Thursday, January 15, 2009

MENGAPA ROKOK LUPA DI BOIKOT

Sudah 2 minggu Palestin dihujani dengan serangan demi serangan oleh regim haram Zionis Israil, selama tempoh itu jugalah masyarakat dunia sama ada Islam mahupun bukan Islam berkempen menentang tindakan kejam Zionis ke atas negara Palestin. Begitu juga kempen memboikot barangan-barangan Israil dan Amerika giat dijalankan. Itulah yang mampu dilakukan oleh masyarakat dunia terutamanya dunia Islam di samping berdoa dan mengadakan qunut nazilah di setiap kali solat.

Cumanya, tidakkah kita juga memikirkan untuk memboikot sepenuhnya rokok? Sudah berpuluh-puluh ulamak dan berbagai-bagai badan fatwa dalam dan luar Negara menfatwakan haramnya merokok, tetapi fatwa hanya tinggal fatwa, umat Islam khususnya tidak langsung mengendahkan fatwa tersebut. Penulis tidak ingin membincangkan hukumya disini tetapi marilah sama-sama kita memikirkan tentang hal ini.

Apa guna bercakap soal boikot, dalam masa yang sama perkara yang lebih penting untuk diboikot tidak diboikot. Ada orang sangat lantang mengecam tindakan Zionis di dalam beberapa siri demonstrasi yang diadakan seolah-olah dialah jaguh yang memperjuangkan nasib umat Islam Palestin. Setelah berpenat lelah menjerit, membasahkan tekak sambil menelan kepulan-kepulan asap rokok yang dihisapnya berbatang-batang. Lupa segala-galanya yang diperjuangkan, bahagialah hidupnya.
Ada orang yang bergelar agamawan, ustaz, tuan guru, atau gelaran yang setaraf, begitu bersemangat di dalam khutbah, kuliah dan ceramahnya, mengajak orang kepada pengamalan Islam, juga mengingatkan seisi masyarakat betapa perlunya menyokong perjuangan menentang Zionis dengan berkempen memboikot barangan mereka, sesudah penat berceramah, duduk bersembang di kedai kopi sambil menghembuskan kepulan asap rokoknya yang telah dihisapnya berkotak-kotak. Begitulah kehidupannya sehari-hari, bahagialah hidupnya.

Apalah yang diharapkan oleh masyarakat kepada mereka-mereka ini, yang hanya pandai menyuruh masyarakat memboikot barangan Israil dan Amerika tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri tidak memboikot tabiat merokoknya. Jika ditanya kepada mereka, terus dijawabnya merokok itu makruh hukumnya. Begitulah masyarakat kita baik yang awamnya mahupun agamawannya.

Jika mereka berkata “Perkara ini sunat” maka merekalah orang pertama yang meninggalkannya dengan alasan tidak mengapa, perkara ini sunat sahaja. Begitulah sebaliknya jika mereka berkata “Perkara ini makruh” maka merekalah orang yang pertama melakukanya dengan alasan tidak mengapa, ianya makruh sahaja. Sedangkan ulamak-ulamak kita apabila menyatakan sesuatu itu sunat maka merekalah orang pertama yang melakukanya, dan jika mereka menyatakan sesuatu itu makruh, maka merekalah orang yang pertama meninggalkannya.

Jika anda hanya sekadar orang biasa atau pengikut, tidak ada yang ingin mempertikaikannya, tetapi ingat jika anda orang yang berada dihadapan, atau bergelar ‘pemimpin’ atau jika anda seorang yang bergelar ‘pemimpin agama’ maka ingatlah anda sentiasa diperhatikan oleh masyarakat. Segala perlakuan akan dinilai dan dipertikai.

Jadilah orang yang boleh memberikan contoh yang terbaik kepada masyarakat, jika anda perkatakan sesuatu, berkempen kepada sesuatu, janganlah pula lupa apa yang anda lakukan dan kempenkan. Walaupun disana ada yang tidak menyetujui kempen boikot ini, tetapi sekiranya itulah usaha yang mampu dilakukan disamping doa untuk melemahkan musuh-musuh Allah, semoga Allah mengiranya sebagai pemberat kepada timbangan kita diakhirat kelak walaupun ianya tidak seberapa. Tetapi ianya adalah suatu yang tidak mustahil. Wallahu a’lam

No comments: