Sunday, February 13, 2011

Hakikat Cinta Rasul


Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali Imran 31-32

قُلْ إنْ كُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ الله فَاتَّبِعُوْنِي يُحْبِبْكُمُ الله وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَالله غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ. قُلْ أَطِيْعُوا الله وَالرَّسُوْلَ فَإنْ تَوَلَّوا فَإنَّ الله لا يُحِبُّ الْكَافِرِيْنَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu, Allah itu Maha Pengampun lagi Maha penyanyang. Katakanlah (wahai Muhammad) Ta’atilah Allah dan Rasul-Nya, Jika kamu berpaling maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.


Tarikh 12 rabiul awwal datang lagi dan sudah semestinya sambutan maulid akan diadakan di merata-rata tempat bagi memperingati manusia yang paling terpuji di dunia, nabi yang kita cintai Muhammad Rasulullah s.a.w. Justeru persoalan yang perlu kita rungkaikan bersama ialah bagaimanakah semestinya kita menzahirkan kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad s.a.w.?


Ayat di atas menjelaskan kepada kita tindakan yang perlu dilakukan oleh setiap yang mengaku mencintai Rasulullah s.a.w. iaitu ikut serta taat. Terdapat empat pendapat yang menerangkan sebab turunnya ayat ini iaitu:-


• Nabi s.a.w. berdiri dihadapan bangsa Quraisy, waktu itu mereka sedang sujud kepada patung. Lalu Nabi s.a.w. berkata: wahai orang Quraisy! Kamu menyelisihi agama ayahmu nabi Ibrahim a.s. mereka menjawab: Kami sujud dalam rangka mencintai Allah, agar menjaga hamba yang paling dekat kepada Allah. Lalu turunlah ayat ini seperti yang diriwayatkan dari Ibn Abbas.


• Orang Yahudi berkata: “Kami ini anak Allah dan yang paling dikasihi-Nya, maka turunlah ayat ini. Lalu baginda memperlihatkan ayat ini kepada mereka akan tetapi mereka menolaknya. Keterangan ini dari Ibn Abbas juga.


• Ada orang berkata kepada Nabi s.a.w.: “Kami cinta kepada Allah”, maka Allah ingin membuktikan kebenaran cintanya lalu turunlah ayat ini. Keterangan dari Hasan dan Ibn Juraij.


• Orang Nasrani Najran berkata kepada Nabi s.a.w.: “Kami cinta kepada Nabi Isa a.s. kerana Allah”, maka turunlah ayat ini. Tafsir Thobari

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menyatakan: Ayat ini bagaikan timbangan untuk mengetahui orang yang cinta kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benarnya dan orang yang hanya sekadar mengaku-ngaku. Tanda cinta kepada Allah itu jika dia mengikuti sunnah Nabi s.a.w. memenuhi seruannya dan meninggalkan apa yang dilarangnya. Tidak mungkin dia dicintai dan diredhoi oleh Allah serta diberi pahala melainkan bila dia membenarkan apa yang datang kepada Rasulullah s.a.w.

Hakikat cinta

Cinta yang benar harus Ittiba’ (mengikut) dan menerima dengan mencintai semua yang dicintai dan membenci semua yang dibenci. Di antara bukti bahawa orang yang beriman itu cinta kepada Nabi s.a.w. ialah:

 Mengimani bahawa Nabi Muhammad s.a.w. benar-benar utusan Allah untuk semua lapisan manusia dan jin.


 Membela Sunnahnya.


 Menjalankan seruannya dengan mengamalkan yang wajib dan sunnah, serta meninggalkan yang haram dan yang makruh.


 Menjadikannya sebagai uswah (contoh tauladan) dalam sebagai urusan.


 Membenci orang yang dibenci oleh Nabi s.a.w.


 Mencintai Nabi s.a.w. melebihi kecintaan kepada dirinya dan orang lain.


 Mencintai orang yang dicintai Nabi s.a.w. (iaitu para sahabatnya).


 Meyakini bahawa Nabi Muhammad s.a.w. utusan Allah s.w.t. yang paling mulia.


 Santun kepada Nabi dengan menyebut kedudukkannya.


 Berpegang kepada manhajnya dan manhaj para sahabatnya.


 Wajib membenci bid’ah dan membenci ahlinya.

Mengenang Maulidur Rasul bukanlah dengan hanya memikirkan aturcara apa yang hendak dibuat, artis mana nak dipanggil, siapakah yang akan mendapat anugerah dan sebagainya tetapi
SUDAHKAH ANDA MENGENALI RASULULLAH S.A.W. Jika TAK KENAL bagaimana NAK CINTA!!!

No comments: