Sunday, December 19, 2010

Aqidah ahli sunnah wal jamaah




di Sampaikan oleh al-Syeikh al-Allamah Sulaiman al-Mani', salah seorang anggota lajnah hai'ah Kibar Ulamak Saudi. juga merupakan rujukan dalam bidang muamalat islam

Tuesday, December 14, 2010

Hukum memakan sembelihan Ahli Kitab




Syeikh Muhammad Soleh ditanya: Hukum memakan sembelihan ahli Kitab di Amerika

Syeikh Menjawab: Memakan sembelihan nasrani (kristian) dan Yahudi di negeri ini (Amerika) adalah HARUS. Ini Kerana Allah s.w.t. berfirman:

اليوم أحللكم الطيبات وطعام الذين أوتوا الكتاب حل لكم وطعامكم حل لهم

Maksudnya: Pada hari ini Aku halalkan bagi kamu semua yang baik, dan makanan mereka yang diberikan kitab (ahli Kitab) halal bagi kamu dan makanan kamu halal bagi mereka.

Ibn Abbas radiyallahu anhuma berkata: maksud makana mereka ialah sembelihan mereka.

Nabi s.a.w. pernah memakan makanan dari seorang yahudi tanpa bertanya dan tanpa meminta penjelasan (adakah ianya disembelih cara islam atau tidak)

Maka kita tidak perlu bertanya bahkan tidak sepatutnya kita bertanya bagaimana cara ia disembelih, adakah disebut nama Allah atau tak.

Aisyah pernah menceritakan tentang suatu kaum yang baru sahaja masuk Islam menjamu makanan yang mana tidak diketahui sembelihan mereka ini sebut nama Allah atau tidak. Nabi menyatakan bacalah kamu bismillah dan makan sahaja.

hadis ini menunjukkan mereka baru masuk Islam yang kemungkinan perlaksanaan islamnya masih baru dan mungkin terlepas pandang tentang hukum hakam penyembelihan.

Berkenaan mereka itu ahli kitab (mungkin ada orang menyatakan mereka tidak beramal lagi dengan kitab)dan mereka itu sendiri kufur Allah menyatakan dalam surah al-Maidah yang bermaksud: Sesungguhnya telah kafir mereka yang menyatakan Allah itu ketiga dari yang tiga.

dan dalam surah yang sama juga Allah membenarkan memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan mereka.

Sebab itu kami berpandangan memakan sembelihan ahli kitab di negara inidan ditempat yang lain juga adalah HARUS.

Wednesday, December 1, 2010

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
dengan kerjasama
Yayasan Pok dan Kassim
Dengan sukacitanya menjemput semua ke
KONVENSYEN PEMIKIR-PEMIKIR ISLAM SEJAGAT
(Tema : MEMBINA KEKUATAN UMMAH)
Pada : 4hb dan 5hb Disember 2010
Tempat : Dewan Warisan, Kangar, Perlis


Atur Cara

4 DISEMBER 2010
7.04 malam: Solat Maghrib di Masjid Al-Ariffin, Padang Katong, Kangar
Jamuan makan malam di Masjid Al-Ariffin
8.18 malam: Solat Isya’
9.30 malam: Forum Perdana di Dataran 350. Kangar
Ahli Panel:
Y. Bhg. S.S Dr Juanda bin Jaya (Mufti Perlis)
Y. Bhg. Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (USM, Mantan mufti Perlis)
Y. Bhg. Dr Abdullah Yasin (Bekas Pensyarah IPTIP's)

5 DISEMBER 2010
8.00 pagi: Orang ramai berkumpul di Dewan Warisan, Kangar
8.20 pagi: Ketibaan para jemputan

8.30 pagi :Ketibaan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis

8.35 pagi : Bacaan Doa
8.40 pagi: Ucapan Penaung Konvensyen
8.55 pagi :
Titah Ucapan dan Perasmian oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis
9.15 pagi :Ceramah Khas oleh
Y. Bhg Dr Ismail Lutfi Japakiya
(Rektor Kolej Islam Yala)

10.15 pagi:
Anugerah Tokoh Sunnah Kebangsaan 2010
Anugerah Tokoh Sunnah Perlis
10.30 pagi: Rehat dan Minum Pagi
11.00 pagi:

Pembentangan oleh NGO-NGO Islam dari luar Negara
1.00 tgh: Solat Zohor dan Jamuan Tengahari
2.30 – 4.30 ptg:

Perjumpaan Pemimpin – Pemimpin NGO – NGO Islam di Malaysia

Sunday, November 21, 2010

Friday, November 19, 2010

Buku yang mesti dimiliki bagi mereka yang cintakan kebenaran


Tajuk: Tauhid 3T: Penjelasan dan Pembelaan.
Tajuk Asal: القول السديد في الرد على من أنكر تقسيم التوحيد.Pengarang: al-Syeikh ‘Abd.al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr.
Penterjemah: Mohd Amin Yaacob
Penerbit: Jahabersa, Johor Bahru.www.jahabersa.com.my
Harga: RM12.00 (170ms, soft cover).
Di mana: Kedai-kedai yang biasa menjual buku Jahabersa atau order terus secara online.
Sinopsis: Subjek Tauhid 3T, yakni Tauhid al-Rububiyah, Tauhid al-Uluhiyah dan Tauhid al-Asma wa al-Sifat sering menjadi perbahasan sebahagian tokoh agama dan masyarakat.
Antara yang menjadi tumpuan mereka:• Adakah Tauhid 3T memiliki dasar dari al-Qur’an dan al-Sunnah?•
Siapakah yang memulakan pembahagian tauhid seperti ini?• Benarkah Tauhid 3T umpama aqidah Trinity agama Kristian yang membahagikan tuhan mereka kepada 3?
Buku di tangan anda ini insya-Allah akan menjawab soalan-soalan di atas serta menjelaskan banyak lagi persoalan lain. Berdasarkan jawapan, pembelaan dan penjelasan ini, akan jelas kepada para pembaca sekalian kekeliruan sebahagian pihak yang menolak, meremeh serta menyesatkan Tauhid 3T.
Selamat mengkaji!

Monday, October 4, 2010

Pengajaran dan Pembelajaran di Masjid: Isu dan Cabaran Dalam Pembentukan Syakhsiah Remaja

Antara fungsi penting yang dimainkan oleh institusi masjid dari dahulu hingga sekarang ialah sebagai tempat penyebaran ilmu dan pendidikan. Proses ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti kuliah mingguan, ceramah, forum dan sebagainya. Cuma, berdasarkan pemerhatian rambang yang dilakukan di kebanyakan masjid, aktiviti-aktiviti ini kurang mendapat sambutan dari kalangan remaja.

Menurut Mohd Yusof Othman (1997), “Buat masa ini, majlis ilmu yang dijalankan oleh pihak masjid rata-ratanya hanya dijalankan melalui majlis “baca kitab”, yakni suatu majlis membaca (kadang-kadang tanpa mengulas) kitab-kitab lama tertentu yang muktabar oleh ulamak tertentu pada setiap minggu atau bulan. Kegiatan sebegini harus diteruskan. Kita tidak menafikan kepentingan majlis seperti ini, tetapi keberkesanan dan kemampuan majlis seperti ini untuk mengajak lebih ramai golongan remaja dan bukan untuk orang-orang pencen sahaja perlulah dikaji. Majlis ilmu seperti ini yang mana identitinya merupakan “kelab orang-orang pencen atau majlis taubat” sahaja perlu diubah agar imejnya menjadi lebih dinamik dan progresif”.

Justeru, inilah antara isu dan cabaran penting yang perlu diambil kira oleh pihak pengurusan masjid supaya golongan remaja lebih dekat dengan masjid dan berminat untuk hadir aktiviti-aktiviti masjid. Apabila golongan remaja berminat untuk hadir ke masjid, barulah agenda tarbiyah dan pembinaan syakhsiyah dapat dilaksanakan. Oleh itu, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah bagaimana untuk menarik minat para remaja untuk hadir ke masjid, kemudian barulah proses pembinaan syakhsiah itu dapat dilaksanakan.

Dalam merealisasikan perkara ini, sistem pengajaran dan pembelajaran yang diguna pakai oleh institusi masjid mestilah dikaji dan diperhalusi agar ianya bertepatan dengan kehidupan masyarakat berdasarkan peredaran zaman dan tempat. Tindakan tidak berperanan atau kurang mengambil berat peranan institusi masjid terhadap golongan remaja ini akan menyebabkan kerugian kepada masyarakat Islam dan dunia Islam secara keseluruhannya. Isu-isu yang wajar diperhatikan dan diperbaiki dari sudut pengajaran supaya selari dengan keperluan zaman kini, antaranya ialah:

1- Tenaga pengajar

Sistem pembelajaran secara terbuka seperti kuliah-kuliah pengajian, ceramah dan yang seumpamanya yang dilakukan di dalam masjid merupakan suatu tradisi di dalam sistem pengajian ilmu Islam yang diwarisi semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah ke hari ini. Kuliah-kuliah ini merupakan tempat masyarakat menimba ilmu khususnya ilmu yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam sama ada berbentuk fardhu ain atau fardhu kifayah.

Tenaga pengajar atau guru merupakan faktor yang sangat penting dalam memainkan peranannya menyampaikan dakwah serta menasihati masyarakat. Penyampaian yang efektif dan berkesan terutamanya kepada golongan remaja adalah satu faktor yang mampu menarik mereka mendekati masjid. Jika ditinjau kebanyakkan masjid yang ada di negara kita sekarang ini, tenaga pengajar juga termasuk imam-imam masjidnya terdiri daripada mereka yang telah berusia lanjut sehinggakan cara dalam penyampaian kuliah, ceramah dan juga khutbah lesu dan tidak bermaya. Apabila mereka menghuraikan sesuatu masalah atau memberikan sesuatu contoh, maka huraian atau contoh yang diberikan itu tidak sesuai dengan realiti kehidupan remaja masa sekarang. Kesannya menyebabkan golongan remaja ini tidak berminat untuk mendengarnya.

Ini tidak bermaksud untuk mengatakan usia yang lanjut itu tidak diperlukan lagi, bahkan sebahagian mereka yang lanjut usianya itu kaya dengan pengetahuan dan pengalaman serta masih bersemangat dalam misi dakwahnya. Cuma, tindakan yang mungkin boleh diambil oleh tenaga pengajar ialah mempelbagaikan cara penyampaian mereka agar sesuai juga untuk diterima oleh golongan remaja. Lihatlah kepada ‘uslub’ atau cara yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam pelbagai ucapan dan penyampaianya. Jabir bin Abdillah ketika menyifatkan cara Nabi sewaktu berkhutbah meriwayatkan: “Nabi s.a.w. apabila baginda berkhutbah, merah kedua matanya, kuat suaranya, bertambah kemarahannya sehinggakan baginda seolah-olah sedang memberikan peringatan kepada tentera.”[1]

Di ketika yang lain pula al-Irbadh bin Sariyah meriwayatkan: “Pada suatu hari setelah selesai daripada solat subuh Rasulullah s.a.w. memberikan peringatan kepada kami dengan suatu peringatan yang mengalirkan air-air mata, dan menggentarkan hati-hati. Berkata seseorang: Peringatan ini seperti peringatan perpisahan…”.[2]

Kedua-dua hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap penyampaian yang dibuat haruslah meraikan keadaan dan orang yang mendengarnya. Dalam usaha untuk menarik golongan remaja untuk mendengar sesuatu penyampaian, hendaklah cara penyampaian tersebut sesuai dengan jiwa mereka. Sesebuah institusi masjid juga tidak harus mengenepikan peranan pendakwah-pendakwah muda. Termasuk juga jawatan sebagai imam, khatib dan muazzin yang seharusnya diberikan sedikit ruang kepada golongan muda supaya golongan remaja ini lebih senang untuk didekati kerana jarak usia yang tidak terlalu berbeza.

Dari satu faktor yang lain, sikap sesetengah penceramah, tenaga pengajar atau pihak pengurusan masjid sendiri yang terlalu cepat melabel dan menghukum golongan remaja dengan persepsi yang negatif juga dilihat sebagai salah satu faktor kenapa remaja tidak berminat untuk hadir ke kuliah-kuliah di masjid. Sebagai contoh, bayangkan apa perasaan remaja jika dia pergi mendengar kuliah dan si ustaz mengatakan di dalam kuliahnya ayat-ayat seperti: “Remaja-remaja sekarang semuanya telah rosak…”, atau “Remaja sekarang sudah tidak boleh diharapkan lagi… dan sebagainya. Adakah sikap penceramah sebegini akan mendekatkan lagi remaja dengan masjid atau pun sebaliknya?.

2- Bahan Pengajaran

Perkara yang paling penting dalam sistem pengajaran ialah bahan atau kandungan pengajaran itu sendiri. Ianya suatu bahan pengisian yang membentuk dan mempengaruhi pemikiran serta tindakan seseorang. Jika pengisian yang diguna pakai itu suatu pengisian yang baik dan berkualiti, maka ia akan melahirkan jiwa-jiwa yang berkualiti dan begitulah sebaliknya. Bahan pengajaran inilah yang dinamakan sebagai ilmu, dan Islam amat mementingkan perkara ini. Terdapat tenaga pengajar yang mengajar di masjid-masjid menggunakan bahan-bahan yang tidak mencapai piawaian yang Islam mahukan. Islam mewajibkan setiap perkara yang hendak disampaikan menepati fakta agama iaitu nas al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Selain itu Islam juga turut mengiktiraf kajian sains dan perubatan.

Kehadiran tenaga pengajar yang tidak mementingkan keaslian dan kesahihan fakta terhadap bahan-bahan yang disampaikannya, disebabkan dua faktor. Pertama ialah mereka tidak ada suatu metodologi yang kukuh dalam memperolehi ilmu dan maklumat, menyebabkan mereka tidak dapat menapis dengan baik segala maklumat yang mereka perolehi dari sudut keaslian dan kesahihannya. Kedua ialah faktor sikap, iaitu seperti merasa diri sudah sangat berilmu, malas untuk membuat kajian, hanya berpada dengan maklumat yang sedia ada dan sebagainya. Antara bahan-bahan pengajaran yang dikenal pasti tersebar dan disampaikan oleh tenaga pengajar atau penceramah-penceramah yang tidak mencapai piawaian ilmu yang dikehendaki oleh Islam ialah:

a) Penggunaan hadis-hadis dhaif (lemah) dan maudu’ (palsu)

Perkara ini berlaku apabila para pengajar atau penceramah tidak menitik beratkan ilmu hadis terutamanya ulum al-hadith atau mustolah al-hadith. Ilmu ini bertujuan menyiapkan seseorang pengajar dengan ilmu untuk menyaring hadis-hadis yang hendak disampaikan kepada masyarakat sama ada hadis tersebut boleh digunakan atau tidak. Sebahagian mereka mungkin telah pun mempelajarinya tetapi oleh kerana tidak mengambil berat dalam masalah ini atau kerana mereka sendiri tidak memahaminya menyebabkan perkara ini tersebar di dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di masjid khususnya.

Menurut Mariam Mohamed (2004), yang telah mengkaji hadis-hadis dari koleksi khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak, beliau mendapati bahawa daripada 102 hadis yang dikaji, 32 (31.3%) adalah hadis dhaif, 6 (5.9%) amat dhaif, 8 (7.8 %) adalah palsu. Menurut Jawiah Dakir (2009) yang memetik kajian yang dibuat oleh Rosmani A. Hamid (2005) pula, dalam kajian beliau terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam beberapa khutbah Jumaat negeri Melaka, beliau mendapati bahawa daripada 131 hadis yang dikaji, terdapat 27 hadis adalah dhaif, 6 (4.5 %) amat dhaif, dan 12 (9.16 %) palsu, manakala 7 (5.34 %) tidak dapat dikesan sumbernya. Ini bermakna sebanyak 45 (34.35 %) hadis dalam teks khutbah pilihan tidak boleh dijadikan hujah.

Kesimpulan yang dibuat oleh Jawiah Dakir (2009) bahawa diantara faktor berlakunya penyebaran hadis-hadis yang tidak sahih dari kelangan para penceramah ialah keghairahan mereka untuk mengajak manusia ke arah kebaikan tanpa membuat rujukan terlebih dahulu, sikap mengambil mudah dengan tidak menyemak semula kesahihan bahan yang ingin diajarkan, kurang merujuk kepada kitab-kitab hadis, pembelajaran ilmu hadis yang tidak mendalam dan kurangnya terjemahan kitab hadis.

Hadis-hadis yang lemah dan palsu ini memberikan kesan yang buruk terhadap kefahaman dan imej Islam serta boleh menjauhkan golongan remaja dari mendekati masjid. Antara contoh-contoh hadis lemah dan palsu yang sering disampaikan oleh golongan penceramah atau di tampal di dinding-dinding masjid ialah:

1- Hadis yang melarang kanak-kanak hadir ke masjid “Jauhkanlah masjid-masjid kami dari kanak-kanak dan orang-orang gila”.[3]

Hadis ini merupakan hadis yang lemah. Imam al-Baihaqi berkata: hadis ini tidak sahih, Ibn al-Jauzi juga menghukumkannya tidak sahih. Berkata Imam al-Bazzar selepas meriwayatkannya daripada Ibn Mas’ud: Tidak ada asal dari hadisnya.[4] Kelemahan hadis ini juga dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani.[5]

Hadis ini telah menyebabkan kanak-kanak disisihkan apabila mereka hadir ke masjid sehingga saf mereka juga diasingkan jauh dari saf dewasa. Perkara ini boleh meninggalkan kesan kepada kanak-kanak tersebut apabila mereka merasa disisihkan dan sering dimarahi. Akhirnya apabila mereka meningkat ke alam remaja mereka tidak berminat untuk ke masjid. Yang benarnya ialah jika saf dewasa masih terdapat kekosongan, hendaklah dipenuhkan dengan kanak-kanak. Inilah yang dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini al-Syafi’e.[6] Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa. Hadis ini lemah dari sudut sanadnya.

Kata Syeikh al-Albani: “Sanad (rangkaian perawi) hadis ini dhaif (lemah). Terdapat seorang periwayat hadis yang lemah, namanya Syahr bin Husyab. Menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa aku tidak mendapati hadis yang lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan hujah. Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak yatim dibelakang Rasulullah s.a.w. menjadi hujah dalam masalah ini.”[7]

2- Hadis yang melarang bercakap urusan dunia di dalam masjid

“Sesiapa yang bercakap di dalam masjid dari urusan dunia, Allah akan menghapuskan semua amalannya selama 40 tahun”.

Imam al-Syaukani berkata: Hadis ini merupakan hadis maudu’ iaitu palsu.[8] Kandungan hadis ini juga bertentangan dengan apa yang berlaku pada zaman Nabi dan para sahabat seperti yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam sahihnya dimana Jabir bin Samurah menjelaskan para sahabat sedang bersembang-sembang lalu mereka menceritakan kehidupan mereka sewaktu jahiliyyah dan bergelak ketawa, Nabi s.a.w. hanya tersenyum mendengarnya.[9]

Hadis ini secara tidak langsung difahami seolah-olah Islam adalah suatu agama yang memisahkan antara urusan agama dan urusan dunia. Inilah yang diperjuangkan oleh fahaman sekular. Sedangkan telah dinyatakan bahawa masjid pada zaman Rasulullah s.a.w. menjalankan pelbagai urusan dari pentadbirannya sehinggalah menahan tawanan perang yang kafir di dalam masjid. Bagaimanakah untuk menarik golongan remaja ke masjid jika dalam masa yang sama mereka tidak dibenarkan bercakap-cakap sesama mereka berkenaan sesuatu urusan yang dikatakan keduniaan? Masjid bukanlah tempat pertapaan dan pendetaan. Tetapi masjid berfungsi membangunkan umat dari sudut kerohanian dan fizikal.

Ini hanyalah dua contoh dari sekian banyak hadis lemah dan palsu yang sering dibacakan oleh penceramah bahkan menjadi panduan kepada sebahagian masjid-masjid di Malaysia dengan memasukkannya ke dalam adab-adab apabila berada di dalam masjid yang ditampal di papan-papan kenyataanya.
b) Unsur-unsur Israiliyyat

Antara bahan yang sering membasahi lidah-lidah penceramah-penceramah di masjid juga ialah cerita-cerita Israiliyyat. Israiliyyat ialah cerita-cerita yang diambil dari Bani Israel atau Yahudi. Kisah-kisah ini banyak yang mencemarkan imej agama Islam, malangnya ramai penceramah yang tidak dapat membezakan cerita-cerita yang benar berdasarkan al-Quran dan hadis dengan riwayat-riwayat yang datangnya dari Israiliyyat.

Di zaman moden ini golongan muda khususnya remaja telah terdedah dengan pelbagai makumat hasil dari kemodenan sistem teknologi sekaligus sistem pembelajaran. Ini menyebabkan masyarakat kita sudah mampu menapis maklumat dan hanya menerima maklumat yang berdasarkan fakta.

Abu Syahbah mengulas cerita karut yang disebarkan kepada masyarakat:

“Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu, batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu itu menggerakkan kepalanya, maka bergeraklah batu tersebut lalu bergeraklah bumi dan terjadinya gempa bumi”

Katanya: “Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul”.[1] Generasi moden tidak boleh menerima perkara ini, tetapi ada golongan-golongan agama yang masih mempercayainya.

Antara lain kisah Israiliyyat ialah perincian tentang sifat Luqman al-Hakim yang diberian hikmah kebijaksanaan. Al-Quran menceritakan nasihat-nasihat Luqman yang sangat berguna kepada anak-anaknya antaranya jangan mensyirikkan Allah dan berbuat baik kepada kedua orang tua. Namun riwayat Israiliyyat menyibukkan pembaca dengan perkara-perkara yang tidak memberi sebarang faedah seperti Luqman merupakan seorang hamba Habsyi berkulit hitam, pendek, hidung penyek, bibirnya tebal dan bermacam-macam lagi. Inilah yang telah mencemarkan warisan ilmu Islam terutamanya dalam bidang tafsir dan sukar pula untuk dibersihkan.[2]

c) Unsur-unsur dongeng, tidak logik, khurafat dan syirik

Terdapat penceramah yang memenuhkan bahan pengajarannya dengan cerita-cerita dongeng dan cerita-cerita yang tidak logik menurut akal yang sihat. Tujuannya berkemungkinan untuk menarik perhatian masyarakat kepadanya, atau bertujuan pengajaran dan menakut-nakutkan orang dari melakukan maksiat atau perkara yang bercanggah dengan Islam. Islam tidak menghalalkan sesuatu cara yang tidak betul semata-mata untuk mencapai matlamat tertentu. Ada juga yang memperkenalkan dan mempromosikan sesuatu barangan yang didakwanya mempunyai hikmat atau keistimewaan tertentu yang kesemuanya ini mengundang perkara-perkara khurafat dan syirik. Antara contoh-contoh perkara yang dinyatakan ialah:

Buku dialog Nabi s.a.w. dengan Iblis, salah satu dialognya Nabi s.a.w. bertanya kepada Iblis, Apakah tempat yang paling engkau suka? Jawab Iblis: Panggung wayang.

Cerita azab kubur yang tersebar di dalam masyarakat. Kononnya mereka mendakwa telah merakam bunyi suara jeritan dan sebagainya.

Mayat yang mati berubah menjadi khinzir, atau bertukar kepada kepala anjing serta perkara-perkara pelik dan aneh yang lain.

Memperkenalkan sesuatu barang seperti kayu, batu, rajah dan sebagainya yang didakwa mempunyai kesaktian dimana si pemakainya akan mendapat sesuatu manfaat dan tiak akan terkena kemudaratan seperti kayu kokka, selipar nabi, batu cincin dan sebagainya. Ini merupakan perkara khurafat bahkan syirik kepada Allah s.w.t.

Unsur-unsur yang disebutkan ini membodohkan umat Islam dan memburukkan imej Islam. tidak hairanlah kita jika ada orang Islam sendiri yang mempertikaikan agamanya sendiri kerana merasakan agama ini berlawanan dengan kewarasan akal yang sihat. Kesemuanya berpunca dari bahan-bahan pengajaran yang tidak mencapai piawaian ilmu yang dikehendaki oleh Islam.

d) Menyusahkan amalan agama

Agama Islam sememangnya agama yang mudah. Agama yang tidak menyanggahi fitrah manusia. Ini jelas seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam surah al-Maidah: 6 bermaksud: “Allah tidak menginginkan untuk menyusahkan kamu”.

Allah berfirman lagi di dalam surah al-Baqarah:185 bermaksud: “Allah menginginkan kepada kamu kemudahan dan tidak menginginkan kesusahan kepada kamu.”

Konsep kemudahan di dalam syariat Islam ini menunjukkan bahawasanya segala perkara yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul itu ianya mudah dan mampu dilaksanakan oleh semua orang. Tetapi di sana terdapat sebahagian daripada kalangan agamawan yang suka mengambil pendekatan yang menyusahkan masyarakat dalam pengamalan agama sehariannya. Apabila pendekatan ini dibawa ke dalam masyarakat terutamanya kepada golongan remaja, menyebabkan mereka merasakan pengamalan agama ini sangat susah dan membebankan. Akhirnya mereka tidak akan mendekati pengajaran dan pembelajaran di masjid-masjid. Memudahkan pemahaman agama ini bermula dari aqidahnya seterusnya mudah di dalam pemahaman feqahnya serta akhlak.

e) Bahasa lama yang sukar difahami

Terdapat juga kuliah-kuliah di masjid yang menggunakan bahan mengajarnya berdasarkan gaya bahasa Melayu lama yang sukar difahami oleh generasi remaja sekarang. Menggunakan bahan seperti ini tidaklah menjadi suatu kesalahan, tetapi ianya boleh mengurangkan minat remaja untuk menghadiri kuliah tersebut. Apatah lagi, jika tenaga pengajar tersebut membaca teks tersebut sahaja tanpa diulas dengan gaya bahasa moden. Jika diulas pun tetap dengan gaya bahasa lama dan contoh-contoh yang diberikan juga ialah contoh-contoh yang sudah dianggap oleh remaja ini sebagai ketinggalan zaman.
3- Bentuk dan kaedah pengajaran dan pembelajaran

Sistem pengajaran dan pembelajaran tidak akan sempurna jika tidak menitik beratkan kaedah atau cara dalam pelaksanaannya. Apa yang berlaku kepada sesetengah masjid sekarang ialah sistem pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sangat terhad hanya kepada bentuk kuliah-kuliah khusus berkenaan agama iaitu aqidah, feqah, akhlak yang diadakan secara mingguan atau bulanan. Kaedahnya masih menggunakan pendekatan lama sama ada dari sudut gaya penyampaian atau bahan pengajaran.

Di pihak pengurusan masjid pula ada yang mengambil tenaga pengajarnya hanya semata-mata sekadar ada program yang diisi. Mereka tidak memikirkan jauh dari itu untuk meneruskan agenda perjuangan sebagai khalifah di muka bumi. Mengapa kita tidak berfikir untuk meluaskan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran di masjid dengan mengadakan kelas-kelas khas kepada para remaja berkaitan matapelajaran akademik seperti sains, matematik, geografi dan sebagainya supaya golongan remaja lebih mendekati kepada masjid, bahkan jika kita memikirkan keuntungan dakwah Islam mungkin ianya juga boleh dibuka kepada yang bukan Islam untuk datang dan belajar di masjid, kerana Islam tidak pernah melarang orang kafir dari memasuki masjid.

Selain itu kaedah moden juga boleh digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran ini seperti penggunaan aplikasi ‘power point’, tayangan video, carta dan sebagainya. Barulah institusi masjid kita hidup dan dapat menjadi tempat tumpuan dalam kehidupan masyarakat Islam pada era kini.

Inilah antara isu-isu yang perlu diperhatikan yang juga merupakan cabaran kepada institusi masjid dalam usaha membentuk syakhsiah remaja di era globalisasi ini. Jika tiada inisiatif dari institusi masjid untuk menangani isu-isu ini, dibimbangi generasi yang baru khususnya golongan remaja akan hilang keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi masjid.

[1] Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafsir, hlm 305.
[2] Rujuk Al-Qaradhawi, Thaqafah al-Da’iyyah, hlm 41.

[1] Sahih Muslim, kitab al-Jumuah, bab Takhfif al-Solat wa al-Khutbah, no: 1435.
[2] Sunan Al-Tirmizi, Kitab al-Ilm an Rasulillah, bab Ma Ja’a fi al-Akhzi bi al-Sunnah wa ijtinab al-Bida’, no: 2676, beliau berkata hadis ini Hasan Sahih.
[3] Sunan Ibn Majah dengan takhrij al-Albani, Kitab al-Masajid wa al-Jamaat, bab Ma Yukrah fi al-Masajid, no. 750.
[4] Al-Asqalani, Ibn Hajar, Talkhis al-Habir fi Takhriji Ahadith al-Rafi’I al-Kabir,
[5] Al-Albani, Muhammad Nasiruddin, Sunan Ibn Majah, takhrij al-albani dan Al-Irwa’ Al-Ghalil jilid 7, hlm 361.
[6] Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm 492.
[7] Al-Albani, Tamam al-Minnah, 284
[8] Al-Syaukani, Al-Fawa’id al-Majmu’ah, hlm 40.
[9] Sahih Muslim, Kitab al-Masajid, bab Fadli al-Julus fi Musolla ba’da al-Subhi, no:1523.

Friday, September 3, 2010

Fungsi dan Peranan Masjid dalam Islam

Tulisan ini ialah merupakan kertas kerja yang telah dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Masjid.

Tujuan utama penciptaan manusia ini ialah supaya manusia mengabdikan diri kepada Allah. Di dalam Islam, masjid merupakan suatu institusi mulia yang digunakan oleh umat Islam untuk beribadah bagi membuktikan ketaatan dan pengabdian yang ikhlas kepada Allah. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud. “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-sama Allah”.

Jadi, masjid adalah tempat untuk beribadah. Ibadah di sini bukan beerti solat semata-mata, tetapi mencakupi ruang lingkup ibadah yang lebih luas. Inilah fungsi utama masjid seperti yang dijelaskan di dalam firman Allah yang bermaksud, "Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."

Menurut Abd al-Rahman bin Nasr al-Sa’di (2005), ketika menghuraikan ayat ini beliau menyatakan ”termasuk di dalam maksud ”supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya” ialah dengan ditunaikan solat sama ada fardhu atau sunat, membaca al-Quran, bertasbih, bertahlil dan zikir-zikir yang lain,proses pengajaran dan pembelajaran, bermuzakarah, iktikaf dan ibadat-ibadat lain yang boleh dilakukan di masjid...”.

Jelas bahawa fungsi masjid seperti yang dijelaskan oleh ayat ini bukan hanya untuk ditunaikan solat semata-mata, tetapi mencakupi seluruh aspek ibadah yang lain. Dalam erti kata lain, ia merangkumi segala aktiviti umat Islam yang boleh membentuk nilai ketakwaan. Di atas dasar inilah Rasulullah menjadikan agenda membina masjid sebagai perkara pertama yang dilakukan selepas baginda sampai di Madinah. Justeru, fungsi utama masjid ialah sebagai sebuah institusi umat Islam yang berusaha membentuk dan memupuk nilai taqwa di dalam diri umat Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud,"Janganlah engkau sembahyang di masjid itu (yang dibina oleh orang munafik) selama-lamanya kerana sesungguhnya Masjid (Quba) yang didirikan atas dasar takwa dari mula (wujudnya), (maka) sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya...".

Oleh sebab itu, peranan yang dimainkan oleh masjid nabawi yang dibina oleh Rasulullah s.a.w bukan sekadar sebagai tempat untuk ditunaikan solat semata-mata. Masjid di zaman Rasulullah telah berfungsi sebagai nadi penggerak ummah ketika itu. Menyentuh tentang hal ini, menurut Halimaton Saadiah (1997), ”Daripada perjalanan kehidupan Rasulullah s.a.w, umat Islam perlu mengambil iktibar bahawa masjid boleh berfungsi lebih daripada apa yang biasa dianggap kini, iaitu masjid sebagai rumah ibadat bagi umat Islam”.

Kemudian, beliau menyenaraikan beberapa fungsi yang telah dimainkan oleh masjid di zaman Rasulullah s.a.w:
1) Fungsi Ibadah: Solat berjemaah lima kali sehari semalam merupakan tonggak segala aktiviti lain.
2) Pusat pengajaran dan pembelajaran
3) Pusat Pentadbiran
4) Pusat Kehakiman: Penduduk Madinah mengajukan masalah-masalah mereka kepada Rasulullah s.a.w di masjid dan Baginda juga telah menyelesaikan banyak pertelingkahan di masjid.
5) Pusat Penerangan dan Maklumat: Khutbah memainkan peranan yang penting bagi menyalurkan ilmu, maklumat dan nasihat.
6) Pusat Perhubungan: Rasulullah bukan sahaja mengadakan perhubungan dengan sahabat-sahabat baginda bahkan melayani rombongan dan pengunjung-pengunjung bukan Islam dengan baik.
7) Pusat Kebajikan: Golongan fakir miskin ditempatkan di suatu ruang dalam masjid Nabawi.
8) Pusat Rawatan dan Kecemasan: Selepas peperangan khususnya, mereka yang luka turut dirawat di masjid.
9) Pusat Interaksi Masyarakat

Berdasarkan Muhammad (2007) pula, fungsi masjid ketika zaman Rasulullah s.a.w merupakan tempat penyebaran dakwah dan ilmu Islam. Masjid juga dijadikan tumpuan dan pusat bagi sebarang penyelesaian masalah individu dan masyarakat. Walaupun bertempatkan masjid yang serba sederhana, ianya digunakan oleh Rasulullah s.a.w untuk menerima dan berjumpa dengan duta-duta asing, dan tempat yang mana pemimpin-pemimpin Islam bersidang selain digunakan sebagai madrasah dan tempat pengajian bagi menuntut ilmu tentang ajaran Islam. Ketika menggambarkan fungsi utama masjid selain tempat ibadat, Muhammad (2007) berkata:

“Sejarah masjid Quba di Madinah menjadi bukti sebagai institusi pendidikan apabila ianya didirikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri sebagai medium untuk baginda s.a.w memberi khutbah dan halaqah sementara para sahabat duduk mengelilingi baginda dan melakukan soal jawab berkaitan urusan agama sehari-hari. Begitulah juga fungsi dan peranan masjid-masjid utama yang lain seperti Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Masjid Kufah, Masjid Basrah dan banyak lagi” (p.220-221).

Melihat kepada fungsi yang dimainkan oleh institusi masjid pada zaman Rasulullah ini, kemungkinan ia suatu yang sukar untuk diaplikasikan keseluruhannya kepada masjid-masjid yang ada sekarang. Tetapi, sejauh manakah institusi masjid sekarang; dengan kapasiti kemampuan yang ada, telah memaksimumkan fungsinya supaya ia benar-benar menjadi nadi pengerak umat? Justeru, apakah realiti fungsi masjid pada masa kini?




Realiti Fungsi Masjid Pada Masa Kini



Institusi masjid merupakan satu aset penting dalam sejarah kebangkitan Islam. Sebagai salah satu pusat yang berperanan penting kepada simbolik wilayah Islam, institusi masjid terus berfungsi sebagaimana fungsi-fungsinya yang universal. Dalam era globalisasi ini, fungsi dan peranan institusi masjid dituntut supaya berperanan lebih luas sesuai dengan peredaran masa. Tidak wajar institusi masjid yang dahulunya menjadi pusat pengembangan syiar Islam dikecilkan skopnya sebagai hanya sekadar rumah ibadat semata.

Dalam usaha memakmurkan masjid, Ghafani Awang Teh (2008) mencadangkan beberapa langkah praktikal antaranya:
“Menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, menyediakan senibina yang menarik, persekitaran yang bersih dan ceria, kemudahan tandas yang selesa, menyediakan risalah mengenai Islam dan fungsi –fungsi dalaman masjid, menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa, menjalankan promosi yang luas kepada masyarakat setempat dan pelancong asing, menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong dan menyediakan ruangan pameran serta galeri.”

Di Malaysia khususnya, kita tidak dapat menafikan keindahan seni bina masjid-masjid yang memaparkan budaya dan etnik masyarakat setempat. Masjid-masjid seperti Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapong-Tengku Tengah Zaharah Kuala Terengganu, Masjid Kristal Jerteh Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kg Laut Kelantan, Masjid Ulu Melaka Melaka dan lain-lain semestinya memukau para pelancong asing yang datang ke Malaysia. Adapun tujuan menjadikan institusi masjid sebagai destinasi pelancongan yang menjadi matlamat utama kebanyakan pihak dikhuatiri tersasar daripada fungsi asal kewujudan masjid.

Hal ini adalah kerana kewujudan dan pembinaan masjid dilihat lebih menfokuskan kepada seni binanya yang bakal mengkagumkan para pelancong daripada pengisian rohani dan kesan yang boleh dilakukan kepada masyarakat setempat. Perbelanjaan jutaan ringgit untuk membina masjid dengan tujuan bermegah-megah adalah satu perbuatan yang sia-sia, membazir dan menunjukkan sifat yang berlebih-lebihan sekiranya orang yang memakmurkannya pula hanya sedikit. Imam Ahmad meriwayatkan dari Anas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: " Tidak akan datang kiamat sehingga manusia bermegah-megahan dalam membangun masjid"[1]

Sikap berlebih-lebihan ini kadang-kala dilihat menyerupai kaum Yahudi ataupun Nasrani dalam membangunkan tempat ibadat mereka, lebih besar belanja dan keluasannya, lebih tersohor nama masjid tersebut. Ibnu Abbas berkata: “Sungguh kalian akan memperindah dan menghiasinya (masjid) sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani memperindah dan menghiasi tempat ibadah mereka.”[2] Maka tidaklah harian apabila ramai pihak sehingga kini masih meragui masjid-masjid di Malaysia perihal fungsi dan peranannya dalam mencontohi kegemilangan institusi masjid pada zaman kegemilangan Islam walaupun telah menelan belanja yang besar.

Selain itu, masjid di sesetengah kawasan di Malaysia juga dilihat dijadikan tempat perkumpulan (serta tarikan pelancong) kerana terdapat kuburan orang-orang ternama di dalam perkarangan masjid. Perkara ini kurang diberi perhatian oleh jabatan agama Islam negeri (JAIN) walhal ianya perkara yang boleh merosak fungsi utama institusi masjid sebagai tempat ibadat, bukannya makam perkuburan. Hatta ianya hanya kuburan orang biasa yang ditanam di perkarangan masjid apatah lagi perkuburan yang akhirnya dibangunkan masjid di atasnya adalah satu kesalahan dari aspek fekah dan dikhuatiri mampu merosakkan akidah umat Islam.

Rasulullah s.a.w telah mengingatkan agar tidak menempatkan kubur di perkarangan masjid kerana ianya merupakan perbuatan Yahudi dan Nasrani, ianya juga dari sudut hikmah demi mengelak menjadi sarana mempersekutukan Allah s.w.t dengan para penghuni kuburan-kuburan tersebut, yang mana diantara akibatnya, orang-orang berkeyakinan bahawa para penghuni kuburan yang dikuburkan di masjid-masjid itu boleh memberikan syafaat, manfaat dan sebagainya. Hal ini jelas berbeza dengan Masjid Nabawi yang dibesarkan daripada keluasan asal demi menampung jemaah yang semakin ramai.

Tidak keterlaluan anggapan bahawa perkara ini dipandang enteng oleh jabatan agama Islam negeri (JAIN) apabila masih banyak kelihatan masjid-masjid yang terdapat kuburan di perkarangan masjid dewasa ini tanpa ada sebarang tindakan diambil. Ada juga yang mengambil kesempatan menggunakan kuburan orang-orang ternama yang berada di perkarangan masjid sebagai salah satu promosi kepada masjid berkenaan.

Antara masjid yang terkenal yang boleh dijadikan contoh dalam isu ini ialah Masjid Melayu,Bandar Taiping (Masjid Lama Taiping), Masjid Pondok Upeh,Balik Pulau, Masjid Kampung Kling,Melaka, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Mengabang Telipot, Masjid Langgar, Masjid Kampung Telaga Nenas, Masjid Tok Selehor, dan banyak lagi. Mengapa ianya menjadi isu yang penting untuk dibangkitkan ialah kerana fungsi utama masjid sebagai tempat ibadat tercemar dengan keadaan ini apabila sudah jelas amaran Allah melalui firmanNya yang bermaksud, “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka jangalah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah”[3].

Di samping isu dan peranan masjid masa kini, kita juga tidak dapat menafikan wujud sesetengah masjid yang bijak dalam menggunakan dana-dana yang diperolehi dalam melaksanakan program atau aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Sepertimana yang dinyatakan oleh Jaafar et. (2001) bahawa masjid juga berfungsi sebagai penerima sumbangan harta fizikal dalam pelbagai bentuk termasuklah peralatan hinggalah tanah dan bangunan yang diwakafkan oleh pihak-pihak tertentu. Oleh itu apabila semua sumbangan dana dan harta yang diwakafkan ini digabungkan, maka sebahagian masjid itu mempunyai dana dan harta yang besar nilainya. Apa yang menjadi kerisauan semua pihak ialah apabila banyak harta wakaf masjid yang terbiar tanpa diusahakan untuk mendatangkan faedah yang diharapkan.

Perkara ini perlu diambil serius supaya fungsi masjid itu berkembang sesuai dengan peredaran zaman dan pihak pengurusan masjid dituntut bersifat kreatif dan inovatif dalam merancang aktiviti dan hala tuju masjid sebagai pusat pengembangan syiar Islam seperti yang pernah diterajuinya suatu masa dahulu dan sehinggalah hari ini. Masjid tidak seharusnya hanya bertumpu pada hal ehwal ibadat semata, contohnya wujud beberapa masjid yang hanya mengisi jadual aktiviti bulanan mereka dengan solat hajat secara berjemaah pada isu-isu yang dirasakan perlu, atau bacaan yasin dan tahlil yang dibuat secara mingguan dan lain-lain aktiviti tanpa merancang program-program yang mampu lebih mendekatkan masyarakat terutamanya remaja dengan masjid.

Jaafar et. (2001) berpandangan bahawa, “Jawatankuasa yang mempunyai kemahiran pengurusan yang tinggi dijangka akan dapat merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menarik dan mampu melibatkan anggota masyarakat keliling dalam usaha memakmurkan dan memuliakan masjid”(p.12).

Masjid juga berperanan sebagai pusat penyampaian maklumat dan kesedaran kepada masyarakat melalui program atau aktiviti yang dijalankan selain adanya fungsi khutbah yang disampaikan secara mingguan dalam metod yang lebih formal. Melalui program atau aktiviti mingguan atau bulanan yang dibuat mampu menarik minat golongan tertentu untuk mendekatkan diri mereka dengan aktiviti yang dianjurkan oleh masjid. Antara program atau aktiviti dari sudut sosial yang dianjurkan oleh masjid di sekitar ibu kota ialah seperti kelas pengajian al-Quran, kelas taekwondo, program pengurusan rumahtangga, seminar-seminar,khidmat sosial dan kaunseling keluarga atau kemusykilan agama dan sebagainya.
[1] Sahih Al-Jami As-Shagir 6 : 174, hadis no. 7298
[2] Sahih Bukhari, Kitab As-Solah, Bab Bunyanil Masajid jld. 1 hal. 539.
[3] Surah Al-Jin, ayat 18.


bersambung...

Saturday, May 8, 2010

Dr Asri: Lesen Atau Tidak, Judi Tetap Haram

SHAH ALAM 7 MEI: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin menyifatkan alasan kerajaan yang menghalalkan perjudian melalui pemberian lesen yang membenar pertaruhan bola sepak, tidak munasabah untuk mana-mana agama, lebih-lebih lagi agama Islam.

Beliau menegaskan sebarang bentuk perjudian sama ada berlesan atau sebaliknya, hanya membawa masalah antaranya pergaduhan dan bebanan hutang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein sebelum ini berkata, kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengeluarkan lesen pertaruhan ketika Piala Dunia 2010 berlangsung Jun ini.

Beliau memberi alasan ia wajar dilesenkan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Mengulas isu ini, Dr Asri menyifatkan kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional sudah tidak dapat membezakan halal dan haram.

“Kerajaan mesti memikirkan kesan buruk perkara ini. Ia akan mengakibatkan pergaduhan, pinjam meminjam dan pelbagai lagi. Jika kerajaan bertindak memberi lesen apa ertinya?” katanya.

Dr Asri mengingatkan kerajaan, tindakan melesenkan judi belum tentu menyelesaikan masalah kerana masalah tetap berlaku, bahkan berlarutan dengan lebih buruk.

“Judi termasuk dalam dosa besar. Di negara ini, orang akan kata ini bukan untuk orang Islam. Adakah perkara ini dituntut oleh orang bukan Islam? Adakah kerajaan bertindak hanya untuk kepentingan cukai ataupun untuk kepentingan masyarakat bukan Islam.

Beliau menyifatkan kerajaan hanya mencari alasan termasuk menggunakan elemen pembangunan judi bagi menghalalkan perjudian.

“Saya lihat alasan yang dinyatakan bagi mengelakkan judi haram dengan mengadakah judi halal. Semua judi adalah haram dan memberi kesan negatif. Saya tidak fikir orang agama lain disuruh pergi berjudi.

“Jika kerajaan hendak menyalurkan dana kepada bidang sukan, saya lihat perkara lain juga mungkin kita boleh mengenakan cukai yang tinggi. Jadi, saya fikir alasan ini sangat tidak munasabah,” katanya.

Dr Asri seterusnya mencadangkan kerajaan supaya bertindak mengikut landasan Islam bagi mengawal baik buruk sesuatu perkara.

“Tetapi dengan cara kerajaan menghalalkan dan membenarkan cara memberi lesen ini kepada judi bererti perkara yang dibimbangi masyarakat dilakukan secara terbuka dan mendapat persetujuan. Apa beza antara yang halal dengan yang tidak, kedua-duanya mengundang masalah kepada rakyat,” katanya.

Sumber: TVSelangor

Tuesday, March 2, 2010

KENYATAAN MEDIA
ISU PENANGKAPAN PENCERAMAH DI MADRASAH ITTIBA US SUNNAH
KUALA PILAH

Dalam beberapa Akhbar Arus Perdana hari ini (1hb. Mac 2010) melaporkan bahawa:-

1. Seorang pendakwah bebas berasal dari Perlis ditahan anggota penguatkuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ketika sedang berceramah di Maahad Ittiba Us Sunnah disini hari ini (28hb. Feb. 2010) turut ditahan 3 pengikut kanan penceramah itu.

2. Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JHEAINS telah beberapa kali menasihatkan pendakwah itu supaya mendapat tauliah sebelum mengadakan ceramah.

3. JHEAINS telah mengeluarkan surat kepada Maahad Ittiba Sunnah (MIS) supaya memohon dan mendapatkan keizinan beberapa hari lalu sebelum membenarkan pendakwah itu memberikan ceramah.

4. Terdapat pengikut sedang leka mendengar ceramah yang disampaikan pendakwah berkenaan.

5. Suasana menjadi kecuh seketika apabila sebahagian daripada pengikutnya tidak berpuas hati dengan tindakan JHEAINS, mereka turut mengeluarkan kata-kata kesat.

6. "Kita telah memerhati pergerakan pendakwah bebas ini sejak beberapa bulan lalu dan kita dapati ia masih berdegil meneruskan kegiatannya walaupun beberapa kali ditegur", menurut kata Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan JHEAINS)

Berdasarkan kepada laporan tersebut, pihak Madrasah atau Maahad Ittiba Us Sunnah mengeluarkan kenyataan seperti berikut:-


1. Madrasah atau Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS) tidak pernah menerima apa-apa surat maupun lisan dari JHEAINS beberapa hari lalu supaya memohon dan mendapat keizinan membenarkan pendakwah itu memberikan ceramah dan kenyataan itu adalah merupakan suatu suatu pembohongan daripada Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JHEAINS. MIS dalam sejarahnya semenjak tahun 1952 dengan JHEAINS maupun Jabatan Agama Islam Kuala Pilah pernah memohon keizinan menjalankan kegiatannya maupun permohonan Tauliah Mengajar oleh guru-guru MIS, namun tidak pernah diendah dan dilayan oleh kedua-dua jabatan tersebut.



2. Terdapat kira-kira 50 orang pengikut sedang leka mendengar ceramah yang disampaikan oleh penceramah tersebut adalah merupakan suatu penghinaan kepada Jamaah As Sunnah Kuala Pilah, kerana kami bukan leka atau ayat yang sebanding dengannya khayal dengan ceramah tersebut, tetapi kami mendengar dan meneliti isi dan butir yang disampaikan oleh penceramah tersebut dengan keterangan dan dalil dari Ayat Al-Qur'an dan Hadits Nabi SAW.

3. Tidak terjadi sebarang kekecuhan seperti yang dilaporkan Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan JHEAINS) itu, kerana dengan ketenangan Jamaah As Sunnah Kuala Pilah menghadapi suasana tegang yang diujudkan oleh JHEAINS dengan mengepung bangunan MIS dengan anggota hampir 70 orang dan menyerbu masuk ke dewan Kuliah secara mengejut tanpa sebarang Surat Kebenaran/Warant yang dilakukan oleh anggota Penguatkuasaan JHEAINS dapat dikawal oleh penganjur dan Jamaah As Sunnah yang sedang mengikuti ceramah tersebut. dan tindakan sedemikian bukanlah tindakan pertama JHEAINS menyerbu MIS dan dengan itu Jamaah As Sunnah Kuala Pilah amat matang dan sabar menghadapi suasana itu, maka kekecuhan yang dimaksudkan dalam akhbar itu adalah bertujuan untuk memberikan gambaran buruk kepada Jamaah As Sunnah Kuala Pilah kepada umum.

Sekian untukKenyataan Akhbar dan sebaran umum.

Disediakan oleh:-
Hazman Hashim
Madrasah Ittiba Us Sunnah
Kuala Pilah.

Bertarikh : 1hb. Mac 2010 di Kuala Pilah

Thursday, February 25, 2010

Tuesday, February 16, 2010

JALANRAYA BUKAN TEMPAT UPACARA AGAMA- DR ASRI

Rentetan daripada isu perarakan Maulidur Rasul yang timbul baru-baru ini, maka saya dengan ini mencadangkan agar semua agama tidak benarkan menggunakan jalanraya untuk sebarang upacara keagamaan sehingga mengganggu pengguna jalanraya yang lain.

Semua agama bererti bukan sahaja orang Islam, tetapi juga Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain. Berikut adalah alasan-alasan kepada cadangan ini;

a) Jalanraya tidak diwujudkan untuk upacara keagamaan. Sebaliknya untuk kemudahan penggunanya yang ingin menuju ke destinasi masing-masing. Juga di Malaysia rakyat membayar cukai jalan untuk tujuan itu, bukan untuk upacara keagamaan.

b) Tiada teks mana-mana agama yang menyatakan disuruh menggunakan jalanraya untuk melakukan upacara agama. Upacara agama yang hanya membabitkan pengikut agama masing-masing sepatutnya dibuat di tempat ibadah agama masing-masing, atau tempat yang dimiliki atau disewa untuk upacara tersebut.

c) Menggunakan jalanraya untuk upacara keagamaan boleh menyebabkan kesesakan, atau ditutup laluan. Ini mengganggu, bahkan merampas hak pengguna lain yang tidak terlibat dengan upacara tersebut.

d) Kesesakan jalanraya yang disengajakan seperti ini boleh menyebabkan pembaziran minyak, waktu, menghalang rawatan orang sakit, menghalang urusan penting orang lain dan berbagai lagi. Islam tidak membenarkan penganutnya berbuat demikian, juga semua agama yang menghormati masyarakat awam tidak mungkin boleh membenarkan hal seperti ini.

e) Gangguan kepada pengguna jalanraya yang lain boleh menimbulkan perasaan tidak senang, atau kebencian terpendam antara penganut agama. Seorang muslim mungkin akan tidak puas hati apabila perjalanannya terhenti disebabkan upacara agama lain yang dibuat atas jalanraya raya. Demikian juga perasaan penganut agama-agama lain.

f) Sesetengah upacara keagamaan telah mengotor atau mencemari kebersihan jalanraya yang mengganggu pemandangan orang awam. Juga menyusahkan pihak majlis perbandaran untuk membersihkan upacara agama yang tidak kongsi oleh semua masyarakat itu.

g) Tenaga pihak Polis, Perbandaran, RELA dan berbagai lagi terpaksa digunakan untuk menjaga upacara keagamaan seperti ini. Sedangkan kita tahu bahawa bukan semua anggota-anggota yang bertugas itu seakidah, atau seagama dengan upacara tersebut. Ia boleh mengganggu perasaan dan rasa kurang senang dari masa ke masa.

Dengan alasan-alasan ini, juga beberapa rasional yang lain, saya berpendapat amat tidak wajar jalanraya dijadikan tempat perarakan keagamaan mana-mana agama. Jika perhatian ini cuba diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya melihat Kerajaan Selangor patut memberikan perhatian yang sama terutama di Kawasan Batu Caves. Ini bukan kenyataan yang berat sebelah, tetapi terpakai untuk semua agama.

Saturday, February 13, 2010