Dr Juanda Jaya
Mufti Kerajaan Negeri Perlis
Berita Harian 16 Jun 2009
KITAB Sahih al-Bukhari, bab Ghazwah Hunain menyebutkan ketika Rasulullah SAW membahagi harta rampasan perang kepada orang Muhajirin sebanyak 100 ekor unta untuk setiap orang, ramai munafiqin yang bersuara: "Sungguh ini adalah pembahagian yang tidak adil."
Timbul pula fitnah dan cakap-cakap keji di belakang Rasulullah SAW yang dihembuskan orang munafik mengenai kedudukan kaum Muhajirin dan Ansar yang dibezakan, mengapa kaum Muhajirin (orang Makkah) yang baru memeluk Islam itu diberi keutamaan oleh Rasulullah SAW.
Padahal, orang Ansar sudah banyak berkorban untuk kejayaan Islam berbanding mereka yang baru memeluk Islam. Bahkan mereka mengatakan: "Sedangkan pedang kami masih berlumuran darah bagi membela Rasulullah SAW." Mereka mengungkitkan pembelaan tidak berbelah bagi kepada Rasulullah SAW.
Angin perpecahan dan antiperpaduan cuba ditiupkan oleh mereka yang hatinya rosak. Isu berbaur perkauman itu lantas ditangkis dengan cekap melalui pandangan politik Rasulullah SAW yang tajam dengan kaedah tarbiah nubuwwah.
Rasulullah SAW memanggil dan mengumpulkan kaum Ansar di Lembah Hunain lalu memberi mereka dua pilihan, apakah mereka memilih harta rampasan perang yang murah nilaiannya itu atau memilih untuk membawa pulang Rasulullah SAW dan Baginda menjadi harta milik mereka?
Rasulullah SAW mentarbiah jiwa orang Ansar dengan sabdanya yang bermaksud: "Wahai sekalian orang Ansar, tidak sudikah kamu jika orang Muhajirin itu pergi dengan membawa unta, sedang kamu pergi dengan membawa Rasulullah SAW? Sesungguhnya pemergian kamu bersama Rasulullah SAW jauh lebih baik daripada mereka dengan membawa unta.
"Sesungguhnya kamu sudah mendapat isi sedangkan mereka hanya mendapat kulit. Demi Allah, seandainya aku akan melalui satu jalan, aku akan lalui jalan yang kamu lalui. Mudah-mudahan Allah mengampuni dan merahmati kamu orang Ansar berserta anak cucu kamu sekalian. Lalu orang Ansar bertangisan kerana sedar nilaian harta dunia yang amat sedikit berbanding diri Rasulullah SAW, sambil mereka berkata: "Kami rela Allah sebagai Tuhan kami dan Muhammad nabi kami." (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Perpecahan yang timbul dalam jiwa umat Islam sejak dulu hingga kini berpunca daripada perebutan kedudukan, harta dunia dan penyakit hati. Kejahatan itu muncul daripada barisan orang yang lemah imannya dan amat cintakan harta dunia.
Tidak kira siapa mereka dan apakah kedudukannya, pengikut atau pemimpin, mereka semua sama-sama terdedah kepada fitnah yang boleh menjejaskan keikhlasan perjuangan yang mesti dituluskan semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya.
Begitu pula halnya kepada orang ikhlas menceburkan diri ke medan politik yang amat mencabar. Mereka sentiasa diuji dengan perebutan dan persengketaan, penyakit dunia dan kesumat hati yang tercemar.
Adakalanya ujian itu terlalu hebat hingga mengikis sedikit demi sedikit tembok keimanan, ramai yang gugur dan terseleweng daripada matlamat asal yang murni kerana keadaan zaman berubah dan tuntutan nafsu sentiasa membara.
Hakikat itu menunjukkan keperluan untuk sentiasa mengingatkan diri dan pengikut kembali ke jalan al-Quran dan al-Sunnah ketika terjadinya fitnah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang yang bersaudara; dan kamu sudah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya kepadamu, supaya kamu mendapat petunjuk." (Surah Ali-Imran, ayat 103)
Apabila timbul benih perpecahan disebabkan matlamat dan pendekatan berbeza dalam berpolitik, maka ruang untuk menyatukan pandangan demi kemaslahatan umat yang lebih luas daripada kepentingan segelintir elit politik yang dibela hendaklah dibuka seluas-luasnya.
Atau, tegakkanlah keinsafan dalam hati mengenai kesucian matlamat akhirat di atas kepentingan duniawi. Apakah membela kepentingan Allah SWT dan Rasul serta umat Islam seluruhnya lebih utama atau keuntungan bagi diri sendiri dan pengikut yang diutama?
Sesungguhnya punca terjerumus hamba Allah SWT ke lubuk neraka di akhirat nanti adalah kerana masalah keikhlasan dalam setiap perjuangan mereka di dunia. Rasul-Nya SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang pertama kali disoal pada hari kiamat ialah seorang yang mati syahid, dia akan dihadapkan kepada Allah, maka Allah memperlihatkan kenikmatan-Nya dan dia pun mengenal kenikmatan itu. Allah bertanya: Kerana apa engkau berbuat demikian?
Dia menjawab: Aku berperang kerana Engkau hingga aku mati syahid. Allah berfirman: Kamu dusta! Kamu berperang kerana ingin disebut sebagai pahlawan, maka Allah memerintahkan malaikat untuk mengheret dan memasukkan orang itu ke dalam neraka. Selepas itu orang yang mempelajari agama dan mengajarkan al-Quran dihadapkan kepada Allah, maka Allah memperlihatkan kenikmatan-Nya dan dia pun mengenal kenikmatan itu. Allah bertanya: Kerana apa engkau berbuat demikian?
Dia menjawab: Aku belajar dan mengajar ilmu serta membaca al-Quran kerana Engkau. Allah berfirman: Kamu dusta, kamu belajar dan mengajar kerana mahu disebut sebagai ulama dan membaca al-Quran kerana mahu disebut sebagai qari, maka Allah memerintahkan malaikat mengheret orang itu ke neraka. Yang terakhir orang yang kaya dihadapkan kepada Allah dan Allah memperlihatkan kenikmatan-Nya dan dia pun mengenal kenikmatan itu. Kemudian Alah bertanya: Kerana apa engkau berbuat begitu?
Dia menjawab: Aku tidak meninggalkan satu jalan pun melainkan aku berbelanja di jalan-Mu. Allah berfirman: Kamu berdusta! Kamu berbuat itu kerana ingin disebut sebagai dermawan, maka Allah memerintahkan malaikat untuk mengheret orang ini ke dalam neraka." (Hadis riwayat Imam Muslim)
Beratnya amanah ditanggung mereka yang mahu berjuang di jalan Allah, jika jalan politik yang menjadi medan perjuangan itu apakah mereka bersedia untuk disoal siasat di mahkamah Allah SWTnanti?
Jika setiap mata yang berjaga kerana mahu memperjuangkan Islam itu menangisi diri sendiri atas setiap kesilapan dilakukan, alangkah bahagianya umat Islam dipimpin oleh pemimpin yang ikhlas.
Apabila hati sentiasa dibersihkan dengan ayat Allah dan teguran dari sunnah Rasul-Nya kemudian mereka patuh dan tunduk kepada keduanya seraya berwaspada di atas kesilapan tindakan yang diambil, Insya-Allah segala perbalahan dalam tubuh umat dapat diselesaikan dengan jalan damai.
Mereka bersatu kerana menyahut seruan Allah SWT, melupakan bara kesumat yang membakar jiwa, mencari titik persamaan dalam sekian banyak perbezaan yang diyakini sebagai tanda rahmat-Nya.
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu bersatu (berjemaah) dan hindarilah perpecahan. Sesungguhnya syaitan itu bersama orang yang bersendirian. Dan dia jauh daripada dua orang yang bersama. Barang siapa yang inginkan keselesaan syurga hendaklah dia berpegang kepada kesatuan (jamaah)." (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi)
Kesatuan umat adalah perjuangan Rasulullah SAW dan sesiapa yang menyahut seruan itu sesungguhnya berada di atas jalan sunnah, walaupun berbeza aliran politik, sesama Muslim wajib menjaga hati daripada penyakit hasad dan permusuhan.
Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sudah berjangkit kepada kamu penyakit umat sebelum kamu, iaitu penyakit hasad dan permusuhan, sedangkan permusuhan itu adalah pencukur. Ketahuilah! Bahawa aku bukan kata ia mencukur rambut tetapi perpecahan itu mencukur agama." (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi)
Faktor yang boleh menyatukan umat dan seterusnya membawa kekuatan mereka hingga mencapai kemenangan hendaklah dijadikan agenda utama politik, di samping sentiasa berwaspada dengan pelbagai tipu daya musuh.
Kegagalan umat mendaulatkan Islam juga berpunca daripada tidak diletakkannya ketaatan yang mutlak hanya kepada Allah, Rasul dan orang mukmin. Bahkan mereka lebih percaya kepada orang kafir dan fasik yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan peribadi daripada setia kepada orang mukmin.
Sedangkan al-Quran jelas menyatakan teguran Allah ke atas mereka yang akur kepada orang kafir, menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Khabarkanlah kepada orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan pedih. (Iaitu) orang yang mengambil orang kafir menjadi teman penolong dengan meninggalkan orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah." (Surah An-Nisa', ayat 138-139)
Tanda setia terhadap orang kafir ialah melalui lima perbuatan iaitu; mengikuti hawa nafsu mereka, mengikuti suruhan dan isyarat mereka, cenderung dan bersatu hati bersama mereka, berlembut dan berkasih sayang dengan mereka.
Tetapi apabila suasana politik yang bergolak memaksa mereka untuk setia kepada orang kafir maka mereka hendaklah mengikut syarat ditentukan syarak seperti menurut Imam Ahmad dan Syaikhul Islam Ibn Taimiyah bahawa keadaan terpaksa melahirkan kufur, sama ada dengan perkataan kufur atau wala' kepada orang kafir tidak boleh dilakukan kecuali apabila sampai kepada peringkat mereka menyeksa hingga boleh membunuh, tetapi jika hanya bimbang kepada pangkat, harta atau keluarga atau tanah air maka tidak diterima keuzurannya bersetia dengan orang kafir. Terpaksa bersetia kepada orang kafir dibolehkan hanya jika mereka memudaratkan jiwa umat Islam.