Tuesday, December 30, 2008

Ucaptama Konvensyen Sunnah ke-4

Membina Jambatan Perhubungan
Antara Bahana Ghurbah dan Kabus Dakhan

Oleh:
Dr. Azwira Abdul Aziz
Pensyarah kanan, Fakulti Pengajian al-Quran dan Hadis
Universiti Kebangsaan Malaysia

Dianggarkan hampir 100 NGO yang dikaitkan dengan Islam wujud di Negara ini. Aktiviti mereka merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, dakwah, kebajikan dan perubatan. Matlamat mereka sama, untuk Islam, tetapi pendekatan berbeza. Kegagalan bersuara secara lantang dan padu dalam isu-isu yang membabitkan Islam, membuktikan kelemahan ikatan.

Orang beriman mengimpikan kesatuan hati, pemikiran dan amal, antara gerakan Islam. Namun, hakikatnya mimpi itu seakan sukar menjadi kenyataan. Banyak faktor yang menjadi halangan kesepakatan. Kebanyakan NGO Islam hanya menumpukan perhatian terhadap aspek tarbiah, tanpa menekankan aspek tasfiah (pemurnian/purification). Sedangkan dakwah tanpa tasfiah menghasilkan kebaikan berunsur dakhan (kebaikan yang dikabusi bid’ah).

Nabi s.a.w. memberitahu Huzaifah r.a. bahawa kebaikan generasi selepas baginda akan diselubungi dakhan. Huzaifah bertanya apakah dakhan itu? Lalu baginda menjawab: “(Adanya) Golongan yang tidak mengikut sunnahku dan tidak berhidayah dengan petunjukku, kamu tahu pada mereka ada kebaikan dan ada kemungkaran”. (Al-Bukhari, No.: 3411 & 6673, Muslim, No.: 1847).

Walaupun Negara ini dipenuhi NGO Islam, tetapi NGO-NGO Sunnah tetap merasai bahana ghurbah (keasingan/expatriation), disebabkan perbezaan pendekatan. Dakwah tajdid yang menggabungkan tarbiah dan tasfiah, telah memisahkan NGO Sunnah daripada NGO Islam lain. Ketika rakan-rakan sunnah sanggup berlilin untuk mengharungi kegelapan bid’ah, rakan-rakan NGO lain memadamkan obor mereka untuk memalapkan cahaya sunnah.

Ghurbah adalah suatu kelebihan, meskipun ia menggamit kesunyian. Dakhan adalah suatu kekurangan, meskipun ia merancak kebisingan. Islam menggalakkan umatnya berada dalam situasi ghurbah. Nabi s.a.w. memegang bahu Ibn Umar r.a. seraya bersabda (maksudnya): “Jadilah kamu di dunia umpama orang asing atau musafir lalu”. (Al-Bukhari, No.: 6053).

Tabiat pendukung kebenaran pasti akan merasai cabaran ghurbah. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya Islam itu bermula sebagai asing dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana mulanya. Maka bertuahlah bagi orang asing”. (Riwayat Muslim, No.: 146).

Tarbiyah Dan Tasfiyah Asas Perhubungan

Antara ciri-ciri pendukung kebenaran ialah bilangan mereka sedikit, berbanding bilangan penentang. Allah S.W.T. berfirman (maksudnya): “Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun kamu sangat menginginkannya”. (Yusuf, 12:103).

Kekurangan kuantiti menuntut jalinan hubungan dalaman (sesama ahli) dan luaran (dengan masyarakat). Konvensyen sunnah yang bertemakan jalinan ukhuwwah ini adalah usaha positif ke arah pengukuhan. Namun, hubungan yang hendak dijalin mesti dibina di atas asas-asas kerjasama yang kukuh. Jika asas lemah, jambatan perhubungan akan goyah dan mudah runtuh.

Kerjasama harus dijalin atas dasar tarbiah dengan keikhlasan untuk berhimpun melakukan perkara kebaikan dan taqwa. Allah S.W.T. berfirman (maksudnya): “... Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebaikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Al-Maidah, 5:2).

Dia juga berfirman (maksudnya): “Pada hari itu (Akhirat) sahabat-sahabat karib setengahnya menjadi musuh kepada setengah yang lain, kecuali orang yang (bersahabat berdasarkan) taqwa”. (Az-Zukhruf, 43:67).

Allah S.W.T. menyuruh sekelian hambaNya yang beriman supaya saling bantu membantu dalam perkara kebaikan dan taqwa. Sebaliknya Dia melarang mereka daripada bekerjasama dalam perkara kemungkaran dan permusuhan. Kerjasama yang dijalin atas dasar kemungkaran akan berakhir dengan permusuhan.

Faktor keikhlasan paling mustahak dalam mengukuhkan hubungan dalaman dan luaran. Hubungan yang terbina atas kepentingan peribadi atau puak, sering mencetuskan pengkhianatan, dengki dan taksub.
Kerjasama harus dibina atas dasar tasfiah daripada pengkhianatan, kedengkian dan ketaksuban. Allah S.W.T. berfirman (maksudnya): “... Dan kebanyakan yang bergaul dan berhubungan (dalam pelbagai lapangan hidup), sebahagian mereka menzalimi sebahagian yang lain, kecuali yang beriman dan beramal soleh, tetapi amat sedikit mereka ini”. (Sad, 38:24).

Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Telah berjangkit kepada kamu penyakit umat-umat sebelum kamu, (iaitu penyakit) hasad dan permusuhan, sedangkan permusuhan itulah pencukur. Ketahuilah! Aku tidak kata ia mencukur rambut tetapi mencukur (pegangan) agama. (At-Tirmizi, No.: 2510 dan Ahmad, 1411. Dinilai sahih oleh Al-Albani).

Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Jangan kamu jadi penolong syaitan atas saudara kamu”. (Al-Bukhari, No.:6781). Nabi s.a.w. juga bersabda (maksudnya): “... Dan sesiapa yang berjuang di bawah bendera taksub buta, dia marah kerana taksub, dia menyeru kepada taksub dan dia menolong kerana taksub, maka matinya adalah mati jahiliyyah...”. (Muslim, No.: 1848).

Kerjasama harus dibina atas dasar tasfiah daripada kesesatan dan bid’ah. Hubungan sukar dijalin dengan golongan sesat dan anti sunnah. Kerana mereka akan menjadikan jalan lurus berbelit-belit. Mereka akan tukar bid’ah menjadi sunnah manakala mungkar menjadi ma’ruf.

Mereka akan gelar penegur bid’ah sebagai pencetus fitnah. Mereka anggap penolakan tawassul dengan manusia sebagai menghina para auliya’. Mereka tohmah berpegang dengan dalil sebagai membelakangi ulama.
Hubungan sukar dijalin jika perbezaan melibatkan prinsip. Prinsip tidak harus menjadi korban perhubungan dakhan. Ungkapan keramat “Kita bertemu pada perkara yang kita sepakat dan kita bertolak ansur pada perkara yang kita berbeza pendapat” hanya boleh diguna untuk perkara furu’ (ranting), bukan perkara prinsip. Jika perbezaan prinsip boleh dikompromi, maka bolehlah menjalin hubungan dengan Syiah, Qadyani dan Yahudi.

Hubungan tidak semestinya lemah kerana faktor ghurbah, tetapi ia pasti menjadi lemah kerana faktor dakhan. Dakhan adalah penjana sifat wahan yang menjadi punca kelemahan. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya):
“(Masa) semakin hampir bagi sekelian umat untuk saling bekerja sama menguasai kamu sebagaimana para pelahap saling ajak mengajak untuk menyantap hidangan mereka. Sahabat bertanya: “Adakah keadaan itu disebabkan bilangan kita sedikit pada hari itu? Nabi s.a.w. menjawab: “(Tidak) Bahkan bilangan kamu pada hari itu ramai cuma keadaan kamu sama seperti buih air bah. Oleh kerana itu Allah akan mencabut dari hati musuh kamu perasaan gerun terhadap kamu, sebaliknya Dia akan mencampakkan ke dalam hati kamu (perasaan) al-wahn. Sahabat bertanya: “Apakah itu al-wahn? Nabi s.a.w. menjawab: “Cintakan dunia dan takutkan mati”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Abu Nu’aim dan dinilai sahih oleh Al-Albani. Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net/mhadith.asp).

Apa jua langkah yang diambil, hakikatnya kebenaran adalah berat pada jiwa manusia. Para pendokong sunnah tidak seharusnya menambah beban kebenaran itu dengan beban perpecahan. Kadangkala usaha mengeratkan hubungan juga menatijahkan perpecahan. Justeru, kebijaksanaan dalam tindakan amat diperlukan.

Fatwa berkenaan Air Musoffa

Fatwa Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Kategori : Muamalat

Tajuk :Kedudukan Air Musoffa Dan Seumpamanya

Isu :Kedudukan Air Musoffa Dan Seumpamanya


Fatwa :

Penjualan air musoffa dan sebarang jenis air yang diproses seumpamanya secara komersil adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, khurafat dan penipuan.

Tarikh Pewartaan :
3 Januari 2007

Baca : 720
Oleh : Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara' Wilayah Persekutuan

Friday, December 26, 2008

Konvensyen Sunnah Ke 4
Tajuk: Ahlus Sunnah Wal Jamaah- Hubungan Sesama Mereka Dan Hubungan Dengan Masyarakat
28 Disember 2008/ 30 Zulhijjah 1429
Kampus UNIKL
Taboh Naning,
78000 Alor Gajah, Melaka

ATUR CARA

08.00 pagi : Pendaftaran Peserta
08.30 – 08.40 pagi : Ucapan Alu-AluanPengerusi Majlis
Ustaz Hidayat Bin Shafie


08.40 – 08.50 pagi : Ucapan Pengerusi Badan Kebajikan IBH
08.50 – 09.00 pagi : Ucapan Wakil UniKL
09.00 – 10.30 pagi : Taa’ruf


· Ucapan Wakil Negeri Perak
· Ucapan Wakil Negeri Selangor
· Ucapan Wakil Wilayah Persekutuan
· Ucapan Wakil Negeri Sembilan
· Ucapan Wakil Negeri Pahang
· Ucapan Wakil Negeri Johor
· Ucapan Wakil Negeri Perlis
· Ucapan Wakil Negeri Kelantan
· Ucapan Wakil Negara Singapura
· Ucapan Wakil Negeri Pulau Pinang
· Ucapan Wakil Wilayah Selatan Thai
· Ucapan Wakil Institut Imam Shafie (INTIS Consultant)
· Ucapan Wakil Negeri Terengganu

10.30 – 11.00 pagi : Rehat

11.00 – 12.45 pagi :

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA KONVENSYEN SUNNAH KE 4
Ahlussunah Wa al-Jamaah
(Hubungan Sesama Mereka dan Hubungan Dengan Masyarakat)
Oleh
Ustaz Fathul Bari B. Mat Jahya

12.45 – 02.00 petang : Makan Tengahari & Solat Zohor

02.00 – 04.00 petang :

Foram & Sesi Soal Jawab
Pengerusi : Ustaz Asyraf Mukhlis Minghat

Ahli Panel : 1. Dr Abdullah bin Yasin
(Pensyarah IPTIPS)
2. Ustaz Muhammad Adli Musa
(An-Nidaa’)
3. Ustaz Minghat Mahmut
(Penasihat IBH)

04.00 – 04.30 petang : Minum Petang
04.30 – 05.00 petang : Solat Asar

05.00 – 06.00 petang : Tazkirah
Ustaz Ghazali bin Tahir
(Institut Tahfiz Al-Quran Al-Mizan)

06.00 – 09.00 malam : Solat Maghrib/Makan/Solat Insya’
09.00 – 11.00 malam :

Ucaptama & Penutup
Ybhg Dr Azwira Abdul Aziz
(Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM)