Wednesday, April 25, 2007

Salam Perkenalan


Allah berfirman:

قال الله تعالى: "مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنُجْزِيَنَّهُم أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُوْنَ" سورة النحل: 97.

Maksudnya:
“Sesiapa yang melakukan amal soleh baik lelaki dan perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka lakukan”. (surah al-Nahl: 97)


Ketenangan Jiwa serta kehidupan yang bahagia

Walaupun di zaman serba moden dan canggih ini dengan segala kemewahan dan keselesaan mampu membuatkan seseorang itu hidup dalam keadaan yang sempurna namun hakikatnya banyak permasalahan yang dihadapi setiap insan khususnya kaum muslimin sama ada secara zahirnya mahupun batin. Bertitik tolak dari situ apa sahaja ragam dan tindakan yang dilakukan hanya untuk memenuhi kepuasan hati, ketenangan jiwa serta kehidupan yang bahagia.

Perhatikanlah wahai orang-orang yang beraqal ada orang mencari kepuasan hati dan ketenangan jiwanya dengan kekayaan harta benda. Kononnya dengan hanya memiliki rumah dan kereta yang mewah mampu membuatkan hidupnya bahagia, tenang jiwanya serta puas hatinya.

Ada orang mencari kepuasan dan ketenangan jiwa dengan hanya semata-mata hiburan, maka tidak hairanlah setiap program hiburan yang dianjurkan mendapat sambutan yang hangat sekali. Akademi Fantasia, Malaysian Idols, Gang Starz dan sebagainya seolah-olah Negara kita yang tercinta ini sudah kekeringan dan ketandusan artis sehingga terpaksa mencari pelapis-pelapis baru. Ada orang mencari kepuasan dan ketenangan jiwanya dengan melakukan perkara maksiat dan dosa. Kita mohon dijauhkan dari perkara yang keji ini.

Dengan itu ternyata ada perkara-perkara yang mampu mendatangkan kepuasan hati dan ketenangan jiwa kepada pelakunya namun tentu sangat berbeza dan jauh sekali persamaanya mereka yang merasai ketenangan jiwa dengan cara bertaqarrub (mendekatkan diri) dan taat kepada Allah s.w.t. dengan mereka yang mencapainya dengan jalan maksiat dan meninggalkan perintah-perintah Allah Azzawajalla.

Perumpamaanya seperti seorang yang menderita dengan suatu penyakit yang kronik dimana doctor-doktor sendiri tidak mampu berbuat apa-apa dengan penyakit tersebut. Lalu pesakit itu tadi pergi berubat dengan seorang bomoh atau dukun. Selepas itu ternyata penyakitnya sembuh…Apakah dengan sembuhnya penyakit tersebut boleh dijadikan dalil dan hujah untuk membenarkan si bomoh? Adakah dengan sembuhnya penyakit tersebut (dengan izin Allah) menunjukkan si bomoh itu tadi berada di atas Haq (kebenaran)? Adakah cara tersebut dibenarkan oleh Syariat?....

Sebagai seorang Muslim kita tidak boleh ragu dan syak bahawa kepuasan hati, ketenangan jiwa dan kebahagian hidup adalah salah satu sifat Syariat Islam yang mulia dan sempurna ini. Tetapi ianya harus dilakukan sesuai dengan Syariat dalam beribadah iaitu Ikhlas hanya semata-mata kerana Allah s.w.t. dan mutaba’atur rasul iaitu mengikut petunjuk yang ditunjukkan oleh Rasul s.a.w.

Walau bagaimanapun perlu diingat tidak semua yang boleh memberikan kepuasan hati dan ketenangan jiwa serta kehidupan yang bahagia itu ianya suatu kebenaran..

Allah menyatakan di dalam ayat yang saya nyatakan di awal tadi surah al-Nahl: 97.

"مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنُجْزِيَنَّهُم أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُوْنَ"

“Sesiapa yang melakukan amal soleh baik lelaki dan perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka lakukan”.

Allah telah menjanjikan kepada hamba-hambanya yang melakukan amal soleh tidak kira sama ada lelaki atau perempuan dengan syarat dia mesti beriman kepada Allah s.w.t. kehidupan yang baik ditambah dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah dilakukan. Seseorang yang beriman kepada Allah s.w.t. dengan iman yang sahih akan menghasilkan amal yang soleh dan Akhlaq yang mulia.

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberikan penyelesaian kepada setiap orang yang beriman yang ingin mendapatkan kepuasan hati dan ketenangan jiwa serta kehidupan yang bahagia yang hakiki dan abadi melalui FirmanNya di dalam surah al-Ra’d: 28

الَّذِيْنَ ءامنوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللهِ تَطْمَئِنُّ القُلُوْبُ
Maksudnya:
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenang dengan mengingati Allah, Ingatlah hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenang.”

Selain amalan berzikir jadikanlah solat yang kita lakukan sehari semalam sebagai cara untuk meraih kepuasan hati dan ketenangan jiwa dengan mendirikannya secara betul berdasarkan sunnah dan khusyuk

Solat merupakan penghibur dan penghias hati Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda:

وَجُعِلَتْ قُـرَّةُ عَـيْـنِيْ فِي الصَّلاَةِ
…dan telah dijadikan penghibur (penghias) hatiku (kebahagiaanku) dalam solat. –hadith riwayat al-Nasaie, Ahmad dan selainnya, disahihkan oleh al-Albani-

Rasullullah s.a.w. bersabda kepada Bilal:

قُمْ يَا بِلاَلِ، فَأَرِحْناَ بِالصَّلاَةِ
Iqamahlah wahai bilal, buatlah kami beristirehat dengan melakukan solat
-hadith riwayat Abu Dawud, disahihkan oleh al-Albani-

Demikianlah solat yang betul dan khusyuk pasti akan melahirkan ketenteraman jiwa dan kedamaian hati.

Mudah-mudahan bermanfaat bagi kita semua wallahu a’lam bis sowab…

No comments: