Pengajaran dan Pembelajaran di Masjid: Isu dan Cabaran Dalam Pembentukan Syakhsiah Remaja
Antara fungsi penting yang dimainkan oleh institusi masjid dari dahulu hingga sekarang ialah sebagai tempat penyebaran ilmu dan pendidikan. Proses ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti kuliah mingguan, ceramah, forum dan sebagainya. Cuma, berdasarkan pemerhatian rambang yang dilakukan di kebanyakan masjid, aktiviti-aktiviti ini kurang mendapat sambutan dari kalangan remaja.
Menurut Mohd Yusof Othman (1997), “Buat masa ini, majlis ilmu yang dijalankan oleh pihak masjid rata-ratanya hanya dijalankan melalui majlis “baca kitab”, yakni suatu majlis membaca (kadang-kadang tanpa mengulas) kitab-kitab lama tertentu yang muktabar oleh ulamak tertentu pada setiap minggu atau bulan. Kegiatan sebegini harus diteruskan. Kita tidak menafikan kepentingan majlis seperti ini, tetapi keberkesanan dan kemampuan majlis seperti ini untuk mengajak lebih ramai golongan remaja dan bukan untuk orang-orang pencen sahaja perlulah dikaji. Majlis ilmu seperti ini yang mana identitinya merupakan “kelab orang-orang pencen atau majlis taubat” sahaja perlu diubah agar imejnya menjadi lebih dinamik dan progresif”.
Justeru, inilah antara isu dan cabaran penting yang perlu diambil kira oleh pihak pengurusan masjid supaya golongan remaja lebih dekat dengan masjid dan berminat untuk hadir aktiviti-aktiviti masjid. Apabila golongan remaja berminat untuk hadir ke masjid, barulah agenda tarbiyah dan pembinaan syakhsiyah dapat dilaksanakan. Oleh itu, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah bagaimana untuk menarik minat para remaja untuk hadir ke masjid, kemudian barulah proses pembinaan syakhsiah itu dapat dilaksanakan.
Dalam merealisasikan perkara ini, sistem pengajaran dan pembelajaran yang diguna pakai oleh institusi masjid mestilah dikaji dan diperhalusi agar ianya bertepatan dengan kehidupan masyarakat berdasarkan peredaran zaman dan tempat. Tindakan tidak berperanan atau kurang mengambil berat peranan institusi masjid terhadap golongan remaja ini akan menyebabkan kerugian kepada masyarakat Islam dan dunia Islam secara keseluruhannya. Isu-isu yang wajar diperhatikan dan diperbaiki dari sudut pengajaran supaya selari dengan keperluan zaman kini, antaranya ialah:
1- Tenaga pengajar
Sistem pembelajaran secara terbuka seperti kuliah-kuliah pengajian, ceramah dan yang seumpamanya yang dilakukan di dalam masjid merupakan suatu tradisi di dalam sistem pengajian ilmu Islam yang diwarisi semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah ke hari ini. Kuliah-kuliah ini merupakan tempat masyarakat menimba ilmu khususnya ilmu yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam sama ada berbentuk fardhu ain atau fardhu kifayah.
Tenaga pengajar atau guru merupakan faktor yang sangat penting dalam memainkan peranannya menyampaikan dakwah serta menasihati masyarakat. Penyampaian yang efektif dan berkesan terutamanya kepada golongan remaja adalah satu faktor yang mampu menarik mereka mendekati masjid. Jika ditinjau kebanyakkan masjid yang ada di negara kita sekarang ini, tenaga pengajar juga termasuk imam-imam masjidnya terdiri daripada mereka yang telah berusia lanjut sehinggakan cara dalam penyampaian kuliah, ceramah dan juga khutbah lesu dan tidak bermaya. Apabila mereka menghuraikan sesuatu masalah atau memberikan sesuatu contoh, maka huraian atau contoh yang diberikan itu tidak sesuai dengan realiti kehidupan remaja masa sekarang. Kesannya menyebabkan golongan remaja ini tidak berminat untuk mendengarnya.
Ini tidak bermaksud untuk mengatakan usia yang lanjut itu tidak diperlukan lagi, bahkan sebahagian mereka yang lanjut usianya itu kaya dengan pengetahuan dan pengalaman serta masih bersemangat dalam misi dakwahnya. Cuma, tindakan yang mungkin boleh diambil oleh tenaga pengajar ialah mempelbagaikan cara penyampaian mereka agar sesuai juga untuk diterima oleh golongan remaja. Lihatlah kepada ‘uslub’ atau cara yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam pelbagai ucapan dan penyampaianya. Jabir bin Abdillah ketika menyifatkan cara Nabi sewaktu berkhutbah meriwayatkan: “Nabi s.a.w. apabila baginda berkhutbah, merah kedua matanya, kuat suaranya, bertambah kemarahannya sehinggakan baginda seolah-olah sedang memberikan peringatan kepada tentera.”[1]
Di ketika yang lain pula al-Irbadh bin Sariyah meriwayatkan: “Pada suatu hari setelah selesai daripada solat subuh Rasulullah s.a.w. memberikan peringatan kepada kami dengan suatu peringatan yang mengalirkan air-air mata, dan menggentarkan hati-hati. Berkata seseorang: Peringatan ini seperti peringatan perpisahan…”.[2]
Kedua-dua hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap penyampaian yang dibuat haruslah meraikan keadaan dan orang yang mendengarnya. Dalam usaha untuk menarik golongan remaja untuk mendengar sesuatu penyampaian, hendaklah cara penyampaian tersebut sesuai dengan jiwa mereka. Sesebuah institusi masjid juga tidak harus mengenepikan peranan pendakwah-pendakwah muda. Termasuk juga jawatan sebagai imam, khatib dan muazzin yang seharusnya diberikan sedikit ruang kepada golongan muda supaya golongan remaja ini lebih senang untuk didekati kerana jarak usia yang tidak terlalu berbeza.
Dari satu faktor yang lain, sikap sesetengah penceramah, tenaga pengajar atau pihak pengurusan masjid sendiri yang terlalu cepat melabel dan menghukum golongan remaja dengan persepsi yang negatif juga dilihat sebagai salah satu faktor kenapa remaja tidak berminat untuk hadir ke kuliah-kuliah di masjid. Sebagai contoh, bayangkan apa perasaan remaja jika dia pergi mendengar kuliah dan si ustaz mengatakan di dalam kuliahnya ayat-ayat seperti: “Remaja-remaja sekarang semuanya telah rosak…”, atau “Remaja sekarang sudah tidak boleh diharapkan lagi… dan sebagainya. Adakah sikap penceramah sebegini akan mendekatkan lagi remaja dengan masjid atau pun sebaliknya?.
2- Bahan Pengajaran
Perkara yang paling penting dalam sistem pengajaran ialah bahan atau kandungan pengajaran itu sendiri. Ianya suatu bahan pengisian yang membentuk dan mempengaruhi pemikiran serta tindakan seseorang. Jika pengisian yang diguna pakai itu suatu pengisian yang baik dan berkualiti, maka ia akan melahirkan jiwa-jiwa yang berkualiti dan begitulah sebaliknya. Bahan pengajaran inilah yang dinamakan sebagai ilmu, dan Islam amat mementingkan perkara ini. Terdapat tenaga pengajar yang mengajar di masjid-masjid menggunakan bahan-bahan yang tidak mencapai piawaian yang Islam mahukan. Islam mewajibkan setiap perkara yang hendak disampaikan menepati fakta agama iaitu nas al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Selain itu Islam juga turut mengiktiraf kajian sains dan perubatan.
Kehadiran tenaga pengajar yang tidak mementingkan keaslian dan kesahihan fakta terhadap bahan-bahan yang disampaikannya, disebabkan dua faktor. Pertama ialah mereka tidak ada suatu metodologi yang kukuh dalam memperolehi ilmu dan maklumat, menyebabkan mereka tidak dapat menapis dengan baik segala maklumat yang mereka perolehi dari sudut keaslian dan kesahihannya. Kedua ialah faktor sikap, iaitu seperti merasa diri sudah sangat berilmu, malas untuk membuat kajian, hanya berpada dengan maklumat yang sedia ada dan sebagainya. Antara bahan-bahan pengajaran yang dikenal pasti tersebar dan disampaikan oleh tenaga pengajar atau penceramah-penceramah yang tidak mencapai piawaian ilmu yang dikehendaki oleh Islam ialah:
a) Penggunaan hadis-hadis dhaif (lemah) dan maudu’ (palsu)
Perkara ini berlaku apabila para pengajar atau penceramah tidak menitik beratkan ilmu hadis terutamanya ulum al-hadith atau mustolah al-hadith. Ilmu ini bertujuan menyiapkan seseorang pengajar dengan ilmu untuk menyaring hadis-hadis yang hendak disampaikan kepada masyarakat sama ada hadis tersebut boleh digunakan atau tidak. Sebahagian mereka mungkin telah pun mempelajarinya tetapi oleh kerana tidak mengambil berat dalam masalah ini atau kerana mereka sendiri tidak memahaminya menyebabkan perkara ini tersebar di dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di masjid khususnya.
Menurut Mariam Mohamed (2004), yang telah mengkaji hadis-hadis dari koleksi khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak, beliau mendapati bahawa daripada 102 hadis yang dikaji, 32 (31.3%) adalah hadis dhaif, 6 (5.9%) amat dhaif, 8 (7.8 %) adalah palsu. Menurut Jawiah Dakir (2009) yang memetik kajian yang dibuat oleh Rosmani A. Hamid (2005) pula, dalam kajian beliau terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam beberapa khutbah Jumaat negeri Melaka, beliau mendapati bahawa daripada 131 hadis yang dikaji, terdapat 27 hadis adalah dhaif, 6 (4.5 %) amat dhaif, dan 12 (9.16 %) palsu, manakala 7 (5.34 %) tidak dapat dikesan sumbernya. Ini bermakna sebanyak 45 (34.35 %) hadis dalam teks khutbah pilihan tidak boleh dijadikan hujah.
Kesimpulan yang dibuat oleh Jawiah Dakir (2009) bahawa diantara faktor berlakunya penyebaran hadis-hadis yang tidak sahih dari kelangan para penceramah ialah keghairahan mereka untuk mengajak manusia ke arah kebaikan tanpa membuat rujukan terlebih dahulu, sikap mengambil mudah dengan tidak menyemak semula kesahihan bahan yang ingin diajarkan, kurang merujuk kepada kitab-kitab hadis, pembelajaran ilmu hadis yang tidak mendalam dan kurangnya terjemahan kitab hadis.
Hadis-hadis yang lemah dan palsu ini memberikan kesan yang buruk terhadap kefahaman dan imej Islam serta boleh menjauhkan golongan remaja dari mendekati masjid. Antara contoh-contoh hadis lemah dan palsu yang sering disampaikan oleh golongan penceramah atau di tampal di dinding-dinding masjid ialah:
1- Hadis yang melarang kanak-kanak hadir ke masjid “Jauhkanlah masjid-masjid kami dari kanak-kanak dan orang-orang gila”.[3]
Hadis ini merupakan hadis yang lemah. Imam al-Baihaqi berkata: hadis ini tidak sahih, Ibn al-Jauzi juga menghukumkannya tidak sahih. Berkata Imam al-Bazzar selepas meriwayatkannya daripada Ibn Mas’ud: Tidak ada asal dari hadisnya.[4] Kelemahan hadis ini juga dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani.[5]
Hadis ini telah menyebabkan kanak-kanak disisihkan apabila mereka hadir ke masjid sehingga saf mereka juga diasingkan jauh dari saf dewasa. Perkara ini boleh meninggalkan kesan kepada kanak-kanak tersebut apabila mereka merasa disisihkan dan sering dimarahi. Akhirnya apabila mereka meningkat ke alam remaja mereka tidak berminat untuk ke masjid. Yang benarnya ialah jika saf dewasa masih terdapat kekosongan, hendaklah dipenuhkan dengan kanak-kanak. Inilah yang dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini al-Syafi’e.[6] Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa. Hadis ini lemah dari sudut sanadnya.
Kata Syeikh al-Albani: “Sanad (rangkaian perawi) hadis ini dhaif (lemah). Terdapat seorang periwayat hadis yang lemah, namanya Syahr bin Husyab. Menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa aku tidak mendapati hadis yang lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan hujah. Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak yatim dibelakang Rasulullah s.a.w. menjadi hujah dalam masalah ini.”[7]
2- Hadis yang melarang bercakap urusan dunia di dalam masjid
“Sesiapa yang bercakap di dalam masjid dari urusan dunia, Allah akan menghapuskan semua amalannya selama 40 tahun”.
Imam al-Syaukani berkata: Hadis ini merupakan hadis maudu’ iaitu palsu.[8] Kandungan hadis ini juga bertentangan dengan apa yang berlaku pada zaman Nabi dan para sahabat seperti yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam sahihnya dimana Jabir bin Samurah menjelaskan para sahabat sedang bersembang-sembang lalu mereka menceritakan kehidupan mereka sewaktu jahiliyyah dan bergelak ketawa, Nabi s.a.w. hanya tersenyum mendengarnya.[9]
Hadis ini secara tidak langsung difahami seolah-olah Islam adalah suatu agama yang memisahkan antara urusan agama dan urusan dunia. Inilah yang diperjuangkan oleh fahaman sekular. Sedangkan telah dinyatakan bahawa masjid pada zaman Rasulullah s.a.w. menjalankan pelbagai urusan dari pentadbirannya sehinggalah menahan tawanan perang yang kafir di dalam masjid. Bagaimanakah untuk menarik golongan remaja ke masjid jika dalam masa yang sama mereka tidak dibenarkan bercakap-cakap sesama mereka berkenaan sesuatu urusan yang dikatakan keduniaan? Masjid bukanlah tempat pertapaan dan pendetaan. Tetapi masjid berfungsi membangunkan umat dari sudut kerohanian dan fizikal.
Ini hanyalah dua contoh dari sekian banyak hadis lemah dan palsu yang sering dibacakan oleh penceramah bahkan menjadi panduan kepada sebahagian masjid-masjid di Malaysia dengan memasukkannya ke dalam adab-adab apabila berada di dalam masjid yang ditampal di papan-papan kenyataanya.
b) Unsur-unsur Israiliyyat
Antara bahan yang sering membasahi lidah-lidah penceramah-penceramah di masjid juga ialah cerita-cerita Israiliyyat. Israiliyyat ialah cerita-cerita yang diambil dari Bani Israel atau Yahudi. Kisah-kisah ini banyak yang mencemarkan imej agama Islam, malangnya ramai penceramah yang tidak dapat membezakan cerita-cerita yang benar berdasarkan al-Quran dan hadis dengan riwayat-riwayat yang datangnya dari Israiliyyat.
Di zaman moden ini golongan muda khususnya remaja telah terdedah dengan pelbagai makumat hasil dari kemodenan sistem teknologi sekaligus sistem pembelajaran. Ini menyebabkan masyarakat kita sudah mampu menapis maklumat dan hanya menerima maklumat yang berdasarkan fakta.
Abu Syahbah mengulas cerita karut yang disebarkan kepada masyarakat:
“Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu, batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu itu menggerakkan kepalanya, maka bergeraklah batu tersebut lalu bergeraklah bumi dan terjadinya gempa bumi”
Katanya: “Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul”.[1] Generasi moden tidak boleh menerima perkara ini, tetapi ada golongan-golongan agama yang masih mempercayainya.
Antara lain kisah Israiliyyat ialah perincian tentang sifat Luqman al-Hakim yang diberian hikmah kebijaksanaan. Al-Quran menceritakan nasihat-nasihat Luqman yang sangat berguna kepada anak-anaknya antaranya jangan mensyirikkan Allah dan berbuat baik kepada kedua orang tua. Namun riwayat Israiliyyat menyibukkan pembaca dengan perkara-perkara yang tidak memberi sebarang faedah seperti Luqman merupakan seorang hamba Habsyi berkulit hitam, pendek, hidung penyek, bibirnya tebal dan bermacam-macam lagi. Inilah yang telah mencemarkan warisan ilmu Islam terutamanya dalam bidang tafsir dan sukar pula untuk dibersihkan.[2]
c) Unsur-unsur dongeng, tidak logik, khurafat dan syirik
Terdapat penceramah yang memenuhkan bahan pengajarannya dengan cerita-cerita dongeng dan cerita-cerita yang tidak logik menurut akal yang sihat. Tujuannya berkemungkinan untuk menarik perhatian masyarakat kepadanya, atau bertujuan pengajaran dan menakut-nakutkan orang dari melakukan maksiat atau perkara yang bercanggah dengan Islam. Islam tidak menghalalkan sesuatu cara yang tidak betul semata-mata untuk mencapai matlamat tertentu. Ada juga yang memperkenalkan dan mempromosikan sesuatu barangan yang didakwanya mempunyai hikmat atau keistimewaan tertentu yang kesemuanya ini mengundang perkara-perkara khurafat dan syirik. Antara contoh-contoh perkara yang dinyatakan ialah:
Buku dialog Nabi s.a.w. dengan Iblis, salah satu dialognya Nabi s.a.w. bertanya kepada Iblis, Apakah tempat yang paling engkau suka? Jawab Iblis: Panggung wayang.
Cerita azab kubur yang tersebar di dalam masyarakat. Kononnya mereka mendakwa telah merakam bunyi suara jeritan dan sebagainya.
Mayat yang mati berubah menjadi khinzir, atau bertukar kepada kepala anjing serta perkara-perkara pelik dan aneh yang lain.
Memperkenalkan sesuatu barang seperti kayu, batu, rajah dan sebagainya yang didakwa mempunyai kesaktian dimana si pemakainya akan mendapat sesuatu manfaat dan tiak akan terkena kemudaratan seperti kayu kokka, selipar nabi, batu cincin dan sebagainya. Ini merupakan perkara khurafat bahkan syirik kepada Allah s.w.t.
Unsur-unsur yang disebutkan ini membodohkan umat Islam dan memburukkan imej Islam. tidak hairanlah kita jika ada orang Islam sendiri yang mempertikaikan agamanya sendiri kerana merasakan agama ini berlawanan dengan kewarasan akal yang sihat. Kesemuanya berpunca dari bahan-bahan pengajaran yang tidak mencapai piawaian ilmu yang dikehendaki oleh Islam.
d) Menyusahkan amalan agama
Agama Islam sememangnya agama yang mudah. Agama yang tidak menyanggahi fitrah manusia. Ini jelas seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam surah al-Maidah: 6 bermaksud: “Allah tidak menginginkan untuk menyusahkan kamu”.
Allah berfirman lagi di dalam surah al-Baqarah:185 bermaksud: “Allah menginginkan kepada kamu kemudahan dan tidak menginginkan kesusahan kepada kamu.”
Konsep kemudahan di dalam syariat Islam ini menunjukkan bahawasanya segala perkara yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul itu ianya mudah dan mampu dilaksanakan oleh semua orang. Tetapi di sana terdapat sebahagian daripada kalangan agamawan yang suka mengambil pendekatan yang menyusahkan masyarakat dalam pengamalan agama sehariannya. Apabila pendekatan ini dibawa ke dalam masyarakat terutamanya kepada golongan remaja, menyebabkan mereka merasakan pengamalan agama ini sangat susah dan membebankan. Akhirnya mereka tidak akan mendekati pengajaran dan pembelajaran di masjid-masjid. Memudahkan pemahaman agama ini bermula dari aqidahnya seterusnya mudah di dalam pemahaman feqahnya serta akhlak.
e) Bahasa lama yang sukar difahami
Terdapat juga kuliah-kuliah di masjid yang menggunakan bahan mengajarnya berdasarkan gaya bahasa Melayu lama yang sukar difahami oleh generasi remaja sekarang. Menggunakan bahan seperti ini tidaklah menjadi suatu kesalahan, tetapi ianya boleh mengurangkan minat remaja untuk menghadiri kuliah tersebut. Apatah lagi, jika tenaga pengajar tersebut membaca teks tersebut sahaja tanpa diulas dengan gaya bahasa moden. Jika diulas pun tetap dengan gaya bahasa lama dan contoh-contoh yang diberikan juga ialah contoh-contoh yang sudah dianggap oleh remaja ini sebagai ketinggalan zaman.
3- Bentuk dan kaedah pengajaran dan pembelajaran
Sistem pengajaran dan pembelajaran tidak akan sempurna jika tidak menitik beratkan kaedah atau cara dalam pelaksanaannya. Apa yang berlaku kepada sesetengah masjid sekarang ialah sistem pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sangat terhad hanya kepada bentuk kuliah-kuliah khusus berkenaan agama iaitu aqidah, feqah, akhlak yang diadakan secara mingguan atau bulanan. Kaedahnya masih menggunakan pendekatan lama sama ada dari sudut gaya penyampaian atau bahan pengajaran.
Di pihak pengurusan masjid pula ada yang mengambil tenaga pengajarnya hanya semata-mata sekadar ada program yang diisi. Mereka tidak memikirkan jauh dari itu untuk meneruskan agenda perjuangan sebagai khalifah di muka bumi. Mengapa kita tidak berfikir untuk meluaskan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran di masjid dengan mengadakan kelas-kelas khas kepada para remaja berkaitan matapelajaran akademik seperti sains, matematik, geografi dan sebagainya supaya golongan remaja lebih mendekati kepada masjid, bahkan jika kita memikirkan keuntungan dakwah Islam mungkin ianya juga boleh dibuka kepada yang bukan Islam untuk datang dan belajar di masjid, kerana Islam tidak pernah melarang orang kafir dari memasuki masjid.
Selain itu kaedah moden juga boleh digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran ini seperti penggunaan aplikasi ‘power point’, tayangan video, carta dan sebagainya. Barulah institusi masjid kita hidup dan dapat menjadi tempat tumpuan dalam kehidupan masyarakat Islam pada era kini.
Inilah antara isu-isu yang perlu diperhatikan yang juga merupakan cabaran kepada institusi masjid dalam usaha membentuk syakhsiah remaja di era globalisasi ini. Jika tiada inisiatif dari institusi masjid untuk menangani isu-isu ini, dibimbangi generasi yang baru khususnya golongan remaja akan hilang keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi masjid.
[1] Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafsir, hlm 305.
[2] Rujuk Al-Qaradhawi, Thaqafah al-Da’iyyah, hlm 41.
[1] Sahih Muslim, kitab al-Jumuah, bab Takhfif al-Solat wa al-Khutbah, no: 1435.
[2] Sunan Al-Tirmizi, Kitab al-Ilm an Rasulillah, bab Ma Ja’a fi al-Akhzi bi al-Sunnah wa ijtinab al-Bida’, no: 2676, beliau berkata hadis ini Hasan Sahih.
[3] Sunan Ibn Majah dengan takhrij al-Albani, Kitab al-Masajid wa al-Jamaat, bab Ma Yukrah fi al-Masajid, no. 750.
[4] Al-Asqalani, Ibn Hajar, Talkhis al-Habir fi Takhriji Ahadith al-Rafi’I al-Kabir,
[5] Al-Albani, Muhammad Nasiruddin, Sunan Ibn Majah, takhrij al-albani dan Al-Irwa’ Al-Ghalil jilid 7, hlm 361.
[6] Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm 492.
[7] Al-Albani, Tamam al-Minnah, 284
[8] Al-Syaukani, Al-Fawa’id al-Majmu’ah, hlm 40.
[9] Sahih Muslim, Kitab al-Masajid, bab Fadli al-Julus fi Musolla ba’da al-Subhi, no:1523.
1 comment:
Post a Comment