Showing posts with label kembara iman. Show all posts
Showing posts with label kembara iman. Show all posts

Saturday, June 2, 2007

Catatan perjalanan 2...

Bermusafir ke Makkah dan Madinah hendaklah dengan ilmu…

Satu perkara yang pasti ditemui oleh sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki ke Makkah dan Madinah ialah tingkah laku sebahagian orang yang ghuluw (melampau) di dalam bertabarruk dengan apa sahaja yang ada di Makkah dan Madinah.

Rata-rata mereka ini kebanyakkannya dari Negara sebelah India, Bangladesh dan sebagainya. Kadang-kadang perbuatan mereka menyebabkan kita tersenyum sendirian melihatkan gelagat mereka yang pelik tapi benar…

Sewaktu tawaf mengelilingi Ka’abah al-Musyarrafah di hadapan saya ada seorang yang saya rasa datangnya dari India atau negeri seumpamanya membawa bersama di sisinya plastik yang berisi sesuatu. Apabila tiba sahaja di hadapan Maqam Ibrahim dia mengeluarkan kainnya dari plastik yang dibawanya terus menjadi seolah-olah seorang ‘cleaner’ yang sedang mengelap cermin Maqam Ibrahim tersebut, tinggal lagi dia tidak membawa bersamanya air untuk proses mencuci tersebut….perbuatan tersebut tidak lain dan tidak bukan kerana menyangka ada keberkatan di situ.

Begitu jugalah yang dilakukan oleh sebahagian orang di dinding-dinding Ka’abah, dengan mengelapnya, mengusapnya, menguling-gulingkan badan di dinding Ka’abah tersebut. Di satu tempat yang lain membasuh kain ihram atau kain kapan dengan air zam zam lalu seorang memegang di penjuru sini, dan seorang lagi di penjuru yang satu lagi menanti sehingga kering…

Sebahagiannya menyapu-nyapu dengan kainnya di dinding sebuah rumah yang dikatakan sebagai rumah tempat lahirnya Nabi s.a.w. (gambar). Kesemua ini disebabkan oleh satu penyakit sahaja dan ianya sangat berbahaya dari penyakit Aids iaitulah sakit KEJAHILAN. Semoga Allah hindarkan kita dari kejahilan dan menambahkan kepada kita ilmu yang bermanfaat.

Ahli sunnah wal Jamaah tidak menafikan adanya barakah, tetapi barakah pada sesuatu itu mesti datangnya dengan dalil syar’ie al-Quran mahupun sunnah. Ini disebabkan perkara yang bersangkutan dengan barakah ini ialah termasuk di dalam perkara-perkara yang ghaib, tidak diketahui melainkan melalui jalan wahyu…

Antara perkara yang disebutkan mempunyai barakah ialah air Zam Zam. Nabi s.a.w. bersabda:
"ماء زمزم لما شرب له".
Air Zam Zam itu diminum mengikut apa yang diniatkan (al-Sahihah 883)


Nabi s.a.w juga bersabda lagi:
"إنها مباركة، وهي طعام طُعْم وشفاء سُقْمٍ"
Sesungguhnya ianya (air zam zam) diberkati, sebaik-baik rasa, penawar penyakit. (al-Sahihah dibawah no. 1056)

Nabi s.a.w. bersabda lagi:
"خير ماء على وجه الأرض ماء زمزم، فيه طعام من الطُّعم"
Sebaik-baik air di atas muka bumi air Zam Zam, padanya sebaik-baik rasa (maksudnya ia mengenyangkan bagi sesiapa yang meminum airnya-(al-Nihayah)

(gambar) Tempat minum air zam zam yang telah disediakan diluar Masjid Haram

Walaupun kerajaan Arab Saudi telah meletakkan di setiap tempat peringatan dalam pelbagai bahasa seperti berdoa hanya kepada Allah, tetapi ianya tidak dihiraukan dan diendahkan. Begitu jugalah yang berlaku di Gua Hira’, orang ramai beratur untuk menunggu giliran bersolat di dalam gua yang hanya muat untuk seorang pada satu masa…kesemuanya tidak diajar oleh Nabi s.a.w.

Alangkah baiknya sekiranya difikir dan dikenang betapa tingginya Nabi s.a.w. mendaki bukit tersebut untuk ke Gua Hira’ dan bertahannus di situ…tetapi ini tidak berlaku. Yang terjadi sibuk bertabarruk di Gua tersebut dan melakukan perkara khurafat dan bid’ah yang tidak disuruh oleh Agama..

Sebahagian pihak yang tidak menggunakan otak kurniaan Allah mencaci dan memaki kerajaan Arab Saudi kerana menghilangkan sebahagian tempat-tempat bersejarah seperti mengkambus parit (khandak) yang dikorek pada zaman Nabi s.a.w. sewaktu perang Ahzab berlaku dan tempat-tempat lainnya. Tidakkah anda berfikir sejenak dengan apa yang sedang berlaku seperti yang telah diceritakan di atas? Orang-orang jahil melakukan perkara-perkara bid’ah dan khurafat yang sebahagiannya membawa kepada syirik pada tempat-tempat yang sedia ada. Bahkan tindakan kerajaan di sana tidaklah hanya untuk menyelamatkan Aqidah umat Islam dari hancur berantakan…..

Sekali lagi perkara utama yang perlu ditekankan ialah aspek ilmu…tanamkan ilmu pengetahuan kepada jemaah-jemaah kita yang akan menjejakkan kaki disana agar amalan haji dan umrahnya mengikut petunjuk Nabi s.a.w. jauh dari segala amalan yang tidak berasaskan kepada Al-Quran dan Sunnah….para salaf menyatakan:

العلم ما قال الله وما قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
Ilmu Itu apa yang difirmankan oleh Allah dan apa yang disabdakan oleh
Rasulullah s.a.w.

Thursday, May 31, 2007

Catatan perjalanan ke bumi tandus penuh barakah

Kebisaan manusia akan memilih tempat-tempat yang cantik, nyaman, selesa lengkap dengan segala kemudahan sebagai destinasi pelancongannya. Segala keselesaan yang diinginkan oleh manusia itu tidak akan kita dapati ketika berada di Makkah al-Mukarramah. Buminya tandus, kering kontang, dibakar pula oleh bahang mentari yang terik, dan akan bertambah pula sekiranya kita berada di dalam musim panas.

Walaupun demikian saban tahun Makkah al-Mukarramah dipenuhi oleh ribuan dan jutaan manusia yang datang dari segenap pelusuk dunia. Ini disebabkan tidak lain dan tidak bukan hubungan keimanan yang wujud di sanubari setiap muslim.

Allah s.w.t berfirman:


إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى للعالَمِيْنَ. فِيْهِ ءَايَاتُ بَيِّنَاتٌ مَقَامُ إبْرَاهِيْمَ، وَمَنْ دَخَلَهُ كَانَ ءَامِنًا، وَلِلهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً، وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ عَنِ العَالَمِيْنَ.

Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibina untuk (beribadat) manusia ialah Baitullah diBakkah (mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang jelas (antaranya) maqam Ibrahim, Barangsiapa memasuki (Baitullah itu) amanlah dia, mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah bagi sesiapa yang mampu melaksanakannya. Barangsiapa yang mengingkarinya maka sesungguhnya Allah kaya dari semesta alam. (surah ali Imran 96-97).

Bermusafir ke Makkah seterusnya ke Madinah merupakan pelancongan ibadah. Menjejakkan kaki di bumi ini merupakan nikmat yang tidak terhingga yang direzekikan oleh Allah kepada kita. Bayangkan mak ayah dan datuk nenek kita dahulu yang sebahagian besar dari kehidupannya menghimpunkan duit semata-mata untuk menjejakkan kaki di tanah suci ini. Usaha-usaha yang dilakukan untuk menghimpunkan duit ke tanah suci insyaallah akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah s.w.t.

Daripada Abu hurairah r.h. Nabi s.a.w. bersabda:


لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، ومسجد الرسول صلى الله عليه وسلم ومسجد الأقصى. رواه البخاري ومسلم.

Tidak digalakkan mengembara melainkan kepada 3 masjid iaitu Masjidul haram, Masjid Rasul s.a.w. dan masjidul Aqsa. (diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Jabir r.h. Rasulullah s.a.w. bersabda:


صلاة في مسجدي أفضل من ألف صلاة فيما سواه، إلا المسجد الحرام، وصلاة في المسجد الحرام أفضل من مائة ألف صلاة فيما سواه. رواه ابن ماجه. صحيح.

Sembahyang di masjidku ini lebih afdal dari seribu kali sembahyang di tempat lainnya kecuali di Masjidul Haram. Dan sembahyang di Masjidul Haram lebih afdal dari seratus ribu kali sembahyang ditempat lain. -Hadis sahih riwayat ibn Majah

Keberkatan pelancongan ibadah ini ditambah pula dengan pakej yang menarik apabila melawat masjid Quba’ iaitu masjid pertama yang Nabi s.a.w. dirikan ketika sampai di Madinah

Daripada Sahl bin Hunaif bahawa Nabi s.a.w. bersabda:


من تطهر في بيته، ثم أتى مسجد قباء، فصلى فيه صلاة كان له كأجر عمرة

Barangsiapa yang bersuci dari rumahnya kemudian datang ke Masjid Quba’ lalu bersembahyang di dalamnya pahalanya seolah-olah mengerjakan Umrah. –Hadis sahih diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Nasaie.

Begitulah betapa besarnya ganjaran-ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang direzekikan oleh Allah menjejakkan kaki di kedua-dua bumi suci ini. Dan kewajipan kita ialah bersyukur kepada al-Khaliq al-Raziq yang mengizinkan kita melaksanakan pelancongan ibadah ini dan hendaklah sentiasa berdoa agar kita diberikan peluang sekali lagi untuk ke sana.