Tujuan utama penciptaan manusia ini ialah supaya manusia mengabdikan diri kepada Allah. Di dalam Islam, masjid merupakan suatu institusi mulia yang digunakan oleh umat Islam untuk beribadah bagi membuktikan ketaatan dan pengabdian yang ikhlas kepada Allah. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud. “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-sama Allah”.
Jadi, masjid adalah tempat untuk beribadah. Ibadah di sini bukan beerti solat semata-mata, tetapi mencakupi ruang lingkup ibadah yang lebih luas. Inilah fungsi utama masjid seperti yang dijelaskan di dalam firman Allah yang bermaksud, "Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."
Menurut Abd al-Rahman bin Nasr al-Sa’di (2005), ketika menghuraikan ayat ini beliau menyatakan ”termasuk di dalam maksud ”supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya” ialah dengan ditunaikan solat sama ada fardhu atau sunat, membaca al-Quran, bertasbih, bertahlil dan zikir-zikir yang lain,proses pengajaran dan pembelajaran, bermuzakarah, iktikaf dan ibadat-ibadat lain yang boleh dilakukan di masjid...”.
Jelas bahawa fungsi masjid seperti yang dijelaskan oleh ayat ini bukan hanya untuk ditunaikan solat semata-mata, tetapi mencakupi seluruh aspek ibadah yang lain. Dalam erti kata lain, ia merangkumi segala aktiviti umat Islam yang boleh membentuk nilai ketakwaan. Di atas dasar inilah Rasulullah menjadikan agenda membina masjid sebagai perkara pertama yang dilakukan selepas baginda sampai di Madinah. Justeru, fungsi utama masjid ialah sebagai sebuah institusi umat Islam yang berusaha membentuk dan memupuk nilai taqwa di dalam diri umat Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud,"Janganlah engkau sembahyang di masjid itu (yang dibina oleh orang munafik) selama-lamanya kerana sesungguhnya Masjid (Quba) yang didirikan atas dasar takwa dari mula (wujudnya), (maka) sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya...".
Oleh sebab itu, peranan yang dimainkan oleh masjid nabawi yang dibina oleh Rasulullah s.a.w bukan sekadar sebagai tempat untuk ditunaikan solat semata-mata. Masjid di zaman Rasulullah telah berfungsi sebagai nadi penggerak ummah ketika itu. Menyentuh tentang hal ini, menurut Halimaton Saadiah (1997), ”Daripada perjalanan kehidupan Rasulullah s.a.w, umat Islam perlu mengambil iktibar bahawa masjid boleh berfungsi lebih daripada apa yang biasa dianggap kini, iaitu masjid sebagai rumah ibadat bagi umat Islam”.
Kemudian, beliau menyenaraikan beberapa fungsi yang telah dimainkan oleh masjid di zaman Rasulullah s.a.w:
1) Fungsi Ibadah: Solat berjemaah lima kali sehari semalam merupakan tonggak segala aktiviti lain.
2) Pusat pengajaran dan pembelajaran
3) Pusat Pentadbiran
4) Pusat Kehakiman: Penduduk Madinah mengajukan masalah-masalah mereka kepada Rasulullah s.a.w di masjid dan Baginda juga telah menyelesaikan banyak pertelingkahan di masjid.
5) Pusat Penerangan dan Maklumat: Khutbah memainkan peranan yang penting bagi menyalurkan ilmu, maklumat dan nasihat.
6) Pusat Perhubungan: Rasulullah bukan sahaja mengadakan perhubungan dengan sahabat-sahabat baginda bahkan melayani rombongan dan pengunjung-pengunjung bukan Islam dengan baik.
7) Pusat Kebajikan: Golongan fakir miskin ditempatkan di suatu ruang dalam masjid Nabawi.
8) Pusat Rawatan dan Kecemasan: Selepas peperangan khususnya, mereka yang luka turut dirawat di masjid.
9) Pusat Interaksi Masyarakat
Berdasarkan Muhammad (2007) pula, fungsi masjid ketika zaman Rasulullah s.a.w merupakan tempat penyebaran dakwah dan ilmu Islam. Masjid juga dijadikan tumpuan dan pusat bagi sebarang penyelesaian masalah individu dan masyarakat. Walaupun bertempatkan masjid yang serba sederhana, ianya digunakan oleh Rasulullah s.a.w untuk menerima dan berjumpa dengan duta-duta asing, dan tempat yang mana pemimpin-pemimpin Islam bersidang selain digunakan sebagai madrasah dan tempat pengajian bagi menuntut ilmu tentang ajaran Islam. Ketika menggambarkan fungsi utama masjid selain tempat ibadat, Muhammad (2007) berkata:
“Sejarah masjid Quba di Madinah menjadi bukti sebagai institusi pendidikan apabila ianya didirikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri sebagai medium untuk baginda s.a.w memberi khutbah dan halaqah sementara para sahabat duduk mengelilingi baginda dan melakukan soal jawab berkaitan urusan agama sehari-hari. Begitulah juga fungsi dan peranan masjid-masjid utama yang lain seperti Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Masjid Kufah, Masjid Basrah dan banyak lagi” (p.220-221).
Melihat kepada fungsi yang dimainkan oleh institusi masjid pada zaman Rasulullah ini, kemungkinan ia suatu yang sukar untuk diaplikasikan keseluruhannya kepada masjid-masjid yang ada sekarang. Tetapi, sejauh manakah institusi masjid sekarang; dengan kapasiti kemampuan yang ada, telah memaksimumkan fungsinya supaya ia benar-benar menjadi nadi pengerak umat? Justeru, apakah realiti fungsi masjid pada masa kini?
Institusi masjid merupakan satu aset penting dalam sejarah kebangkitan Islam. Sebagai salah satu pusat yang berperanan penting kepada simbolik wilayah Islam, institusi masjid terus berfungsi sebagaimana fungsi-fungsinya yang universal. Dalam era globalisasi ini, fungsi dan peranan institusi masjid dituntut supaya berperanan lebih luas sesuai dengan peredaran masa. Tidak wajar institusi masjid yang dahulunya menjadi pusat pengembangan syiar Islam dikecilkan skopnya sebagai hanya sekadar rumah ibadat semata.
Dalam usaha memakmurkan masjid, Ghafani Awang Teh (2008) mencadangkan beberapa langkah praktikal antaranya:
“Menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, menyediakan senibina yang menarik, persekitaran yang bersih dan ceria, kemudahan tandas yang selesa, menyediakan risalah mengenai Islam dan fungsi –fungsi dalaman masjid, menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa, menjalankan promosi yang luas kepada masyarakat setempat dan pelancong asing, menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong dan menyediakan ruangan pameran serta galeri.”
Di Malaysia khususnya, kita tidak dapat menafikan keindahan seni bina masjid-masjid yang memaparkan budaya dan etnik masyarakat setempat. Masjid-masjid seperti Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapong-Tengku Tengah Zaharah Kuala Terengganu, Masjid Kristal Jerteh Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kg Laut Kelantan, Masjid Ulu Melaka Melaka dan lain-lain semestinya memukau para pelancong asing yang datang ke Malaysia. Adapun tujuan menjadikan institusi masjid sebagai destinasi pelancongan yang menjadi matlamat utama kebanyakan pihak dikhuatiri tersasar daripada fungsi asal kewujudan masjid.
Hal ini adalah kerana kewujudan dan pembinaan masjid dilihat lebih menfokuskan kepada seni binanya yang bakal mengkagumkan para pelancong daripada pengisian rohani dan kesan yang boleh dilakukan kepada masyarakat setempat. Perbelanjaan jutaan ringgit untuk membina masjid dengan tujuan bermegah-megah adalah satu perbuatan yang sia-sia, membazir dan menunjukkan sifat yang berlebih-lebihan sekiranya orang yang memakmurkannya pula hanya sedikit. Imam Ahmad meriwayatkan dari Anas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: " Tidak akan datang kiamat sehingga manusia bermegah-megahan dalam membangun masjid"[1]
Sikap berlebih-lebihan ini kadang-kala dilihat menyerupai kaum Yahudi ataupun Nasrani dalam membangunkan tempat ibadat mereka, lebih besar belanja dan keluasannya, lebih tersohor nama masjid tersebut. Ibnu Abbas berkata: “Sungguh kalian akan memperindah dan menghiasinya (masjid) sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani memperindah dan menghiasi tempat ibadah mereka.”[2] Maka tidaklah harian apabila ramai pihak sehingga kini masih meragui masjid-masjid di Malaysia perihal fungsi dan peranannya dalam mencontohi kegemilangan institusi masjid pada zaman kegemilangan Islam walaupun telah menelan belanja yang besar.
Selain itu, masjid di sesetengah kawasan di Malaysia juga dilihat dijadikan tempat perkumpulan (serta tarikan pelancong) kerana terdapat kuburan orang-orang ternama di dalam perkarangan masjid. Perkara ini kurang diberi perhatian oleh jabatan agama Islam negeri (JAIN) walhal ianya perkara yang boleh merosak fungsi utama institusi masjid sebagai tempat ibadat, bukannya makam perkuburan. Hatta ianya hanya kuburan orang biasa yang ditanam di perkarangan masjid apatah lagi perkuburan yang akhirnya dibangunkan masjid di atasnya adalah satu kesalahan dari aspek fekah dan dikhuatiri mampu merosakkan akidah umat Islam.
