Wednesday, October 29, 2008

Kertas Kerja Seminar Penghayatan Sunnah

Sunnah-Sunnah Yang Diabaikan Oleh Masyarakat

Oleh: Dr Azwira Abdul Aziz

Pendahuluan

Ajaran Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan, baik dari segi aqidah, syariat maupun akhlak. Orang yang menerima Islam sebagai agamanya mestilah mematuhi segala ajarannya dalam segenap aspek, tanpa membeza dan memperkecilkan mana-mana ajaran tersebut. Allah S.W.T. berfirman:

يَا أيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا ادْخُلُوْا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Maksudnya: “Wahai orang beriman! Masuklah kamu dalam Islam secara keseluruhannya”[1].

Umat Islam dilarang daripada mengabaikan mana-mana amalan yang telah disyariatkan oleh Islam, meskipun pada pandangan mereka amalan itu hanyalah perkara kecil sahaja. Dalam hal ini Nabi s.a.w. bersabda:

لاَ تَحْقِرَنَّ مِن الْمَعْرُوْفِ شَيئاً وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Maksudnya: “Janganlah kamu perkecilkan (nilai) perkara kebaikan itu sedikitpun, meskipun (dalam hal) bertemu saudara (seagama) dengan wajah yang manis”[2].

Rasulullah s.a.w. melarang umatnya memperkecilkan kepentingan sesuatu amalan sunnah meskipun pada kacamata mereka ia adalah perkara kecil. Justeru, Baginda pernah menegur sahabat bernama Al-Bara’ Ibn cAzib r.a. kerana menukar perkataan nabi dengan perkataan rasul yang terdapat dalam lafaz zikir tidur berikut:

أللهُمَّ أسْلَمْتُ نَفْسِي إلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أمْرِي إلَيْكَ وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إلَيْكَ وَألْجَأْتُ ظَهْرِي إليكَ، رَغْبَةً ورَهْبـَةً إليكَ لاَ مَلْجَأَ ولاَ مَنْجَا مِنْكَ إلاَّ إلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أنْزَلْتَ وبِنـَبِـيِّك الَّذِي أرْسَلْتَ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku menyerahkan diriku kepadaMu, aku menyerahkan urusanku kepadaMu, aku menghadapkan wajahku kepadaMu dan aku menyandarkan belakangku kepadaMu, kerana rasa suka dan takut kepadaMu. Tiada tempat perlindungan dan penyelamat daripada (ancamanMu) kecuali kepadaMu. Aku beriman dengan Kitab yang telah Engkau turunkan dan juga dengan Nabi Engkau yang telah Engkau utuskan”[3].

Al-Bara’ mungkin telah menukar lafaz itu kerana menganggap perkataan rasul itu lebih mulia dan lebih terhormat berbanding perkataan nabi. Namun, teguran dan larangan Baginda s.a.w. daripada menukar perkataan tersebut jelas menunjukkan bahawa mengekalkan perkataan asal itu adalah suatu ajaran agama yang tidak boleh dipandang ringan. Kalau dalam hal penukaran satu kalimah daripada satu lafaz zikir pun diambil berat oleh Nabi s.a.w., maka dalam hal-hal yang berkaitan hukum halal dan haram atau sunnah dan bidcah, tentulah Baginda lebih prihatin terhadapnya. Jika teguran seperti yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu dihalakan kepada para pelekeh syariat hari ini, nescaya mereka akan mentertawa dan mengejek-ngejek si penegur serta mentohmahnya sebagai pencetus fitnah yang suka kepada perkara titik bengik.

Sunnah Adalah Syariat

Sunnah ialah segala perkataan, perbuatan, akuan dan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai syariat bagi umat Islam. Ia adalah manifestasi keseluruhan syariat Islam yang syumul. Setiap syariat adalah ibadah manakala setiap ibadah itu pula adalah syiar agama. Kekurangan satu sunnah bermakna kekurangan satu syariat dan kekurangan satu syariat bermakna kekurangan satu syiar agama. Semakin banyak amalan sunnah yang diabaikan, maka semakin banyaklah syiar agama yang hilang dan semakin lemahlah keimanan umat Islam. Kerana kekuatan iman boleh bertambah dan berkurang bergantung kepada sejauh mana kepatuhan terhadap syariat agama. Iman akan bertambah dengan ketaatan dan akan berkurang dengan pengabaian.

Umat Islam dituntut supaya menghayati seluruh ajaran Islam kerana ajaran itu diturunkan oleh Allah S.W.T. bagi membina kehidupan mereka di dunia dan di akhirat. Dalam konteks ini Sheikh Muhammad Syaqrah berkata (maksudnya):

“Dan tidak tersembunyi dari pengetahuan orang berakal bahawa setiap suruhan dan larangan agama ini (Islam) mengandungi peranan yang berkesan dalam pembinaan insan, sama ada ia dari jenis perkara sunat, harus atau wajib dan sama ada ia dari jenis perkara makruh atau haram. Semua hukum hakam ini adalah cabang-cabang keimanan (seperti) yang telah disabdakan oleh Nabi s.a.w. (maksudnya): “Imam itu (ada) tujuh puluh cabang lebih, yang paling baik ialah ungkapan La Ilaha Illa Allah dan yang paling rendah ialah membuang perkara mudarat dari jalan, manakala sifat malu itu adalah sebahagian daripada iman”[4]. Kekurangan satu cabang darinya bermakna kekurangan sebahagian daripada iman itu, manakala keiltizaman seorang muslim dengan satu cabang pula bermakna pertambahan pada keimanannya. Kerana iman itu akan bertambah dan berkurangan dengan (sebab) perkataan dan perbuatan, dan ia adalah mazhab (pendapat) majoriti umat ini”[5].

Falsafah Isi Dan Kulit

Mungkin ramai yang memperkecilkan amalan-amalan sunnah kerana terkeliru dengan falsafah isi dan kulit. Kononnya ajaran Islam itu terbahagi kepada perkara isi dan kulit, lalu mereka tentukan mana yang dikatakan isi dan mana yang dikatakan kulit mengikut kecenderungan nafsu mereka sendiri. Falsafah seumpama ini sangat popular di kalangan penganut tasawuf sesat yang mendefinisikan ‘ajaran isi’ itu sebagai ilmu hakikat yang hanya boleh dicapai oleh orang seperti mereka, manakala ‘ajaran kulit’ itu pula mereka tafsirkannya sebagai ilmu syariat yang dipelajari oleh kebanyakan orang. Kerana berpegang dengan falsafah ini, mereka memperlekehkan syariat Islam dan melihat para ulama syariat itu sebagai ‘ulama kulit’, manakala merekalah ‘ulama isi’ yang sebenar.

Kecelakaan falsafah ini tidak terhenti setakat memperlekehkan ajaran agama sahaja, malah ia akhirnya mengheret mereka sampai ke tahap melucutkan segala hukum taklif dengan dakwaan kononnya orang yang sibuk mempelajari ilmu hakikat atau yang telah mencapai maqam tertentu dalam hiraki ilmu tersebut, tidak lagi terikat dengan sebarang hukum hakam. Maka, mereka tidak perlu lagi menunaikan ibadat wajib seperti solat, puasa dan zakat, sebagaimana mereka juga boleh melakukan perkara haram seperti zina, minum arak dan judi.

Kesan daripada falsafah dualisme (isi dan kulit) ini telah terbawa-bawa ke dalam pemikiran umat Islam hingga menyebabkan mereka memperkecilkan sebahagian daripada hukum hakam agama serta mengabaikan banyak sunnah Nabi s.a.w., tetapi pada masa yang sama mereka hidupkan pula banyak amalan bidcah. Sikap memperlekehkan sunnah itu menyebabkan mereka tidak lagi sensitif terhadap gejala bid’ah yang berleluasa di sekeliling mereka. Maka mereka tidak merasa bertanggungjawab untuk menegurnya walaupun sekadar dengan hati, sedangkan teguran dengan hati itu adalah fardu ain yang jika diabaikan akan menafikan kewujudan iman dalam diri mereka.

Akhirnya, sensitiviti agama semakin berkurangan, prestasi keimanan merudum, jati diri semakin hilang dan pegangan agama hampir terlucut. Bila ada pihak yang cuba menghidupkan sesuatu amalan sunnah, maka para pelekeh sunnah akan memperlekehkannya dengan berkata: “Itu perkara kecil sahaja, sekarang bukan masanya untuk membincangkan perkara titik bengik seperti itu, tetapi masa untuk memikirkan perkara yang lebih besar, berkaitan ekonomi, pembangunan dan perpaduan”. Kononnya, amalan sunnah itu berbeza dengan kebiasaan setempat dan sebarang usaha untuk menghidupkannya boleh mengganggu keharmonian hidup masyarakat. Lebih malang lagi bila usaha menghidupkan sunnah itu dimomokkan dengan pelbagai gelaran negatif.

Jika diandaikan memang ada dalam Islam perkara isi dan kulit, maka hal itu tidak boleh dilihat sebagai mengurangkan nilai kepentingan perkara kulit berbanding perkara isi itu. Jika hal ini hendak dibandingkan dengan buah-buahan, maka fungsi kulit itu perlu dilihat sama pentingnya dengan isi. Allah SWT tidak sekali-kali menjadikan kulit buah-buahan itu sia-sia tanpa faedah, sebaliknya Dia menjadikannya bagi tujuan yang sangat penting untuk menjaga keelokan isi daripada menjadi rusak dan binasa. Tanpa kulit yang teguh, mantap dan sihat, nescaya isi akan menjadi buruk lagi busuk dan buah itu akhirnya akan gugur ke bumi. Bahkan, ada banyak jenis buah-buahan seperti buah zaitun, anggur, jambu dan epal yang kelazatannya terhasil bila dimakan bersama kulit.

Demikianlah juga kalau hal ini hendak dianalogikan dengan jenis kulit yang lain, seperti kulit badan manusia, binatang dan seumpamanya. Jika Allah SWT menjadikan fungsi semua jenis kulit begitu penting, maka demikianlah juga kedudukan perkara syariat yang dianggap sebagai kulit itu mesti dilihat sebagai sangat penting. Allah SWT telah mensyariatkan segala ajaran Islam itu untuk menjaga pegangan agama penganutnya daripada terhakis dan terpesong. Tanpa amalan syariat itu, nescaya pegangan agama akan menjadi rapuh, lemah tak bermaya dan akhirnya hancur binasa.


Kepentingan Menghidupkan Sunnah

Setiap muslim wajib berpegang teguh dengan Sunnah Nabi s.a.w. kerana ia adalah manifestasi ajaran Islam sebenar, yang boleh menyelamatkan mereka daripada terpesong ke jalan kesesatan. Sabda Nabi s.a.w.:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا إنْ تَمَسَكْتُمْ بِهِمَا، كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِيْ

Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnahku”[6].

Dalam satu khutbah yang bersemangat, Baginda s.a.w. bersabda:

فَإنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ تَمَسَّكُوْا بِهَا وَعَضُّوْا عَلَيهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُوْرِ فإنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

Maksudnya: “Maka, sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku dan sunnah Khulafa’ Rashidin Mahdiyyin, gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham, dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana ia adalah bidcah sedangkan setiap bid’ah itu adalah sesat”[7].

