Menunduk Musuh Islam Dengan Ilmu
Berita Harian- Selasa 13 Januari 2009
HATI yang jahil pernah bertanya mengapa Allah menguji umat Islam dengan peperangan, pengkhianatan, kelaparan, penyeksaan dan penyembelihan oleh tangan-tangan kuffar? Mengapa ujian itu kini tidak bernoktah? Kita sering bertanya, namun kita sudah tahu jawapan dan syarat bagi melepasi ujian berat ini. Muslimin terdahulu sudah memenuhi syaratnya dan mereka berjaya, namun kita yang jauh lebih moden kini alpa dan tertanya-tanya. Padahal Allah sudah berjanji dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad, ayat 7)
Bilakah datangnya pertolongan Allah? Dulu, disebabkan hebatnya seksaan yang dialami sahabat di sisi Baginda SAW, mereka mendesak Rasulullah SAW dengan satu pertanyaan: “Wahai Rasulullah, apakah engkau tidak memintakan pertolongan untuk kami? Apakah engkau tidak mendoakan kami? Baginda SAW yang saat itu sedang berbaring, bangkit dengan wajah merah padam akibat marah bersabda yang bermaksud: Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang sebelum kalian ada yang ditanam hidup-hidup, digergaji dari atas kepalanya sehingga tubuhnya terbelah dua dan ada pula yang disisir dengan sisir besi sehingga mengenai dagingnya hingga memisahkan ia daripada tulangnya, semua itu tidak menggoyahkan agama mereka.
“Demi Allah, Allah pasti memenangkan agama ini hingga merata dari Sana’a sampai Hadhramaut dan manusia saat itu nanti semuanya tidak takut melainkan hanya kepada Allah melebihi takutnya kambing terhadap serigala. Tetapi kalian sangat tergesa-gesa (meminta kemenangan).” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)
Kesedihan pejuang Islam di merata dunia berikutan pertumpahan darah dan pencerobohan ke atas Palestin semestinya tidak menyurutkan semangat pejuang untuk tetap istiqamah menjaga agama Allah dari tipu daya jahat musuhnya. Apatah lagi untuk berputus harap kepada Allah kerana dijangkiti penyakit cinta dunia dan takut mati.
Gesaan untuk memboikot barangan Amerika pastinya melahirkan polemik hangat yang mencetuskan pendapat antara yang menyokong dan menolak gagasan itu. Melalui tragedi ini akan jelas terlihat siapakah yang berpeluk tubuh dan memekakkan telinga atau sekadar bermulut manis membantah tanpa aksi sebenar dan hakiki di kalangan negara saudara seagama yang disembah adalah sama iaitu Allah. Hal itu hakikatnya adalah suatu bentuk ujian iman supaya Allah membersihkan di kalangan barisan umat ini orang yang terpilih sebagai pejuang di jalan Allah dan mereka yang terkeluar dari barisan, duduk ketakutan, cemas kehilangan takhta, harta dan jiwanya. Padahal, akhirat itu jauh lebih baik dan kekal, ternyata betapa dunia amat membius jiwa manusia. Namun begitu di kalangan manusia jahil, lalai dan memilih menjual akhiratnya dengan harga dunia yang murah, pasti wujud golongan diselamatkan Allah daripada fitnah dunia. Mereka sentiasa dibangkitkan untuk satu peranan penting demi menjaga agama Allah.
Tidak semestinya mereka berada di medan perang terbuka, menghadapi senapang, bom dan roket bahkan mereka boleh mengikut jejak mujahidin melalui kepakaran ilmu dan teknologi demi masa depan Islam.
Mereka sedar amaran al-Quran supaya umat Islam berwaspada hingga ke akhir zaman disebabkan peperangan sentiasa wujud baik secara terbuka mahupun senyap, bukan kerana umat Islam yang memetik apinya bahkan musuh merekalah yang membakar dendam yang tidak mungkin dihapuskan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu daripada agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup.” (Surah Al-Baqarah, ayat 217)
Dengan kekuatan persenjataan orang kafir jauh lebih canggih daripada umat Islam, strategi dan perancangan umat Islam mesti disusun secara matang serta tidak tergopoh-gapah. Sesuai dengan hadis Baginda SAW yang mengingatkan umatnya tidak tergesa-gesa dan kurang sabar dalam perjuangan. Langkah jangka panjang itu membabitkan ilmuwan dan cendekiawan Islam bersama umara dan seluruh umat. Peranan umara sebagai pemimpin Islam seharusnya meletakkan wawasan jauh dan perancangan jitu supaya umat mampu berdiri setanding bangsa Yahudi dan Nasrani yang sudah pun jauh lebih maju.
Sudahkah disediakan pakar nuklear setanding ilmuwan Amerika dan Yahudi? Teknologi canggih dan penemuan baru apakah sudah diterokai generasi Muslim? Apakah kestabilan negara, politik dan ekonomi menjadi agenda utama pemimpin berlainan fahaman politik? Sejauh mana usaha melahirkan hartawan Muslim pada peringkat antarabangsa dan melatih pendidik, ilmuwan dan cendekiawan supaya menerima transformasi ilmu dari seluruh jendela dunia sebagai bekalan mempersiapkan anak bangsa yang berdaya saing di segala bidang keilmuan setaraf bangsa maju.
Amat menyedihkan, fakta sejarah menyenaraikan 180 orang Yahudi memenangi hadiah Nobel selama 105 tahun dan hanya tiga orang Muslim memenanginya. Dengan perbandingan 14 juta Yahudi dan 1.5 bilion Muslim di seluruh dunia. Kemudian bagaimana pula peranan ulama untuk menghadapi gelombang kebangkitan Yahudi dan Nasrani? Ulama seharusnya lebih bersikap terbuka dan bersedia melakukan dialog antara penganut agama dan kepercayaan di seluruh dunia untuk memberi maklumat yang benar mengenai Islam. Usaha untuk menyampaikan Islam yang asli dengan strategi dakwah moden menjadi keutamaan. Slogan kembali kepada Islam seharusnya menjadi jenama yang boleh dijual di pasaran dunia. Bukan untuk umat Islam saja tetapi kepada bangsa lain yang belum mengetahui keindahan Islam.
Jangan asyik-asyik suka mengharamkan, mengeluarkan fatwa yang menyebabkan ketegangan di antara kaum dan umat beragama. Seolah-olah memusuhi dan mahu menguasai dengan kuasa majoriti. Bukankah Rasulullah SAW mengirim duta ulamanya ke luar negara untuk menjalinkan hubungan diplomatik dan dakwah kepada mereka? Semangat kemanusiaan seharusnya lebih ditonjolkan daripada semangat perkauman dan fanatik kepercayaan agama membabi buta.
Islam tidak sesekali membenarkan umatnya memaksakan akidah kepada umat lain. Seharusnya, menjadi tugas ilmuwan Islam mendekati orientalis yang mengkaji Islam secara bermuzakarah, berdialog dan membincangkan fakta Islam dengan semangat perdamaian bukan kebencian. Pada kurun ke 20 sikap orientalis berbeza-beza, jika dulu mereka bekerja untuk kepentingan imperialisme dan menggunakan hasil kajian itu sebagai senjata bagi menjajah dan memusnahkan umat Islam. Kini, ramai di kalangan mereka bersikap terbuka, jujur dan bebas mengkaji seiring dengan berkurangnya kuasa imperialisme.
Jika ulama tidak menyediakan kitab bermutu serta karangan ilmiah bagi menjawab hujah negatif mengenai Islam, mustahil orientalis ini menemui kebenaran dan hidayah dalam Islam. Antara mereka yang terkenal seperti Rene Guenon (Abdul Wahid Yahya), Martin Lings, Titus Burchhardt dan Leopold Weiss (Mohammad Asad), Murad Hoffman dan ramai lagi hampir mengucap syahadah. Kekuatan ilmu ulama mesti dimanfaatkan untuk penyiaran dakwah dengan cara pembabitan langsung ke medan dakwah. Mencetak pejuang dakwah yang berwibawa, menyampaikan al-Quran dan hadis secara indah dan tidak menakutkan apatah lagi memberatkan. Kadang-kadang sebutan haram itu lebih kedengaran, membuat umat fobia dan meninggalkan terus agamanya padahal haram itu sedikit berbanding yang halal dalam agama kita.
Akhirnya, kejahilan berleluasa dalam diri generasi yang menolak agama, mereka menganggap Islam sebagai agama warisan untuk mengurus hal-hal kematian, kelahiran dan sambutan hari kebesarannya saja tetapi tidak berupaya menjawab permasalahan keduniaan. Kerana kelalaian ulama dan pendakwah, lahir satu fenomena berbahaya di tengah-tengah umat, kewujudan dua generasi Islam. Pertama, yang melepaskan habis ikatan agama dan kedua, golongan tradisional jumud yang memberatkan permasalahan agama sehingga melupakan perjuangan sebenar. Jika orang kafir sudah sampai ke bulan dan mengkaji teknologi perang luar angkasa, umat Islam yang jumud ini masih bercakaran dan berselisih mengenai mazhab siapa yang paling baik dalam berwuduk.
Fanatisme mazhab menjadi punca terpecahnya perpaduan umat, ia bertanggungjawab atas kemunduran umat Islam yang tidak mampu bersaing melalui teknologi, ekonomi dan kekuatan senjata orang kafir. Padahal Rasulullah SAW tidak pernah menyuruh umatnya memegang pada satu mazhab saja, bukankah mazhab itu lahir selepas Baginda wafat dan tak ada satu pun lebih tinggi nilainya daripada kesahihan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW? Bahkan Imam al-Syafie melarang pengikutnya bertaklid buta dan menyuruh mereka mengutamakan kitab Allah dan sunah Rasul daripada pendapatnya. Peranan ulama dan pendakwah seterusnya ialah berganding bahu bersama umara menyelesaikan isu umat.
Sikap ulama terhadap umara hendaklah sesuai dengan suruhan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku berwasiat kepada kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat sekalipun yang memimpin kamu hanya seorang hamba.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi) Antara kelemahan umat Islam ialah tercabutnya kasih sayang antara ulama dan umara. Bagaimanakah masa depan umat jika umara melepaskan ikatan agama dalam memimpin negara? Dan ulama pula menjauhkan diri daripada pemimpin dan membiarkan kesilapan berlaku sehingga menghancurkan agama, bangsa dan negara? Bukankah kebinasaan akan berlaku jika tidak ditegakkan amar makruf nahi mungkar?
Peranan ulama di sisi umara adalah sahabat dan saudara adalah memberi pandangan serta fatwa dengan semangat ijtihad demi kemajuan umat. Ulama dan umara seharusnya duduk bersama merancang strategi menyediakan generasi pelapis yang bakal memperjuangkan misi agama. Ketiadaannya akan mematikan nadi umat. Pencerobohan ke atas umat terjadi di mana-mana kerana kemunduran, kemiskinan, kebodohan dan kejumudan cara berfikir. Tetapi, perlu diingat faktor paling utama penyebab kehancuran Islam ialah kejahilan umat terhadap agamanya. Agama menjadi benteng terkuat untuk memenangi perjuangan kerana ia adalah asas penting penggerak paling hebat untuk melawan kezaliman.
Tanpa agama tidak ada orang sanggup mati membela Islam. Sesekali mereka tidak pernah takut mati bahkan mengharapkan syahid di jalan Allah. Mereka memandang dunia dengan harga yang murah dan memilih syurga yang kekal abadi di sisi Tuhannya. Kembali kepada Islam menjadi slogan yang sering dilaungkan, sejauh mana ia berjaya bergantung dengan peranan ulama dan umara serta sikap umat yang diharapkan mahu berubah. Mampukah kebangkitan Islam direalisasikan generasi berkiblat ke Barat, berjiwa kapitalis dan bernafsukan liberalis?
Rasulullah SAW pernah meramalkan perkara ini dan tiada satu pun perkataan Baginda melainkan benar belaka: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah jika mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani? Nabi SAW bersabda: Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Hadis riwayat Muslim)
1 comment:
Moga kita dilindungi dari masuk ke lubang biawak. Ameeen... (",)
Post a Comment