Rasulullah s.a.w telah mengingatkan agar tidak menempatkan kubur di perkarangan masjid kerana ianya merupakan perbuatan Yahudi dan Nasrani, ianya juga dari sudut hikmah demi mengelak menjadi sarana mempersekutukan Allah s.w.t dengan para penghuni kuburan-kuburan tersebut, yang mana diantara akibatnya, orang-orang berkeyakinan bahawa para penghuni kuburan yang dikuburkan di masjid-masjid itu boleh memberikan syafaat, manfaat dan sebagainya. Hal ini jelas berbeza dengan Masjid Nabawi yang dibesarkan daripada keluasan asal demi menampung jemaah yang semakin ramai.
Tidak keterlaluan anggapan bahawa perkara ini dipandang enteng oleh jabatan agama Islam negeri (JAIN) apabila masih banyak kelihatan masjid-masjid yang terdapat kuburan di perkarangan masjid dewasa ini tanpa ada sebarang tindakan diambil. Ada juga yang mengambil kesempatan menggunakan kuburan orang-orang ternama yang berada di perkarangan masjid sebagai salah satu promosi kepada masjid berkenaan.
Antara masjid yang terkenal yang boleh dijadikan contoh dalam isu ini ialah Masjid Melayu,Bandar Taiping (Masjid Lama Taiping), Masjid Pondok Upeh,Balik Pulau, Masjid Kampung Kling,Melaka, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Mengabang Telipot, Masjid Langgar, Masjid Kampung Telaga Nenas, Masjid Tok Selehor, dan banyak lagi. Mengapa ianya menjadi isu yang penting untuk dibangkitkan ialah kerana fungsi utama masjid sebagai tempat ibadat tercemar dengan keadaan ini apabila sudah jelas amaran Allah melalui firmanNya yang bermaksud, “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka jangalah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah”[3].
Di samping isu dan peranan masjid masa kini, kita juga tidak dapat menafikan wujud sesetengah masjid yang bijak dalam menggunakan dana-dana yang diperolehi dalam melaksanakan program atau aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Sepertimana yang dinyatakan oleh Jaafar et. (2001) bahawa masjid juga berfungsi sebagai penerima sumbangan harta fizikal dalam pelbagai bentuk termasuklah peralatan hinggalah tanah dan bangunan yang diwakafkan oleh pihak-pihak tertentu. Oleh itu apabila semua sumbangan dana dan harta yang diwakafkan ini digabungkan, maka sebahagian masjid itu mempunyai dana dan harta yang besar nilainya. Apa yang menjadi kerisauan semua pihak ialah apabila banyak harta wakaf masjid yang terbiar tanpa diusahakan untuk mendatangkan faedah yang diharapkan.
Perkara ini perlu diambil serius supaya fungsi masjid itu berkembang sesuai dengan peredaran zaman dan pihak pengurusan masjid dituntut bersifat kreatif dan inovatif dalam merancang aktiviti dan hala tuju masjid sebagai pusat pengembangan syiar Islam seperti yang pernah diterajuinya suatu masa dahulu dan sehinggalah hari ini. Masjid tidak seharusnya hanya bertumpu pada hal ehwal ibadat semata, contohnya wujud beberapa masjid yang hanya mengisi jadual aktiviti bulanan mereka dengan solat hajat secara berjemaah pada isu-isu yang dirasakan perlu, atau bacaan yasin dan tahlil yang dibuat secara mingguan dan lain-lain aktiviti tanpa merancang program-program yang mampu lebih mendekatkan masyarakat terutamanya remaja dengan masjid.
Jaafar et. (2001) berpandangan bahawa, “Jawatankuasa yang mempunyai kemahiran pengurusan yang tinggi dijangka akan dapat merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menarik dan mampu melibatkan anggota masyarakat keliling dalam usaha memakmurkan dan memuliakan masjid”(p.12).
Masjid juga berperanan sebagai pusat penyampaian maklumat dan kesedaran kepada masyarakat melalui program atau aktiviti yang dijalankan selain adanya fungsi khutbah yang disampaikan secara mingguan dalam metod yang lebih formal. Melalui program atau aktiviti mingguan atau bulanan yang dibuat mampu menarik minat golongan tertentu untuk mendekatkan diri mereka dengan aktiviti yang dianjurkan oleh masjid. Antara program atau aktiviti dari sudut sosial yang dianjurkan oleh masjid di sekitar ibu kota ialah seperti kelas pengajian al-Quran, kelas taekwondo, program pengurusan rumahtangga, seminar-seminar,khidmat sosial dan kaunseling keluarga atau kemusykilan agama dan sebagainya.
[1] Sahih Al-Jami As-Shagir 6 : 174, hadis no. 7298
[2] Sahih Bukhari, Kitab As-Solah, Bab Bunyanil Masajid jld. 1 hal. 539.
[3] Surah Al-Jin, ayat 18.