Wednesday, October 28, 2009

Solat Sunat Dhuha
Ramai juga yang bertanya tentang hadis solat sunat dhuha, mereka mendengar sebahagiannya menyatakan hadis solat sunat dhuha merupakan hadis-hadis yang lemah (dhoif). Hairan rasanya mereka yang berkata sedemikian kerana antara hadis-hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Maka saya bersangka baik bahawasanya kemungkinan mereka menyatakan ada beberapa hadis yang dihukumkan sebagai lemah.

Hadis-hadis solat sunat dhuha

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: أوصاني خليلي بثلاث: صيام ثلاثة أيام من كل شهر، وركعتين الضحى، و أن أوتر قبل أن أرقد.

Daripada Abu Hurairah r.h. dia berkata: Kekasihku (Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara iaitu berpuasa 3 hari setiap bulan, 2 rakaat dhuha dan berwitir sebelum tidur. (Al-Bukhari 1981, Muslim 721)

عن أبي ذر عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: يصبح على كل سلامى من أحدكم صدقة، فكل تسبيحة صدقة، وكل تحميدة صدقة، وكل تهليلة صدقة، وكل تكبيرة صدقة، وأمر بالمعروف صدقة، ونهي عن المنكر صدقة، ويجزىء من ذلك ركعتان يركعهما من الضحى.
Daripada Abu Zar daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda: setiap pagi setiap orang mesti melakukan sedekah, maka setiap tasbih itu sedekah, dan setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, Amar Makruf itu sedekah, Nahi mungkar itu sedekah, dan ianya sudah dikira sedekah dengan 2 rakaat solat dhuha. (Muslim 720)

وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا يحافظ على صلاة الضحى إلا أوّاب، قال: وهي صلاة الأوَّابين.
Daripada Abu Hurairah r.h. Nabi bersabda: tidak ada yang menjaga solat dhuha kecuali Awwab. Dan itulah solat al-Awwabin. (Al-Tabrani, dan Ibn Khuzaimah, lihat sahih al-Targhib wa al-Tarhib 673, dan silsilah al-sahihah 703)

Awwab bermaksud orang yang banyak bertaubat dan kembali kepada Allah.

Melalui hadis-hadis ini maka hukum solat dhuha ialah mustahab dan ianya sunnah muakkadah (dituntut melakukannya).

Nama lain bagi solat dhuha

1- Solat sunat Ishraq – iaitu dipermulaan waktu naiknya matahari. Maka solat sunat Ishraq ialah solat dhuha yang dilakukan di awal waktu naiknya matahari.

2- Solat sunat Awwabin – solat sunat awwabin merupakan solat dhuha seperti hadis yang telah dinyatakan. Adapun sebahagian mereka yang melakukan solat sunat sebanyak 6 rakaat antara maghrib dan isyak dan mereka namakan sebagai solat awwabin maka ini merupakan suatu kesalahan, bahkan tiada dalil berkenaan solat sunat tersebut.

Waktu solat dhuha

Bermulanya waktu solat dhuha apabila matahari naik kadar 2 meter sehingga sebelum masuk waktu diharamkan solat sebelum tergelincir matahari.

Waktu yang afdhal ialah apabila matahari sudah mula memanas atau mengeluarkan bahangnya. Jika waktu sekarang lebih kurang jam 10 ke atas.

Bilangan rakaat

Bilangan yang paling sedikit sebanyak 2 rakaat kemudian 4, 6, 8.

Kebanyakkan riwayat yang tsabit dari perbuatan Rasulullah s.a.w. ialah 8 rakaat seperti di dalam hadis Abdul Rahman bin Abi Laila yang diriwayatkan oleh al-Bukhari 1176 dan Muslim 336.

Dan kebanyakkan riwayat yang tsabit dari perkataan Rasulullah s.a.w. ialah 12 rakaat seperti di dalam hadis Abu Darda’ Nabi bersabda:

من صلّى الضحى ركعتين لم يكتب من الغافلين، ومن صلّى أربعاً كتب من العابدين، ومن صلّى ستاً كفي ذلك اليوم، ومن صلّى ثمانياً كتبه الله من القانتين، ومن صلّى ثنتين عشرة ركعة بنى الله له بيتاً في الجنة.
Sesiapa yang solat dhuha 2 rakaat tidak akan di tulis di kalangan orang-orang yang lalai, dan sesiapa yang solat 4 rakaat ditulis baginya dikalangan orang-orang yang kuat beribadah, sesiapa yang solat 6 rakaat maka cukuplah baginya pada hari itu, sesiapa yang solat 8 rakaat Allah menulis dia di kalangan orang yang khusyuk. Sesiapa yang solat 12 rakaat Allah akan bina baginya rumah di syurga. (Hadis riwayat Tabrani fi al-Kabir, di hasankan oleh Al-Albani di dalam sahih al-Targhib dan al-Tarhib 671)

Wallahu a’lam

Tuesday, October 20, 2009

Friday, October 16, 2009

MAKLUMAN

Kedatangan Syeikh Ali Al-Halabi dan Syeikh Masyhur Hassan Salman ke Malaysia buat julung-julung kalinya
kedua-dua mereka merupakan anak murid utama kepada Al-Imam Al-Muhaddis Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahullahu ta'ala
Program Daurah di Perlis bersama kedua-dua syeikh
Pada 18 Oktober 2009
bermula pada jam 11 pagi sehingga 3 petang
bertempat di Masjid Tuanku Syed Putra Kangar
Pada sebelah malam dan seterusnya hari isnin di Masjid Universiti Sains Malaysia (USM)
Semoga kita tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk hadir pada majlis mereka berdua

Monday, October 12, 2009

Purdah/niqab bukan 'Hanya budaya arab'


Timbul pro dan kontra apabila syeikh al-Azhar Mohammad Sayyed Tantawi mencadangkan supaya pemakaian purdah diharamkan kepada pelajar perempuan daripada memasuki institusi-institusi pendidikan di bawah Universiti Al-Azhar. Di Malaysia media-media telah menerumah Tuan Guru Nik Aziz dan secara ringkasnya saya rasakan tiada sesiapa pun yang berselisih dengan beliau melalui katanya: “Dalam masa sekarang sabotaj banyak, polis tidak kenal lelaki atau perempuan yang pakai tudung (purdah) ini terutamanya di negeri-negeri yang banyak letupan bom…”(sinar harian, khamis 8 Oktober 09)

Hari ini akhbar sinar harian (Jumaat 9 Oktober 09) melaporkan Naib ketua Dewan Muslimat Pas Pusat Siti Zailah Muhammad Yusuf menyifatkan pemakaian purdah hanya budaya masyarakat arab bukannya suatu perkara yang wajib dalam Islam. Saya tidak membincangkan adakah purdah itu wajib atau tidak, dan ianya khilaf di kalangan para ulamak. Tetapi pendapat yang rajih (tepat) insya Allah ialah ianya tidaklah wajib.

Seterusnya kenyataan “pemakaian purdah ini hanya budaya arab” maka saya katakan kenyataan ini perlu dikaji. Adakah benar ianya hanya budaya arab atau ianya suatu yang dimasyru’kan (disyariatkan). Bahkan ada yang menyatakan “Kebanyakan ulamak berpendapat purdah tidak wajib tetapi hanyalah adat resam yang diamalkan oleh masyarakat arab badwi sebelum kedatangan islam”. Untuk menyatakan purdah atau istilah arabnya niqab hanya tradisi masyarakat arab badwi sebelum kedatangan islam maka perkataan seperti ini sangat tidak tepat dan agak jahil terhadap nas-nas islam atau terpengaruh dengan pendapat orang lain.


Secara ringkas dinyatakan disini beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa pemakaian purdah/niqab adalah sesuatu yang masyruk selepas kedatangan islam dan di’iqrar’kan oleh Nabi s.a.w. antaranya:

Isteri-isteri baginda s.a.w. Ummahatul Mukminin kesemuanya diperintahkan menutup wajah-wajah mereka. riwayat-riwayat seperti dalam kisah al-Ifk (fitnah terhadap Aisyah, kisah perang khaibar dan pemilihan Sofiyah sebagai isteri Nabi s.a.w. begitu juga diriwayat daripada Sofiyah binti Syaibah katanya: Aku melihat Aisyah bertawaf dan dia memakai niqab. Asma’ binti Abu Bakar berkata: Kami menutup wajah-wajah kami daripada lelaki. (riwayat al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Albani. Adakah ini sebelum kedatangan Islam?

Secara terperinci artikel tentang dalil-dalil daripada al-Quran telah pun di’post’kan oleh saudara masri dalam blognya. Jazahullahu khairan.

Pemakaian purdah/niqab ini juga telah dijadikan contoh oleh wanita-wanita yang terhormat selepas daripada zaman Nabi s.a.w. Antaranya Hafsah binti Sirin. Beliau ialah Ummu Huzail al-Ansori al-Basriyah, dikalangan Tabi’iyyah (tabi’in) meninggal 101 H.
Berkata Asim al-Ahwal: kami bertemu dengan Hafsah binti Sirin dan dia memakai niqab, maka kami katakan kepadanya: Semoga Allah merahmati engkau, Allah telah berfirman yang bermaksud: "Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kawin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan.” (al-Nur: 60). Hafsah menjawab ayat ini bermaksud : Jilbab. Kemudian dibaca ayat seterusnya yang bermaksud: "Dan jika mereka berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-Nur:60) Maka Hafsah menjawab: Ayat ini menistbatkan Hijab (menutup muka). (al-Baihaqi, al-Albani berkata: sanadnya sahih)

Riwayat-riwayat yang saya letakkan dengan teramat ringkas ini kesemuanya telah menolak kata-kata mereka yang jahil dengan menyatakan purdah/niqab ini hanyalah adat orang arab sahaja. Tetapi yang benarnya purdah/niqab bukanlah hanya adat bahkan ianya disyariatkan dan disunnahkan kepada para wanita muslimah.

Wallahu a’lam