan sinarnya hendaklah dia melakukannya. Muttafaqun Alaihi.


Hadis ini menjelaskan fadhilat atau kelebihan kepada umat Muhammad s.a.w. iaitulah mereka akan dibangkitkan di hari Kiamat dengan keadaan bersinar muka, tangan dan kakinya kesan daripada wudhuk yang diambilnya sewaktu di dunia. Sesungguhnya Allah s.w.t. jadikan alamat yang akan menyebabkan Rasulullah s.a.w. mengenali umatnya di Akhirat nanti.

Perkataan غرًّا (Ghurran) pada asalnya bermaksud tompok putih yang terdapat pada kepala (dahi) seekor kuda.

Perkataan محجلين (Muhajjalin) pula bermaksud warna putih yang terdapat pada kaki kuda.


Para ulamak hadis menyatakan bahawa ayat yang kedua dari hadis di atas iaitu
فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ bukanlah sebahagian dari hadis. Ianya dari perkataan Abu Hurairah r.h. Ini disebabkan tidak terdapat lafaz ini sekiranya dilihat melalui jalan periwayatan yang lain. Sebahagian ulamak menyatakan tambahan ini menjadi masalah kerana sekiranya dilakukan maka dikira sebagai berlebih-lebihan di dalam berwudhuk. perbuatan ini hanya dilakukan oleh Abu Hurairah r.h. tidak dilakukan oleh sahabat yang lain, maka lafaz ini seperti yang telah dinyatakan merupakan lafaz Abu Hurairah r.h.

Memanjangkan tempat basuhan wudhuk pada anggota wudhuk disyariatkan dalam erti kata menyempurnakan lagi wudhuk, ini kerana basuhan terebut dapat melengkapkan lagi had yang diwajibkan.

وعنه قال: سَمِعْتُ خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ تَبْلُغُ الْحِلْيَةُ مِنْ الْمُؤْمِنِ حَيْثُ يَبْلُغُ الْوَضُوءُ. رواه مسلم.

Daripada Abu Hurairah r.ha. dia berkata: Aku mendengar Kekasihku s.a.w. bersabda: Perhiasan orang mukmin akan sampai pada tempat-tempat yang dibasahi oleh wudhuk. Muslim.

Wudhuk sebagai penghapus dosa

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ خَرَجَتْ خَطَايَاهُ مِنْ جَسَدِهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ أظْفَارِهِ. رواه مسلم.

Daripada Uthman bin Affan r.h. dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: sesiapa yang berwudhuk dan memperelokkan wudhuk akan keluar kesalahan-kesalahannya dari jasadnya sehingga ianya keluar melalui bahagian bawah kuku-kuku jarinya. Muslim.

Hadis ini menjelaskan bahawa syarat untuk keluarnya segala kesalahan dan dosa dari diri seorang yang berwudhuk itu ialah apabila dia memperelokkan wudhuknya.

وعنه قال: رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ مِثْلَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ قَالَ: مَنْ تَوَضَّأَ هَكَذَا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَكَانَتْ صَلاَتُهُ وَمَشْيُهُ إِلَى الْمَسْجِدِ نَافِلَةً. رواه مسلم

Daripada Uthman bin Affan r.h. dia berkata: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w. berwudhuk seperti wudhkku ini, kemudian baginda bersabda: Sesiapa yang berwudhuk seperti ini akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu, dan solatnya perjalanannya ke masjid merupakan tambahan kebaikan.


FaFaedah hadis ini

- Wudhuk dapat menghapuskan kesalahan dan dosa

· - Wudhuk tidak akan menghapus dosa seseorang kecuali apabila dia berwudhuk selari sepertimana wudhuk yang telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.

· -Menunjukkan sifat Pemurah ALLAH kepada hambaNya dengan menjadikan wudhuk sebagai alat penghapus dosa, ditambah lagi dengan solatnya dan perjalanannya ke masjid akan dikurniakan ganjaran kebaikkan untuknya.

Monday, April 14, 2008

Sunday, April 6, 2008

Ustaz Zaharuddin-Koka

Nuruddin dan koka

KAYU KOKAK

KUALA LUMPUR: Sepuluh tahun, RM8.1 juta. Secara purata, itulah nilai wang penduduk negara ini yang ‘lebur’ gara-gara memiliki kayu kokka — kayu yang selayaknya diubah nama kepada ‘kayu kokak’ (tidak berguna) kerana satu kajian terperinci mendapati kayu kokka sebenarnya tidak wujud dan sengaja diperkenalkan semata-mata untuk tujuan perniagaan.

Anggaran jumlah berkenaan diperoleh hasil maklumat daripada sumber yang rapat serta pernah menjalin urus niaga dengan beberapa ‘tauke besar’ atau pembekal utama kayu itu.

Begitupun, jumlah itu dipercayai lebih besar kerana ia tidak termasuk jumlah jualan diperoleh peniaga kayu kokka di seluruh negara. Ia juga tidak termasuk jumlah pembelian terus di luar negara, terutama di Makkah.

Peniaga kayu kokka yang mahu dikenali sebagai Abdul Jasman Ahmad, 38, berkata berdasarkan pengalamannya, kayu kokka mula dibawa masuk ke negara ini menerusi seorang warga Turki pada 1998.

Katanya, rakannya terpengaruh dengan keistimewaan yang diuar-uarkan mengenai kayu itu sehingga sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.

“Ketika itu nilainya sangat mahal. Sebagai contoh, satu tasbih yang mempunyai 33 biji kayu boleh dijual dengan harga sehingga RM1,800, manakala tasbih 100 biji kayu kokka boleh dijual sehingga RM2,500. Jualan memang menggalakkan.

“Rakan saya memperoleh untung sehingga 300 peratus kerana mengambilnya dengan harga lebih murah,” katanya.

Abdul Jasman berkata, pada 2003, sambutan terhadap kayu kokka sangat luar biasa sehingga muncul seorang lagi pembekal dari Sudan menawarkan kayu kokka dalam kuantiti lebih besar.

Katanya, buah, tasbih, cincin, gelang, minyak dan tongkat daripada kayu kokka laris jualannya.

“Rakan saya tidak mampu mengambil stok dalam jumlah banyak kerana harga ditawarkan terlalu tinggi. Ketika itu juga pelajar Malaysia yang menuntut di Timur Tengah turut membawa pulang kayu berkenaan untuk dijual, menyebabkan saya terpaksa mengehadkan penjualan.

“Begitupun, dia tetap membekalkan kayu itu kepada peniaga di seluruh Malaysia dan memperoleh untung besar. Jika diikutkan, jualan kayu itu sehingga hari ini mencecah RM1 juta,” katanya yang mengakui kemunculan sebuah buku terbitan sebuah syarikat mengenai keistimewaan dan khasiat kayu kokka melariskan lagi kayu itu.

Dalam pada itu, satu lagi pembekal yang lebih besar modalnya dianggarkan membuat jualan mencecah jutaan ringgit sehingga hari ini.

Seorang sumber yang mahu dikenali sebagai Asfar Kasim, 40, berkata pembekal itu kini bergelar usahawan dan bertambah mewah apabila menjadi pembekal kayu kokka di seluruh Malaysia.

“Dia (pembekal itu) memperoleh bekalan daripada pembekal warga Turki dan Sudan. Dia membeli dalam jumlah besar. Saya diberitahu, untuk tasbih saja, dari 1998 hingga hari ini sudah 100 ribu berjaya dijualnya.

“Secara purata, setiap tasbih dijual dengan harga RM200 dan apabila dijumlahkan, jualan produk itu mencecah RM2 juta,” katanya.

Menurut Asfar, itu belum lagi termasuk buah, cincin dan gelang yang turut mendapat sambutan hangat daripada pembeli.

Katanya, buah kayu kokka memang banyak dijual kerana sekurang-kurangnya 250,000 berjaya dijual dengan harga kira-kira RM100 sebiji sehingga jumlah jualan mencecah RM2.5 juta dalam tempoh sama.

“Untuk gelang pula, dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 100,000 berjaya dijual. Harga ditawarkan sekitar RM100 dan ia menyaksikan jualan sehingga RM1 juta.

“Cincin juga mencatat jualan mencecah 200,000 untuk tempoh 10 tahun. Setiap cincin dijual dengan harga sekurang-kurangnya RM80, sekali gus menyaksikan jualan mencecah RM1.6 juta,” katanya.

Asfar berkata, pembekal terbabit mencatat jumlah jualan mencecah RM7.1 juta dan ia belum ditambah dengan produk sampingan lain seperti minyak dan tongkat.

Kepalsuan kayu kokka dibongkar seorang Ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong, yang melakukan kajian terperinci untuk tempoh setahun bersama beberapa pakar tempatan dan antarabangsa.

Mereka ialah Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hisham Hashim; Pakar Botani dari Mesir, Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah; Profesor Ali Akbar Zurillah dari Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki dan penceramah bebas serta penulis, Ahmad Shukri Ghazali Siraj.

Kajian menyeluruh di negara yang dikatakan mempunyai pokok kayu kokka seperti Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama kokka dan apa yang didakwa sebagai kayu kokka sebenarnya diperoleh daripada spesies pokok Palma.

Abdul Manan berkata, penyelidikan dilakukan secara berperingkat-peringkat, iaitu mengesan asal usul kayu kokka dan mengesan pokok yang dikatakan menghasilkan kayu kokka.

“Kami tidak dapat mengesan spesies tumbuhan yang menggunakan nama kokka di dunia. Jika ada sekalipun, nama panggilan di Jepun, ‘kokua’ iaitu sejenis pokok berbatang kecil dan menjalar yang digunakan untuk sejenis upacara keagamaan dipanggil Shinto.

“Ada juga sejenis tumbuhan palma yang sebutannya hampir dengan ‘kokka’, iaitu sebutan bagi orang Turki, ‘kuka’ daripada asal perkataan ‘Coco De Mer’ atau ‘Melanococa’ digunakan untuk menghasilkan minyak,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kayu kokka dikesan dihasilkan daripada spesies pokok palma ‘Attalea Funifera’.

Katanya, buah dan tempurung daripada pokok itu sememangnya digunakan untuk membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan semata-mata untuk perniagaan.

“Penyelidikan kami mendapati pokok berkenaan tumbuh di Brazil, Colombia dan Argentina. Di Brazil, pokok berkenaan dikomersialkan, malah mempunyai ladang seluas antara 20 hingga 2,000 hektar.

“Segala hasil pokok itu, seperti buah, tempurung, batang, pelepah dan kulit pokok dijadikan pelbagai barangan seperti minyak dan dieksport ke negara seperti Turki, Mesir, Iran, Syria, Libya, Amerika Syarikat, Afrika, India dan Malaysia,” katanya.

Abdul Manan berkata, kayu kokka yang dibawa masuk ke negara ini dan kemudian dihasilkan dalam bentuk tasbih, gelang, cincin, minyak dan tongkat adalah seumpama biji kelapa sawit atau biji Tamar yang dijadikan perhiasan.

“Tiada bukti dapat mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka itu ada keistimewaan dan khasiat tertentu.

“Bagi mengaitkannya sebagai bahan digunakan bahtera Nabi Nuh as seperti diuar-uarkan sememangnya jauh tersimpang kerana pokok berkenaan tidak sesuai dibuat kapal kerana tidak mampu bertahan di atas air,” katanya.

Abdul Manan berkata, pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’ yang diperoleh di pergunungan Ararat, Turki.

Menurutnya, penemuan itu berdasarkan kajian dibuat terhadap satu fosil bongkah kayu lama berusia kira-kira 3,500 tahun milik seorang Arab Kurdis yang mendakwa dirinya keturunan ke-1750 Nabi Nuh.

“Kandungan kimia dalam bongkah kayu berkenaan ialah Alpha Cellulose, Hemi Cellulose dan Holo Cellulose iaitu asid asal Alpinene.

“Kandungan itu bersesuaian dengan hasil kajian dilakukan Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah pada 10 Oktober 2007 di Mesir yang menemui hasil sama dengan spesies ‘Pine Cypress’.

“Daripada 19 jenis pokok Pine dikaji, spesies ‘Pine Cypress’ mengandungi kandungan kimia paling tepat sama dengan kandungan kimia serpihan lama bongkah kayu itu yang dikatakan serpihan bahtera Nabi Nuh.

“Malah, hasil kajian itu juga sama dengan hasil kajian diperoleh kumpulan pengkaji Inggeris dari 1884 hingga 1954,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kajian dilakukan Ronald Eldon Wyat pada 1954 menyatakan pokok ‘Pine Cypress’ tumbuh di pergunungan Chaldea hingga pergunungan tengah Armenia di sempadan Rusia hingga ke pergunungan Ararat, tempat bahtera Nabi Nuh dikatakan tersadai mengukuhkan lagi dakwaan itu.

“Hasil penyelidikan Ronald memperkukuhkan bukti pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera agung baginda ialah ‘Pine Cypress’, bukan kokka,” katanya yang akan menerbitkan buku khusus untuk memperjelaskan kekeliruan masyarakat terhadap kayu kokka.

Abdul Manan berkata, fosil yang ditemui juga diuji Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan ia disahkan spesies Pine Cypress yang masih aktif kandungan kimianya.

Katanya, dengan pendedahan itu, diharap masyarakat tidak tertipu dan terpedaya dengan keistimewaan dan kelebihan yang diuar-uarkan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Info

> Kajian mendapati nama kokka tidak pernah wujud

> Apa yang didakwa kayu kokka sebenarnya spesies pokok Palma

> Tiada bukti mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka ada keistimewaan tertentu

> Mengaitkan kokka sebagai bahan membuat bahtera Nabi Nuh as sangat diragui kerana pokok berkenaan tidak mampu bertahan di atas air

> Pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’

Petikan: harianmetro.com.my