Monday, August 3, 2009

Sya'ban persediaan menyambut Ramadhan

Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah s.w.t. yang telah mengizinkan kita untuk hidup sehingga ke saat ini, moga-moga kita sempat menyambut kedatangan ramadhan pada tahun ini 1430 hijrah

Nabi s.a.w. bersabda:
عن أسامة بن زيد رضي الله عنهما قال : قلت يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم من شعبان ، قال : " ذاك شهر تغفل الناس عنه ، بين رجب ورمضان ، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين ، وأحب أن يرفع عملي وأنا صائم " رواه النسائي ، أنظر صحيح الترغيب والترهيب ص 425.
Daripada Usamah bin Zaid r.huma: Aku berkata wahai rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa pada bulan Sya’ban? Nabi bersabda: itulah bulan yang manusia sering lalai dan leka, antara rejab dan ramadhan, pada bulan itu amalan angkat diangkat kepada Tuhan sekalian alam, dan aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa. (Nasa’ie, lihat Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (al-Albani) hlm 425)

Di dalam bulan Sya’ban ini Nabi s.a.w. memperbanyakkan berpuasa di dalamnya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, Aisyah r.ha berkata:


وما رأيته أكثر صياماُ منه في شعبان
Aku tidak melihat Nabi s.a.w. memperbanyakkan berpuasa kecuali dalam bulan Sya’ban

Dan banyak lagi hadis-hadis yang menyatakan demikian. Selepas pertengahan Sya’ban terdapat hadis yang melarang untuk berpuasa seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud ini

إذا انتصف شعبان فلا تصوموا

Apabila pertengahan Sya’ban (15 dan ke atas) maka janganlah kamu semua berpuasa


Hadis ini seolah-olahnya melarang daripada kita untuk berpuasa selepas dari pertengahan Sya’ban, tetapi penjelasan hadis ini diterangkan lagi oleh sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim


لا يَتَقَدَّمَنَّ أحدكم رمضان بصوم يوم أو يومين إلا أن يكون رجل كان يصوم صومه فليصم ذلك اليوم.
Jangan sesekali kamu mendahulukan daripada berpuasa ramadhan satu atau dua hari kecuali jika seseorang itu sering berpuasa maka berpuasalah pada hari tersebut.

Kesimpulan yang kita dapat dari 2 hadis ini ialah

Bagi mereka yang sudah memang melazimi puasa sejak dari awal lagi, maka bagi mereka hak untuk berpuasa

Sebaliknya bagi mereka yang tidak berpuasa, tetapi apabila sampai pertengahan Sya’ban baru hendak berpuasa, maka tidak berhak untuk mereka berpuasa.

Bagi mereka yang masih mempunyai puasa yang tidak diganti lagi (qada’) maka mereka wajib untuk menggantikan puasa yang tertinggal pada tahun lepas sebelum tibanya ramadhan berikutnya. Wallahu a’lam

Nisfu Sya’ban

Nisfu Sya’ban atau bersamaan dengan 15 Sya’ban memang terdapat kelebihan yang disebutkan di dalam hadis-hadis yang sahih antaranya


إن الله ليطلع في ليلة النصف من شعبان إلى سماء الدنيا فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن
Sesungguhnya Allah Akan turun (berada) di langit dunia pada malam nisfu sya’ban, dan akan mengampunkan semua hamba-hambaNya kecuali orang yang mensyirikkanNya atau orang yang berkelahi (memutuskan hubungan silatur rahim)

Maka nisfu Sya’ban kita disuruh untuk beribadah dan memeohon keampunan dari Allah s.w.t. ini kerana tidak ada seorang pun di kalangan kita yang tidak melakukan kesalahan dan dosa, dan sebaik-baik orang yang melakukan dosa ialah mereka yang bertaubat kepada Allah s.w.t. sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat.

Adapun mengkhususkan sesuatu amalan pada malam nisfu Sya’ban seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang dengan mengkhususkan bacaan yasin sebanyak 3 kali dengan setiap satunya diniatkan dengan niat tertentu, maka ini tidak disandarkan kepada dalil yang sahih dari Al-Quran dan Sunnah.

Beramallah pada hari tersebut dengan apa sahaja ibadah tanpa mengkhususkannya, semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita dan menambahkan ilmu yang bermanfaat kepada kita dan dikurniakan kita kekuatan untuk melaksanakan sunnah nabi Nya s.a.w. Amin…

No comments: