Sunday, August 19, 2007

Respond terhadap tulisan Zamihan al-Ghari

Respond terhadap tulisan Zamihan al-Ghari bertajuk Antara benar dan salah? sahih dan Dhaif ? MENJADI PERTIKAIAN
Oleh : Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Berusaha memastikan sesuatu amalan itu benar ataupun salah, sahih ataupun dhaif adalah suatu tuntutan di dalam agama. Umat Islam dilarang menjadi pak turut membuta tuli, menurut sahaja apa yang dikatakan sunnat oleh sebahagian individu agama yang merasakan seolah-olah merekalah pemberi pahala, lantaran berkuasa menghukumkan sunat sesuatu amalan walaupun Nabi saw tidak pernah mengatakannya sunat. Lagak mereka seolah-olah mereka itu bersekutu dengan Allah swt untuk mensyariatkan agama ini, Allah swt berfirman :

أم لهم شركاء شرعوا لهم من الدين ما لم يأذن به الله
Maksudnya : “Apakah ada bagi mereka sekutu-sekutu yang mensyariatkan kepada mereka sesuatu daripada agama yang tidak diizinkan oleh Allah.” (al-Syura ; 21)
Dengan hanya beralasan untuk memperbanyakkan amalan, atau amalan tambahan, ramai di kalangan merasakan seperti tidak perlu lagi dipastikan kesahihan dan kelemahan sesuatu amalan.
Firman Allah swt :
الذي خلق الموت والحياة ليبلوكم أيكم أحسن عملا
Maksudnya : "(Dialah Allah) yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu semua, siapakah yang lebih baik amalannya." (al-Mulk : 2)

Al-Imam al-Hafidz al-'Allamah Ibn Rajab al-Hambali di dalam Jami' al-'Ulum wa al-Hikam menyebut tentang ayat ini dengan berkata :

"Kata al-Fudhail (bin 'Iyadh) terhadap firman Allah di atas, (yang dimaksudkan dengan sebaik-baik amalan) ialah yang paling ikhlas dan yang paling benar", katanya lagi : "Sesungguhnya sesuatu amalan (yang diamalkan) dengan ikhlas kerana Allah, akan tetapi tidak benar, ianya tidak akan diterima, jika benar tetapi tidak ikhlas, ianya juga tidak akan diterima, sehinggalah sesuatu amalan itu diamalkan dengan ikhlas dan benar." Katanya lagi : "Maka Ikhlas itu ialah jika dilakukan kerana Allah 'azza wa jalla dan yang benar itu ialah yang bertepatan dengan Sunnah (Nabi saw)." (Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, m.s. 20)

Amat jelas dari perkataan al-Fudhail di atas, ikhlas semata-mata tidak cukup untuk menjadikan amalan itu diterima oleh Allah swt. Tidak boleh tidak, Ikhlas mesti bergabung dengan benar iaitu melakukannya berdasarkan sunnah Nabi saw. Inilah hikmah Allah swt mengutuskan rasul untuk setiap umat. Jika hanya semata-mata manusia dituntut untuk memperbanyakan amalan, mereka tidak perlu kepada pengutusan Rasul.

Selain itu Allah swt tidak semata-mata mahu melihat amalan yang banyak, namun yang dikehendaki oleh Allah swt ialah amalan yang ‘Ahsan’ iaitulah yang ikhlas dan berdasarkan sunnah,
Nabi saw bersabda :
من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد
Maksudnya : “Sesiapa yang mengamalkan satu amalan, yang bukan daripada urusan kami, maka ianya tertolak.”

Keberadaan Rejab sebagai salah satu bulan daripada bulan-bulan yang haram tidak ada mana-mana ulama yang mempertikaikannya. Bukan ini isunya. Isu utama dalam persoalan bulan Rejab ini adalah mengkhususkannya dengan sesuatu amalan tertentu yang Nabi saw tidak mengkhususkannya. Demikian juga tindakan menisbahkan suatu perkataan kepada Nabi saw, sedang baginda tidak pernah menyebutnya.

Malang apabila ada orang agama yang hendak mempertahankan amalan yang tidak bersumber dari sumber yang kukuh ini dengan hujah yang merawang-rawang. Dan dakwaan kosong yang hanya tinggal dakwaan semata. Demikianlah yang berlaku kepada tulisan Zamihan al-Ghari. Lebih kecewa apabila beliau mendakwa kepalsuan hadith kelebihan Rejab hanya berdasarkan pendapat al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sahaja.

Kepalsuan Kelebihan Bulan Rejab

Zamihan al-Ghari di dalam tulisannya mendakwa hanya al-Imam Ibn Qayyim sahaja yang memalsukan hadith-hadith kelebihan bulan Rejab,
Zamihan menyebut :
“Sedangkan kepalsuan yang didakwa, hanya berdasarkan kepada pendapat satu riwayat hadith dan pandangan seorang ulama sahaja, iaitu Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Soalnya apakah pandangan ini mewakili dunia kesarjanaan Islam keseluruhannya?”
(Zamihan al-Ghari, Antara Benar dan Salah? Sahih dan Dhaif ? Menjadi Pertikaian…”

Maha suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang nyata. Saya akan buktikan di bawah ini pendapat ulama lain yang menghukumkan hadith-hadith tentang kelebihan bulan Rejab sebagai Lemah dan Palsu, antaranya ialah: :

1. al-Hafidz Ibn Hajar al-'Asqalani (yang mensyarahkan hadith-hadith Sahih al-Bukhari) berkata : "Tidak terdapat tentang kelebihan bulan Rejab, puasanya, puasa pada hari-hari tertentu di dalamnya, bangun malam yang khusus (pada sesuatu malam dalam bulan Rejab)... satu hadith sahih yang boleh dijadikan hujjah. Telah mendahului aku dalam menegaskan perkara ini al-Imam Abu Ismail al-Harwi al-Hafidz, kami riwayatkan daripadanya dengan sanad yang sahih, demikian juga kami riwayatkannya dari selain beliau." (Tabyiin al-'Ajab fima warad fi fadhl Rajab, m.s. 6, lihat juga al-Sunan wa al-Mubtadi'aat, m.s. 125)
Katanya lagi : “Hadith-hadith yang ada secara jelas tentang kelebihan Rejab atau kelebihan puasanya atau (kelebihan) sesuatu puasa (tertentu) di dalamnya terbahagi kepada dua, satu bahagian dhoief dan satu bahagian Maudhu’ (palsu).”(Ibid: 8)

2. al-Turtusi berkata : “Dimakruhkan puasa Rejab disebabkan salah satu dari tiga sebab di bawah :
1. Jika umat Islam mengkhususkannya dengan puasa pada setiap tahun, sehingga orang awam dan orang yang tidak ada pengetahuan agama menyangka zahirnya puasa (dalam bulan Rejab), yang ianya adalah wajib seperti Ramadhan.
2. atau (orang awam akan menyangka) yang ianya sunnah yang thabit, Rasulullah saw telah mengkhususkannya seperti sunnah-sunnah ratibah yang lain
3. atau (orang awam akan menyangka) puasa padanya (bulan Rejab) adalah suatu yang dikhususkan dengan kelebihan pahala berbanding bulan-bulan yang lain seperti puasa ‘Asyura, dan seperti kelebihan solat akhir malam berbanding awal malam, lalu jadilah (orang awam akan menyangka) ia dari perkara yang ada kelebihan, bukan dari perkara-perkara sunnat dan kewajipan. Kalaulah (sangkaan itu benar) yang ianya termasuk dalam kelebihan, pastilah Nabi saw akan mensunnahkannya, atau melakukannya walaupun sekali dalam umurnya, sepertimana baginda lakukan terhadap puasa ‘Asyura atau solat pada satu pertiga akhir malam. Maka apabila baginda tidak melakukannya, batallah (dakwaan) ada kelebihan yang khusus padanya, dan bukan juga ianya salah satu perkara fardhu dan sunat dengan kesepakatan ulama, maka tidak ada pengkhususannya (Rejab) dengan puasa (walau) satu bentuk alasan. Dan dimakruhkan puasa padanya dan berterusan melakukannya sebagai beringat agar orang awam tidak menganggapnya sebagai termasuk perkara-perkara fardhu atau sunat yang ratibah. Jika seseorang hendak berpuasa (pada bulan Rejab) dalam keadaan selamat dari bahaya (salah anggap tersebut), sehingga tidak dianggap sebagai fardu atau sunat, maka tidak mengapa perkara tersebut.”
(Sila lihat al-Hawadith wa al-Bida’, m.s. 130,131)

3. Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya daripada Khursah bin al-Harr katanya : “Aku melihat ‘Umar bin al-Khattab memukul tangan-tangan manusia yang berpuasa Rejab sehinggalah mereka mengambil makanan, kemudian beliau berkata : “Hendaklah kamu semua makan, kerana sesungguhnya Rejab adalah bulan yang dibesarkan oleh orang-orang jahiliyyah.” (Sila lihat Musannaf Ibn Abi Syaibah: 3/102, al-Albani di dalam Irwa al-Ghalil mengatakan sanad ia Sahih)

4. Sayyid Sabiq di dalam Fiqh al-Sunnah berkata : “Dan puasa Rejab tidak ada baginya kelebihan tambahan dari bulan-bulan yang lain, melainkan ianya termasuk dari bulan-bulan yang diharamkan (dimuliakan), tidak terdapat di dalam sunnah yang sahih, puasa di dalamnya ada kelebihan yang khusus, dan adapun apa yang ada (daripada hadith-hadith) tentangnya adalah yang tidak boleh dijadikan hujjah dengannya.” (1/383)

5. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam Majmu’ al-Fatawa (25/290) berkata: “Adapun puasa Rejab dengan pengkhususannya, maka hadith-hadith tentangnya semuanya lemah, bahkan palsu, tidak dipegang oleh ahli ilmu satupun dari semuanya, (hadith-hadith itu) tidak termasuk dalam hadith-hadith lemah yang boleh diriwayatkan dalam bab kelebihan, bahkan kesemuanya termasuk palsu dan dusta.”

Semua perkataan-perkataan ulama di atas ini menjelaskan bahawa tidak ada pengkhususan untuk berpuasa di dalam bulan Rejab berbanding bulan-bulan yang lain. Perbuatan mengkhususkan bulan Rejab dengan ibadat puasa adalah menyerupai perbuatan orang-oang Jahiliyyah, seperti athar yang warid dari Abu Bakr dan ‘Umar r.’anhuma. Perbuatan mengkhususkan puasa dalam bulan Rejab ini tidak pernah dilakukan oleh Nabi saw, demikian juga para sahabat Baginda. Telah sahih dari Ibn ‘Abbas r.a. yang melarang daripada puasa Rejab keseluruhannya agar ia tidak dijadikan sebagai hari raya. (Riwayat Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya 4/292, dan Ibn Hajar berkata : Isnadnya sahih, sila rujuk Tabyiin al-‘Ajab, m.s. 35).

Hadith-Hadith Palsu Tentang Bulan Rejab

1. Zamihan al-Ghari di dalam tulisannya tersebut mendakwa hadith : "Rejab bulan Allah, Sya'aban bulanku, ramadhan bulan umatku…", sebagai sebuah hadith yang disokong oleh ramai para ulama yang mu’tabar, namun beliau gagal membuktikannya.

Sebenarnya hadith ini telah dilemahkan bahkan dipalsukan oleh ramai para ulama hadith, antaranya ialah:

i. Ibn Jauzi telah menyenaraikan hadith ini di dalam al-Maudhu’aat dengan sanad yang berbagai. (2/205,206)

ii. Demikian juga al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Tabyiin al-‘Ajab fima warada fi Rajab, dan beliau memasukkan hadith ini dalam senarai hadith-hadith yang palsu. Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata :
“(Hadith ini) diriwayatkan oleh Abu Bakr al-Naqqash al-Mufassir, meriwayatkannya al-Hafidz Abu al-Fadhl Muhammad bin Nasir di dalam Amali karangannya daripada al-Naqqas secara panjang lebar – beliau menyebut tentang kelebihan puasa setiap hari daripada hari-hari bulan Rejab – dan katanya (al-Hafidz Abu Fadhl) : “Al-Naqqas, Pemalsu (hadith) dan Dajjal,” kata Ibn Dihyah, “Hadith ini Palsu” (Sila rujuk Tabyiin al-‘Ajab, m.s. 13-15)

iii. al-Soghoniy di dalam al-Maudhuaat, m.s. 61

iv. al-Suyuthi di dalam al-La-aali’ al-Masnu’ah 2/114.
Hadith ini (Rejab bulan Alah…..) diriwayatkan dari Abi Said al-Khudri dan dari Anas bin Malik, ada juga dari jalan-jalan yang lain namun semuanya amat lemah, Ibn Hajar telah menyebutnya di dalam Tabyiin al-‘Ajab. Hadith dari Abi Said al-Khudri telah disenaraikan oleh Ibn Jauzi di dalam al-Maudhu’aat (2/576), Ibn ‘Iraq di dalam al-Tanzih (2/151) dari jalan Muhammad bin al-Hasan al-Naqqas. Al-Naqqas ini telah ditohmah sebagai pendusta, dan Ibn Hajar di dalam Tabyiin al-‘Ajab (23) berkata : “Al-Naqqas ini adalah penulis kitab Syifa’ al-Sudur, dan dia telah memenuhkan (kitabnya) kebanyakannya dengan pembohongan dan dusta.” al-Khatib al-Hafidz Abu Bakr bin Thabit al-Baghdadi di dalam tarikhnya (2/602) pula berkata: “Bahkan dia (al-Naqqas) adalah Syaqa’ al-Sudur.” Manakala hadith daripada Anas bin Malik ada di dalam sanadnya Ibn Jahdham.

Zamihan al-Gari pula mendakwa pengkritik riwayat Ibn Jahdham (ابن جهضم) tidak memperincikan siapa sebenarnya beliau yang dimaksudkan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Nampaknya Zamihan hanya melihat tulisan al-Imam Ibn Qayyim lalu beliau menyangka peribadi Ibn Jahdham yang dimaksudkan masih kabur.

Sebenarnya Ibn Jauzi di dalam al-Maudu’aat, Abu Syamah al-Maqdisi di dalam al-Bahith ‘ala Inkar al-Bida’ wa al-Hawadith telah menyebut namanya dengan jelas sebagai Abi al-Hasan ‘Ali bin Abdillah bin Jahdham. Seterusnya Ibn Jauzi menyatakan hadith ini Palsu atas (nama) Nabi saw, dan sesungguhnya telah ditohmah Ibn Jahdham dan ulama telah menisbahkannya kepada pembohongan, dan kami mendengar syeikh kami Abd al-Wahhab al-Hafidz berkata : “periwayat-periwayatnya semuanya majhul.”

2. Demikian juga Zamihan telah menjadikan hadith doa Nabi saw

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان
Maksudnya : “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan(hayat) kami kepada bulan Ramadhan.”

Al-Baihaqi berkata tentang hadith ini di dalam Syu’b al-Imam (3/375) : "Menyendiri dengannya Ziyad al-Numiriy dan daripadanya Zaidah Ibn Abi Ruqad," kata al-Bukhari : Zaidah bin Abi al-Ruqad daripada Ziyad al-Numiriy Mungkar al-Hadith. al-Nawawi di dalam al-Azkar (274) berkata : “Kami meriwayatkannya (hadith di atas) di dalam Hilyah al-Auliya’ dengan sanad yang ada kelemahan." Al-Zahabi di dalam Mizan al-‘Itidal (3/96) ketika memperkenalkan Zaidah dan menyebut hadith di atas : Lemah juga. Ahmad Syakir di dalam takhrijnya kepada al-Musnad (4/100-101) berkata : Sanadnya lemah.

Hadith Lemah dalam bab kelebihan

Seringkali ramai yang beranggapan hadith lemah boleh dijadikan alasan dalam bab kelebihan atau untuk meningkatkan himah diri, inilah yang disebut oleh Zamihan di dalam tulisannya.

Cakap sebegini sering kali digunakan dan biasanya mereka menisbahkannya kepada para Imam yang mulia seperti Imam Ahmad bin Hambal, Abd al-Rahman bin Mahdi dan Abdullah bin al-Mubarak yang mengatakan :
“Apabila kami riwayatkan (sesuatu hadith dalam bab) halal dan haram kami ketatkan (syaratnya), dan apabila kami riwayatkan (hadith-hadith) dalam bab kelebihan-kelebihan dan seumpamanya, kami permudahkannya.”

Ahmad Syakir di dalam syarahnya kepada ringkasan al-Ba’ith al-Hathith (101) : “Sesungguhnya yang mereka maksudkan dengan perkataan ini – apa yang lebih rajah, wallahu a’lam – bahawa permudahkan itu adalah dalam mengambil hadith yang Hasan, yang tidak sampai ke darjat sahih, ini kerana perbezaan istilah diantara sahih dan hasan tidak terdapat di zaman mereka secara jelas, bahkan kebanyakan mutaqaddimin tidak mensifatkan hadith melainkan kepada sahih dan dhoief sahaja.” (Sahih al-Jami’ al-Soghir wa Ziyadatuh, m.s. 51-52)

Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani pula berkata : “Aku katakan, bagiku ada pandangan lain dalam perkara ini, iaitu (berkenaan) permudahkan yang disebut itu ialah dalam periwayatannya bersama dengan sanadnya-sanadnya – sepertimana kebiasaan mereka – sanad-sanad ini, yang dengannya memungkinkan dapat dketahui kedaifan hadith-hadithnya, maka sanad itu disebut tanpa menjelaskan kedhaifan, sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakan mereka (ahli Hadith), (ini kerana) mereka adalah yang lebih utama, dan lebih taqwa kepada Allah ‘azza wa jalla dari melakukan perkara seperti itu (memudah-mudahkan dalam meriwayatkan hadith).” (ibid)

Selain itu hadith-hadith tentang kelebihan Rejab ini kebanyakannya termasuk di dalam kumpulan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang dituduh dusta dan seumpamanya seperti Ibn Jahdham. Maka keadaan ini sudah tentu tidak dapat menaikkan mana-mana hadith sama sekali.

Penutup

Isu bulan Rejab adalah isu mengkhususkannya dengan ibadah-ibadah tertentu seperti puasa, umrah dan yang seumpama degannya yang terdiri dari ibadat-ibadat yang memerlukan dalil dari al-Sunnah untuk mengkhsuskannya.Apabila tidak ada dari al-Sunnah, atau jika adapun semuanya adalah lemah dan palsu, maka perbuatan mengkhususkan ibadat tersebut adalah suatu yang terlarang. Ini kerana mustahil manusia dapat mengkhususkan sesuatu amalan di sesuatu tempat dan masa melainkan mesti melalui petunjuk Nabi saw.Berpuasa di dalam bulan Rejab adalah sama seperti berpuasa dalam bulan-bulan Haram yang lain iaitulah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Tidak boleh mengkhususkan Rejab berbanding bulan yang lain, ini kerana perbuatan mengkhususkannya itu tidak ditunjukkan oleh Nabi saw. Kita pelik dan hairan mengapa Zamihan hanya galak mempertahankan puasa dalam bulan Rejab dan tidak mengindahkan bulan-bulan haram yang lain seperti Zulkaedah dan Zulhijjah?Perkara ini jelas dari perkataan al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim, perkataan beliau dinukilkan oleh Zamihan namun secara tidak pengkap. Al-Nawawi berkata :
“Apa yang zahir dari ucapan Said bin Jubair ini menjadi bukti bahawa tiada larangan dari puasa padanya (Rejab) dan tidak ada sunat padanya kerana (semata-mata) bulan berkenaan (Rejab), bahkan kedudukannya sama seperti baki bulan-bulan yang lain, dan tidak thabith larangan puasa dalam bulan Rejab, dan tidak ada juga sunat kerana (semata-mata) bulan berkenaan (Rejab), akan tetapi asal puasa itu adalah disunatkan (sama seperti dalam bulan-bulan yang lain).” (Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, jld 3, m.s.224)Perkataan al-Imam al-Nawawi ini sudah cukup jelas menunjukkan tidak ada dalil yang sahih yang mengkhususkan puasa dan ibadat-ibadat lain dalam bulan Rejab. Semua yang ada tentang kelebihan itu samaada lemah ataupun palsu seperti yang telah disebut oleh al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Maka tidak boleh sesiapapun mengkhsuskan sesuatu amalan di dalam bulan Rejab dan menganggapnya ada kelebihan tertentu, kerana Nabi saw tidak pernah mengkhususkannya. Semua amalan ibadah yang dilakukan di dalam bulan Rejab adalah sama seperti amalan-amalan lain yang dilakukan di dalam bulan yang haram.

wallahu a'lam.

Wednesday, August 1, 2007

Buku ini merupakan satu buku ilmiah dan baik untuk mereka yang ingin kembali kepada ajaran asal yang dibawa oleh baginda s.a.w. walaupun ada pihak yang menganggap tajuk ini kecil namun ia penting kerana berkaitan dengan amalan agama harian kita.

Mengada-adakan sesuatu yang tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w tentang perkara ibadah adalah sesuatu ‘jenayah ke atas ketulenan agama’. Rosaknya wahyu-wahyu terdahulu yang dilakukan oleh yahudi dan kristian ialah mereka mengubah agama dan menokok tambah apa yang tidak diizinkan syarak. Akhirnya lihatlah gereja-gereja mereka dipenuhi dengan upacara-upacara yang tiada kaitan sama sekali dengan Musa a.s. dan Isa a.s. Justeru agama memerangi bid’ah dan penyelewengan fakta.

Mudah-mudahan buku ini dapat memberi sumbangan kea rah tajdid untuk mengembalikan Islam kepada wajahnya yang asal. Buku ini sesuai dijadikan sebagai bahan bacaan bagi sesiapa yang mencintai sunnah dan petunjuk Rasulullah s.a.w….

-Sahibus samahah Mufti kerajaan negeri Perlis


Alhamdulillah setelah diberi kekuatan oleh Allah Azzawajalla, saya telah menyusun buku Amalan Berzikir antara sunnah dan rekaan manusia. Buku ini ditulis untuk setiap golongan masyarakat di kalangan ustaz-ustaz, golongan professional, pelajar terutamanya pelajar yang berada di dalam jurusan agama dan seterusnya masyarakat awam yang ingin memahami permasalahan agama yang sedang dibincangkan pada masa ini.

Walaubagaimanapun permasalahan yang dibincangkan di dalam buku ini bukanlah fokus utama untuk diperbesar-besarkan tetapi sekadar perbincangan ilmiah disebabkan pertanyaan yang banyak yang diajukan kepada saya…. –Abu Syu’aib