Khutbah Nabi s.a.w. ini adalah suatu mukjizat ilmiah yang menggambarkan realiti perselisihan umat Islam selepas kewafatan Baginda. Ia adalah suatu peringatan tegas bagi sesiapa yang hidup dalam situasi perselisihan itu supaya menghadapinya dengan cara mengikuti sunnah. Kaedah usul telah menetapkan bahawa perkara yang merealisasikan keberhasilan perkara wajib juga dikira wajib"[8]. Justeru, oleh kerana mengikut sunnah Nabi s.a.w. itu wajib, maka usaha menghidup dan merealisasikannya juga adalah wajib. Menjelaskan kepentingan ini, Sheikh Al-Islam Ibn Taimiyyah (728 H) berkata (maksudnya): “Maka wajib ke atas setiap individu mencurahkan segala usaha dan tenaga untuk mengetahui apa yang dibawa olehnya (Rasulullah) serta mematuhinya, kerana inilah saja jalan pelepasan daripada azab yang pedih dan juga jalan kejayaan bagi mendapat nikmat syurga”[9].

Dari sudut yang lain, usaha menghidupkan Sunnah Nabi s.a.w. dilihat sebagai penting kerana setiap sunnah yang dihidupkan akan mematikan satu amalan bidcah dan sebaliknya setiap sunnah yang dimatikan akan menghidupkan satu amalan bidcah. Sabda Nabi s.a.w.:

سَيَلِي أُمُورَكُم بَعْدِي رِجَالٌ يُطْفِئُوْنَ السُّنَّةَ وَيَعْمَلُوْنَ بِالبِدْعَةِ...الحديث

Maksudnya: “Urusan kamu selepasku akan dikuasai oleh kaum lelaki yang akan memadamkan sunnah dan beramal dengan (amalan) bidcah”[10].

Dalam sebuah hadith lain, Baginda s.a.w. memberitahu Huzaifah Ibn Al-Yaman r.a. bahawa kebaikan yang ada pada umat Islam akhir zaman bercampur baur dengan unsur-unsur bid’ah yang diistilahkan sebagai dakhan. Bila ditanya apakah maksud dakhan itu, baginda menjawab:

قَوْمٌ يَسْتَنُّوْنَ بِغَيْرِ سُنَّتِي وَيَهْدُوْنَ بِغَيْرِ هَدْيِي، تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ

Maksudnya: “Golongan yang tidak beramal dengan sunnahku dan yang tidak berhidayah dengan petunjukku, kamu mengetahui kebaikan dan keburukan mereka”[11].

Perkara bidcah adalah antara perkara yang diberi perhatian serius oleh agama Islam. Nabi s.a.w. telah banyak memberi peringatan tegas kepada umatnya supaya menjauhi semua perkara tersebut, dan peringatan Baginda itu tentulah mengandungi hikmah-hikmah yang tidak boleh dipandang remeh begitu sahaja. Menjelaskan hikmah di sebalik peringatan Nabi s.a.w. ini, Al-Hafiz Ibn Hajar berkata (maksudnya): “Dan sebab (bagi) peringatan ini ialah (kerana) sesungguhnya (orang) yang mengadakan bidcah itu kadang-kala mengambil mudah dengannya kerana keremehan perkara itu pada peringkat awalnya, sedangkan dia tidak perasan kerosakan yang akan berlaku akibatnya…”[12]. Dalam konteks ini juga, Imam Al-Barbahari berkata (maksudnya):

“Dan awasilah perkara-perkara bidcah kecil kerana ia akan berulang sehingga menjadi besar. Demikianlah setiap (amalan) bidcah yang diada-adakan di kalangan umat ini, pada mulanya adalah kecil dan mirip kepada kebenaran sehingga orang yang memasukinya (melakukannya) tertipu dengannya. Kemudian, dia tidak dapat keluar lagi darinya lalu ia membesar dan menjadi satu agama yang dianuti sehingga menyalahi jalan yang lurus dan akhirnya terkeluar dari ajaran Islam”[13].

Tiada cara lebih berkesan untuk menghapuskan bid’ah selain daripada menghidupkan semula segala sunnah yang telah diabaikan. Pengabaian sunnah Nabi s.a.w. berlaku dalam segala aspek syariat terutamanya aspek ibadat. Ia berlaku sama ada dalam konteks tidak buat apa yang Nabi s.a.w. buat (sunnah fi’liyyah) atau membuat apa yang Nabi s.a.w. tak buat (sunnah tarkiyyah). Antara pengabaian yang berlaku terhadap sunnah fi’liyyah ialah:

  1. Menginaikan uban janggut dan rambut dengan warna selain warna hitam.
  2. Mengkhatan dan menindik telinga bayi pada hari ke 7 selepas lahir.
  3. Bertayammum dengan debu dinding.
  4. Menjimatkan air ketika wuduk dan menunaikan solat sunat wuduk selepas wuduk.
  5. Menyapu atas stoking dan sepatu ketika wuduk.
  6. Berwuduk sebelum mandi wajib.
  7. Berwuduk sebelum dan selepas bangkit dari tidur.
  8. Berwuduk sebelum mengulangi jima’.
  9. Azan dan Iqamah ketika solat di mana sahaja dan bersalawat kepada Nabi s.a.w. selepas azan.
  10. Bersolat sambil memakai sepatu/kasut yang bersih sekali sekala.
  11. Membaca ayat 136 surah al-Baqarah dan ayat 64 surah AlicImran dalam solat sunat subuh.
  12. Tidur mengiring selepas solat sunat subuh.
  13. Menunggu waktu solat duha selepas solat subuh di masjid dan menunaikannya.
  14. Menyaringkan bacaan surah dalam solat sirriyyah sekali sekala.
  15. Berdoa, bertasbih dan bertacawwuz ketika membaca ayat yang berkenaan.
  16. Menjawab salam dengan isyarat tangan ketika sedang solat.
  17. Menghimpunkan dua surah dalam satu rakaat.
  18. Menghembus ke sebelah kiri tiga kali ketika terasa ada waswasah daripada syaitan Khinzab.
  19. Menambah ungkapan ‘wabarakatuh’ di akhir salam solat dan mengucap salam ketika bersurai dari majlis.
  20. Solat sunat ringkas dua rakaat sebelum solat tahajjud.
  21. Solat ringkas dua rakaat, kadang kala sambil duduk, selepas solat witir.
  22. Membaca doa qunut solat witir sebelum ruku’.
  23. Solat sunat dua rakaat dan bersedekah ketika taubat.
  24. Solat Hariraya di kawasan lapang.
  25. Membayar zakat fitrah dengan makanan ruji kepada fakir miskin.
  26. Memulakan takbir Raya Puasa dari waktu subuh pagi raya sehingga solat hariraya dan memulakan takbir Raya Haji dari pagi hari Arafah sehingga waktu asar hari ke tiga tasyriq (13 Zulhijjah).
  27. Solat sunat dua rakaat di rumah sebaik kembali dari solat Hariraya.
  28. Solat sunat dua rakaat di masjid berdekatan sebelum pulang ke rumah dari perjalanan musafir.
  29. Solat Gerhana.
  30. Solat Istisqa’.
  31. Mengebas tilam dengan kain sebelum tidur.
  32. Membuang benda bahaya di jalan awam.
  33. Penampilan berkaki ayam sekali sekala.
  34. Mendedahkan anggota badan kepada titisan air hujan.
  35. Menulis wasiat dengan muqaddimah.
  36. Berwasiat supaya kematian diurus mengikut sunnah.
  37. Memudahkan proses perkahwinan dan penceraian.
  38. Memberi hak kediaman di rumah perkahwinan bagi wanita dalam iddah cerai.
  39. Berjihad sekurang-kurangnya sekali setahun.
  40. Mengamalkan zikir harian.


[1] Al-Baqarah, 2: 208.

[2] Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-cArabiyy, Beirut, 1991, No: 2626.

[3] Al-Bukhari, Muhd. Ibn Ismail, 1379 H, Sahih Al-Bukhari (bersama Fath Al-Bari), Dar Al-Ma’rifah, Beirut, 1: 357, No: 247.

[4] Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-cArabiyy, Beirut, 1991, No: 35.

[5] Muhammad Ibrahim Syaqrah, Tanwir Al-Afham, hal: 36-44, dipetik daripada cAli Ibn Hasan Ibn cAli Ibn cAbd Al-Hamid Al-Halabi, cIlm Usul Al-Bidac, Dar Ar-Rayah, Riyadh/Jeddah, 1417 H, hal: 254.

[6] Malik Ibn Anas, Al-Muwatta’ (bersama Syarh Az-Zarqani), Dar Al-Fikr, Beirut, t.th, No: 1727. Hadith dinilai sebagai masyhur oleh Ibn cAbd Al-Barr Al-Qurtubi dalam At-Tamhid dan dinilai sebagai hasan oleh Al-Albani dalam Misykat Al-Masabih, At-Tawassul dan Manzilah As-Sunnah. Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah. atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp.

[7] Abu Daud, Sulaiman Ibn Al-Asy-‘Ath, Sunan Abi Daud, Dar Al-Hadith, Beirut, 1974, No:4607 At-Tirmizi, Muhd Ibn Isa, Sunan At-Tarmizi, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut, 1987, No: 2510 dan Ibn Majah, Muhd Ibn Yazid Al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, Dar Ihya’ Al-Kutub Al-‘Arabiyyah, Kaherah, t.th, No: 4036. Hadith ini telah dinilai sahih oleh Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah As-Sahihah, Maktabah Al-Ma’arif, Riyadh, 1996, 6: 526, No: 2735.

[8] Wahbah Az-Zuhaili, Usul Al-Fiqh Al-Islami, Dar Al-Fikr, Damsyik, Syria, 1986, 2: 67-71.

[9] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd Al-Halim Al-Harrani, Majmu al-Fatawa, Terbitan Waqaf, Arab Saudi, 1398 H, 1:5-6.

[10] Ibn Majah, Muhd. Ibn Yazid Al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, Dar Ihya’ Al-Kutub Al-cArabiyyah, Kaherah, t.th, 2: 956, No: 2865. Hadith ini telah dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, No: 2864 dan Sahih Sunan Ibn Majah, No: 2332. Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp.

[11] Al-Bukhari, Muhd. Ibn Ismail, 1987, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 3: 1319, No: 3411 dan 6: 2595, No: 6673. Musim Ibn Al-Hajjaj t.th, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-cArabiyy, Beirut, 3: 1475, No: 1847.

[12] Al-cAsqalani, Ahmad Ibn cAli Ibn Hajar, Fath Al-Bari Bi Sharh Sahih Al-Bukhari, Dar Al-Macrifah, Beirut, 1379 H, 13: 302.

[13] Hasan ibn cAli Ibn Khalaf Al-Barbahari (M 329 H), Sharh As-Sunnah, dalam cAli Ibn Hasan Ibn cAli Ibn cAbd Al-Hamid Al-Halabi, cIlm Usul Al-Bidac, Dar Ar-Rayah, Riyadh/Jeddah, 1417 H, hal: 247. lihat juga edisi terjemahan oleh Zainal Abidin LC, Dar El-Hujjah, Jakarta, Indonesia, 2002, hal: 39.

2 comments:

ibnuabi 'abdurabbi said...

Assalamualaikum.
Bismillah walhamdulillah.
nk tnye skit psl sunnah2 yg dtglkn iaitu tidur slps solt subuh.
bknkh kta dituntut spy x mgamalkn kgiatan tidur slpas subuh n asar?
pohon pnjlsn.
syukron, wassalam.

ibnuabi 'abdurabbi said...

Assalamualaikum.
Bismillah walhamdulillah.
nk tnye skit psl sunnah2 yg dtglkn iaitu tidur slps solt subuh.
bknkh kta dituntut spy x mgamalkn kgiatan tidur slpas subuh n asar?
pohon pnjlsn.
syukron, wassalam.